Chapter 51 - Nenda Nak Jumpa Awak

Sehingga ke penghujung latihan, Si Xia masih tidak boleh mencium Ye Wan Wan.

Sudah tentu, bukan semua orang ada cita rasa luar biasa seperti Si Ye Han…

Ye Wan Wan kembali ke asrama, mencuci solekannya dan mandi. Dia merancang rupa solekan untuk esok dan membuka komputer pada masa yang sama.

Dia tidak perlu lagi menghabiskan banyak masa pada kurikulum sekolah. Dia bersedia untuk membeli filem dan dokumentari dalam talian untuk mengisi masa bagi sesi ulang kajinya sendiri.

Lagipun, masuk ke universiti hanya peringkat awal. Matlamat utamanya, mendapatkan semula semua benda yang telah diambil daripada ayahnya oleh ayah saudara keduanya dan juga Ye Yi Yi.

Sebelum ini, dia hanya menyalahkan ayahnya kerana berasa ayanya tidak berguna dan menyebabkan dia dipisahkan dari Gu Yue Ze. Tapi apa yang dia tidak tahu, dia yang menyebabkan kejatuhan keluarganya sendiri.

Pada masa itu, Ye Yi Yi telah menggunakan nama Gu Yue Ze untuk menjerat dia ke satu rumah kosong dan diberikan dadah untuk membuat dia pening. Kemudian, ayah saudara keduanya telah memeras ugut dia untuk menekan ayahnya supaya menyerahkan semua sahamnya. Kemudian, ayahnya perlu mengaku melakukan jenayah penyalahgunaan harta awam, atau tidak ayah saudara keduanya akan menghancurkan hidup dia.

Ayah saudara keduanya merancang untuk menyuntik dia dengan dadah, mencari beberapa lelaki untuk bermain dengannya, kemudian menyebarkan video penyalahgunaan dadah dan aktiviti seksual dia.

Ayahnya telah menatang Ye Wan Wan seperti minyak yang penuh sejak dari kecil lagi. Seluruh keluarganya telah melayan dia seperti anak emas dan memenuhi semua permintaannya.

Semasa dia belajar di luar negara, dia hampir kehilangan nyawanya kerana serangan pengganas dan telah memberi trauma yang dalam kepadanya. Ibu bapanya tidak berhenti menyalahkan diri sendiri dan membawanya pulang dengan segera. Selepas itu, mereka menjadi lebih berwaspada pada keselamatan dirinya.

Perbuatan ibu bapanya yang terlalu melindungi dirinya telah menyebabkan dia menjadi mudah dan naif.

Ayahnya telah memberi amaran supaya supaya dia tidak meninggalkan rumah seorang diri, tapi demi untuk berjumpa dengan Gu Yue Ze, dia telah melarikan diri dari pengawal peribadi dan tetap menyelinap keluar.

Sudah tentu kerana itu jemputan dari Gu Yue Ze – walaupun langit dihujani dengan pisau, dia tetap akan pergi. Lagipun, ia hanya amaran kecil dari ayahnya yang menyekat dia pergi.

Apabila menghadapi ugutan dari ayah saudara keduanya pada masa itu, ayahnya tidak berfikir dua kali untuk melindungi dirinya dan mengorbankan seluruh keluarga Ye.

Selepas insiden itu, ibu bapanya takut dia menyalahkan dirinya sendiri, tidak mampu menanggung trauma itu nanti, jadi mereka menyembunyikan kebenaran sebenar dari dirinya.

Dia begitu bodoh mengingatkan Gu Yue Ze hanya tidak menepati janjinya pada masa itu dan tidak tahu tindak tanduk keterlaluan dia telah menyebabkan akibat yang teruk. Dia juga memutuskan hubungan dengan ibu bapanya untuk si tak guna yang akhirnya membatalkan perkahwinan mereka setelah mendapat tahu ayahnya telah kehilangan segala-galanya.

Dia telah menganggap serigala sebagai cinta hatinya dan menyangka saudara paling dekat dengan dirinya sebagai musuh…

Memikirkan perkara ini, Ye Wan Wan mahu mencekik dirinya sendiri sehingga mati.

'Ayah… Mak… Tunggu saya…

'Saya akan dapatkan semuanya kembali, walau ia hanya sebesar habuk!'

Pada masa itu, nada dering yang telah ditetapkan telah berbunyi pada telefon bimbitnya – Si Ye Han sedang memanggil.

Ye Wan Wan berhenti berfikir dan menenangkan diri untuk panggilan ini.

"Helo?"

"Kelas awak sudah habis?" Suara dalam dan rendah yang biasa didengarinya kedengaran dalam talian.

"Ya~ Kelas telah tamat~ Kami baru sahaja selesai latihan dan putera itu sungguh hodoh sehingga saya nyaris muntah atas pentas. Pada mulanya, saya mahu beritahu cikgu untuk mencari pengganti tapi cikgu beritahu keputusan cabutan undi tidak boleh diubah…" Ye Wan Wan mengadu. Dia sengaja mendedahkan kedudukannya dalam sekolah supaya Si Ye Han tiada sebab untuk percaya dia cuba menyembunyikan sesuatu.

Lelaki di talian itu mendengar penuh sabar dengan apa yang terjadi di sekolahnya, dan setelah dia selesai, lelaki itu bertanya, "Adakah awak lapang hari Sabtu ini?"

"Sabtu? Saya sepatutnya… Tiada apa-apa…"

Sekolah membenarkan para pelajar pulang setiap hari Sabtu dan Ahad. Jika Si Ye Han mahu dia pulang, dia tiada sebab untuk menolak. Dengan ini dalam fikirannya, suara Ye Wan Wan bertukar sedikit cemas.

Walaupun hanya untuk dua hari, bagaimana jika dia pulang dan tidak boleh kembali semula ke sini…

Kebebasan sangat penting pada dirinya dan ada banyak lagi perkara dia perlu lakukan. Dia dengan pasti tidak mahu kembali ke kehidupan lamanya.

"Nenda nak jumpa awak." Si Ye Han pasti menjangka kegelisahan dan penolakan Ye Wan Wan, dan suaranya menjadi lebih jauh.