Chereads / Encik CEO, Manjakan Aku 100 Peratus! / Chapter 46 - Berpindah Masuk?

Chapter 46 - Berpindah Masuk?

Berdiri di hadapan vila yang begitu luas itu, Xia Zhi merasa kagum. Namun Chengwu yang berada di samping Xia Zhi pula terkejut kerana dia mengenali vila ini. Bukankah ini vila lama keluarga Xia?

Kenapa Xinghe membawa mereka ke sini?

Adakah dia telah tersalah jalan?

Xinghe perasan akan ekspresi wajah mereka lalu menjelaskan. "Pak cik, vila ini memang milik saya sejak dulu lagi. Memandangkan ingatan saya sudah pulih, saya cuma mengambil vila ini kembali."

"Wu Rong rela kamu mengambilnya?" Itu lebih mengejutkan Chengwu.

"Penama dalam geran vila ini ialah saya. Jadi dia terpaksa bersetuju walaupun dia enggan. Saya telah menghalau dia keluar. Jadi mulai hari ini, vila ini adalah rumah kita. Dah, jom masuk." jelas Xinghe.

Xinghe menolak pintu lalu berjalan masuk.

Chengwu bersandar pada Xia Zhi, kedua anak beranak itu berjalan beriringan ke dalam villa itu dengan kekok. Mereka masih terperanjat dengan kejutan Xinghe itu.

Xinghe berjaya menghalau Wu Rong dan sekarang vila ini adalah rumah kami?

Adakah saya sedang bermimpi?

Mereka sangat kekok berdiri di dalam rumah yang penuh hiasan itu. Mereka rasa seperti sedang melawat rumah orang lain.

Mulut Xia Zhi ternganga ketika cuba menerima semuanya. Dia bertanya ragu-ragu, "Kakak cakap semua ini adalah milik kakak?"

Xinghe menjawab dengan nada serius, "Tidak, semuanya termasuk rumah ini adalah milik kita bersama, bukan saya seorang. Kita boleh tinggal di sini sepanjang hidup kita."

Xia Zhi tersentuh. Dia merasa air mata mengalir daripada matanya.

Chengwu juga merasa terharu tapi dia lebih realistik, dan mula bimbang.

"Xinghe, kamu sudah halau Wu Rong. Pak cik rasa dia takkan berdiam diri sahaja."

Xia Zhi terus menjawab, "Kalau dia ke sini untuk membuat masalah, saya sendiri yang akan halau dia!"

Xia Zhi sangat berdendam dengan Wu Rong. Jika bukan kerana dia mengambil secara paksa semua yang sepatutnya menjadi milik mereka, mereka tidak akan terseksa bertahun lamanya.

Sekadar menghalau Wu Rong pergi sama seperti melepaskannya dengan lembut.

Xinghe membalas dengan tenang, "Jangan bimbang, saya akan rampas semula semua yang sepatutnya menjadi milik kita tidak lama lagi."

"Jangan lupa bawa saya sekali. Saya ingin melihatnya dengan mata saya sendiri." Xia Zhi sangat teruja. Dia percaya dengan apa yang dikatakan Xinghe. Dia percaya yang Xinghe akan menuntut semuanya kembali.

"Pegang kata-kata saya." Xinghe berjanji. Kemudian, dia mengubah topik. "Pakcik, kamu masih lagi pesakit dalam pemulihan jadi baik pak cik masuk bilik dan berehat. Saya dah sediakan bilik di bawah supaya pak cik tak perlu naik turun tangga."

"Semua dah disediakan?" Chengwu bertanya dengan terperanjat.

Xinghe mengambil tangannya dan memimpinnya ke dalam bilik sambil mengangguk. "Ya, saya meminta bantuan orang untuk bersihkan tempat ini. Barang-barang juga sudah ada di sini."

"Terima kasih…" Chengwu mengangguk lalu menunduk menahan perasaannya.

Bilik Chengwu cukup bercahaya dan dihias rapi.

Xinghe membawa dia ke atas tilam. Dia melihat sekeliling bilik yang luas itu dan sekali lagi ombak perasaan menyambar hatinya.

Sejak kejatuhan mereka, mereka tidak pernah ada peluang untuk tidur di bilik mewah lagi.

Sekarang mereka sudah balik ke rumah lama keluarga mereka, dia merasa gembira bercampur sayu.

Sayu kerana mereka benar-benar telah terseksa dengan takdir dan gembira kerana mereka masih ada peluang untuk memperbaiki hidup mereka.

Kedua-dua Xia Zhi dan Xinghe menemani Chengwu di dalam biliknya untuk mengenang masa silam dan berbual. Mereka keluar apabila Chengwu sudah terlelap.

Xia Zhi mengambil peluang untuk bersiar-siar di dalam vila itu. Dia sering mengunjungi vila itu semasa kecil, tapi dia tidak pernah menyangka akan dapat tinggal di situ.

Dia mengeluh penuh perasaan.

"Kak, saya tak pernah terfikir kita akan dapat meninggalkan pangsapuri kotor itu. Tapi sekarang, kita tinggal dalam vila. Adakah ini mimpi…"