Ye Wan Wan menyangka mungkin dia hanya berfikir bukan-bukan.
Tapi tidak kira apa yang tidak kena dengan Si Ye Han, lebih baik dia memegang tangan lelaki itu supaya dia tidak perlu risau ditinggalkan lagi.
Di tempat yang besar seperti ini, sangat mudah untuk ketinggalan dan sesat.
Selepas dia memegang tangan lelaki itu, Si Ye Han hanya memperlahan langkahnya tapi masih bungkam dan terus membawa dia berjalan di sekitar rumah lama itu.
Semasa dia bersedia untuk pusingan kedua, Ye Wan Wan sudah tidak tahan lagi. "Si Ye Han, kaki saya sudah penat. Kita duduk sekejap boleh?"
Si Ye Han berpaling padanya, seperti tidak mahu berhenti tapi akhirnya, dia membawa gadis itu duduk di satu bangku kayu panjang.
Ye Wan Wan mengeluh lega, melepaskan tangannya dari genggaman lelaki itu, meregangkan tubuh dan menggumam, "Nenda sangat baik. Saya takut dia tak suka saya pada awalnya."
Si Ye Han menatap tangannya yang kini telah hilang kehangatan tangan gadis itu, kemudian membalas, "Tak mungkin."
Sebenarnya, Ye Wan Wan tahu di samping tingkah lakunya yang baik, faktor terbesar menentukan pandangan nenek kepada dia masih bergantung kepada Si Ye Han. Seperti kata pepatah, dia yang sukakan pokok pasti sukakan dahannya.
Selagi dia tidak membuat salah atau melampaui batas, pertemuan kali ini akan berjalan dengan lancar. Sudah tentu, menunjukkan belaian kasih sayang kepada Si Ye Han akan menjadi bonus.
"Oh ya, Si Ye Han, kenapa Nenda panggil awak Si Kecil ke-9 dan yang lain panggil awak Tuan Muda ke-9?" tanya Ye Wan Wan, ingin tahu.
Mengikut apa yang dia tahu, Si Ye Han hanya ada seorang abang jadi bukankah dia sepatutnya kedua dalam keluarga?
Si Ye Han bersandar pada kerusi, mendongak, menatap hamparan bintang di langit. "Semasa saya kecil, saya lemah dan mudah jatuh sakit, jadi ini salah satu cara untuk mengelak malapetaka."
Selepas mendengar penjelasan lelaki itu, Ye Wan Wan faham. "Jadi inilah sebabnya. Saya juga pernah dengar benda macam ini. Jadi membuatkan ahli keluarga awak panggil awak Tuan Muda ke-9 dari Tuan Muda ke-2 akan mengelak malaikat maut dari mencabut nyawa awak, bukan?"
"Hm."
"Sama ada ia betul atau tidak, lebih baik kita berjaga-jaga."
Si Ye Han masih hidup sampai ke hari ini, malah masih hidup untuk menjadi syaitan yang hantu dan manusia takuti, seorang raja neraka yang berjalan di atas dunia.
Ada yang mengatakan, Si Ye Han dan ayahnya pernah diserang sebelum ini dan ayahnya meninggal dunia di tempat kejadian. Selepas mengalami kecederaan selepas insiden itu, tubuh badannya tidak pernah betul-betul sembuh.
Mengambil kira bagaimana Si Ye Han melalui tragedi ngeri begitu di usia yang sangat muda, hampir kehilangan nyawanya, ditambah pula penyakit insomnia dan hari-harinya yang boleh dihitung di atas muka bumi ini, tidak hairanlah mengapa neneknya begitu menyanyi dirinya, memenuhi segenap ruang hati nenek tua itu.
Ditemani suasana yang begitu selesa, Ye Wan Wan melontarkan satu soalan cepu emas, ingin tahu sebabnya. "Si Ye Han, kenapa lelaki baik seperti awak tak boleh tidur sepanjang masa?"
Ye Wan Wan menunggu balasan dari Si Ye Han tetapi hanya suasana sepi yang menjawab. Baru sahaja dia sangka dia telah melampaui batas, dia terasa satu tekanan di bahunya.
Dia memalingkan kepalanya tanpa disedari dan melihat Si Ye Han bersandar pada bahunya, kedua-dua matanya ditutup, nafasnya panjang dan tenang… Dia sudah tidur.
"Er…" Wajah Ye Wan Wan menjadi gelap dan menelan semula soalannya sebentar tadi.
Si Ye Han tidur dengan cukup lena; Ye Wan Wan tidak berani bergerak dan terus membiarkan dia berehat di bahunya.
Namun, keadaan malam itu semakin sejuk dan jika dia terus tidur di sini, dia mungkin akan demam selesema…
Ye Wan Wan yang risau itu tidak perasan tidak jauh dari situ, berdiri dua susuk tubuh.
Puan Tua menyedari kedua-dua mereka tidak kembali dalam jangka masa yang lama, jadi dia keluar ke halaman dengan pembantu rumah untuk mencari mereka.
Apa yang mengejutkan nenek tua itu, kedua-dua mereka sedang duduk di bangku dan mata cucunya tertutup, bersandar pada bahu gadis itu. Dia kelihatan sudah lena...
'Bagaimana… Bagaimana ini boleh berlaku?!'