Pembantu rumah Zhong cukup kenal dengan Puan Tua dan juga tahu berkenaan penyakit misteri Tuan Muda. Wajah dia juga dipenuhi perasaan terkejut dengan pemandangan ini. "Puan Tua, ini…"
Wajah Puan Tua masih gelisah dan ragu-ragu. Dia memperlahan langkahnya dan berjalan menuju kepada kedua-dua anak muda itu dengan berhati-hati.
Melihat Puan Tua berada di sini, Ye Wan Wan tanpa disedari cuba bangun untuk menyapa tapi dengan Si Ye Han bersandar padanya, dia tidak boleh berdiri. "Nenda…"
Puan Tua kelihatan keliru dan melihat cucunya masih tiada reaksi semasa dia semakin hampir. Dia berkata, "Wan Wan… Si Kecil ke-9, dia…"
Ye Wan Wan takut dengan perangai panas baran Si Ye Han jika dia baru bangun dari tidur jadi Ye Wan Wan tidak berani mengejutkan dia sampai sekarang. Tapi memandangkan Puan Tua berada di sini, dia menolak lembut lelaki itu. "Si Ye Han, bangun…"
Lelaki yang sedang lena dibuai mimpi itu mengerutkan keningnya saat terasa dirinya ditolak. Wajah yang tenang dan lembut sebentar tadi mula diganti dengan kegelapan seperti malam, begitu jelas tidak senang.
Puan Tua merenung wajah mengantuk cucunya dan mengambil masa yang lama sebelum tersedar semula, wajahnya penuh emosi. "Jangan… Wan Wan, jangan kejutkan dia, biar dia tidur lebih lama! Budak ini sudahlah tak cukup tidur...:"
Kerutan kecil yang muncul di kening Si Ye Han membuatkan hati Ye Wan Wan menggigil ketakutkan; dia juga tidak mahu mengejutkan syaitan ini. Dia menghela nafas lega selepas mendengar kata-kata nenek tua itu dan terus membelai rambut Si Ye Han dengan tangannya untuk melenakan semula lelaki itu. Ye Wan Wan bertanya lembut, "Ada selimut tak? Saya takut dia demam selesema jika terus tidur macam ini."
"Ada, ada. Si Tua Zhong, cepat pergi ambil." Balas Puan Tua.
"Ya."
Pembantu rumah Zhong kembali dengan segera bersama selimut kelabu yang ringan dan lembut.
"Terima kasih, Pak Cik Zhong!" Ye Wan Wan mengambil selimut itu dan terus menyelimut Si Ye Han.
Selepas dia selesa semula, kerutan di kening Si Ye Han perlahan-lahan menghilang dan terus lena dibuai mimpi semula.
Puan Tua takut dia mengganggu cucunya, jadi dia memberi isyarat mata kepada Ye Wan Wan dan kemudian dengan senyap berlalu pergi bersama pembantu rumah.
Sebenarnya, Puan Tua tidak pergi jauh. Dia terus menyambung memerhati, melihat cucunya yang sedang lena, matanya menjadi merah.
"Si Tua, pergi panggil Xu Yi dan Doktor Mo!"
"Baik, Puan Tua." Pembantu rumah terus menghubungi mereka.
Mo Xuan dan Xu Yi memang berada di rumah lama, jadi setelah dihubungi, mereka terus bergegas menurut pembantu rumah Zhong ke halaman rumah.
"Puan Tua, Puan panggil saya?" Mo Xuan berasa tidak pasti kerana dia menyangka Puan Tua akan bertemu bakal menantu cucunya hari ini. 'Kenapa dia hubungi aku waktu macam ini?'
Xu Yi yang berdiri di sisi, juga turut sama tidak faham.
Puan Tua merenung tajam Mo Xuan. "Awak beritahu saya sebelum ini keadaan semasa Si Kecil ke-9 sangat kritikal, kadar kegagalan hipnotisme semakin meningkat dan dia tidak boleh tidur untuk beberapa hari berturut-turut, bukan?"
Apabila masalah sukar ini dibangkitkan semula, Mo Xuan mengangguk perlahan. "Ya."
Selepas Puan Tua mendengar jawapan itu, dia menunjuk ke satu arah. "Jadi beritahu saya, apa makna semua ini?"
Pandangan bingung Mo Xuan menurut arah yang ditunjuk oleh Puan Tua. Kemudian, dia melihat Si Ye Han yang sedang lena tidur bersandar pada Ye Wan Wan.
Mo Xuan kehilangan kata-kata. "Ini…"
"Saya sudah pun ke sana untuk memastikan Si Kecil ke-9 memang lena. Saya juga tengok mereka dari sini sejak tadi dan dia sudah pun tidur untuk satu jam lamanya." Kata Puan Tua.
Mo Xuan lebih terkejut –– 'Si Ye Han tidur tanpa hipnotisme saya?'
Xu Yi tergamam.
"Bagaimana Tuan ke-9 boleh tidur" Tanya Mo Xuan, keliru.