Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 915 - Perubahan Besar

Chapter 915 - Perubahan Besar

"Saya tak boleh ambil cuti. Ketua penyunting Zhou akan marah kepada saya. Saya tak mahu kehilangan kerja."

Yu Lili menyarung pakaian yang baru ketika mengatakannya dan melihat ke arah jam. Sudah hampir 9 pagi. Dia sepatutnya sudah pergi lebih setengah jam lalu!

Yu Lili merasakan dunianya hancur. Dia duduk di sofa dengan kecewa dan menjerit, "Habislah saya, saya akan terlewat lebih satu jam!"

Ou Ming berasa tidak berdaya. Dia tidak pernah melihat Yu Lili setakut itu sebelum ini.

Yu Lili yang tergesa-gesa tidak menyedari perubahan riak wajah Ou Ming. Dia berlari ke bilik air untuk memakai pad dan mengambil beberapa pad lagi. Kemudia dia menyumbat kesemua pad itu ke dalam begnya dan terus berlari keluar tanpa berkata apa-apa.

Ketika dia sedang berlari, tubuhnya terasa amat sakit terutama di bahagian bawah.

Tak guna…

Bukan sahaja dia merasakan kesakitan akibat tidur semalam di atas sofa, kini dia juga perlu berhadapan dengan senggugut.

Yu Lili terus berlari ke stesen kereta api dan melihat jamnya. Sudah pukul 9.40 pagi.

Yu Lili tahu dia tidak akan dapat mengelak daripada dimarahi dengan teruk, tetapi dia mungkin dapat mengelak daripada dimalukan di hadapan seluruh kakitangan pejabat. Dia merancang untuk terus ke pejabat ketua penyunting Zhou untuk meminta maaf. Setibanya di hadapan bangunan pejabat, dia terus berlari masuk dan terkejut apabila melihat ketua penyunting Zhou sedang duduk di kaunter hadapan. Dia mahu segera menyelesaikan perkara itu, jadi dia menutup matanya dan berkata, "Ketua penyunting Zhou, saya minta maaf kerana lewat."

Yu Lili tidak berniat untuk menjerit, tetapi suaranya kedengaran kuat dengan penuh ikhlas untuk meminta maaf.

Namun apa yang mengejutkannya, ketua penyunting Zhou tidak menjerit marah. Yu Lili membuka matanya perlahan-lahan dengan gementar terhadap apa yang bakal berlaku, tetapi reaksi ketua penyunting Zhou bukan seperti yang dijangkanya.

Ketua penyunting Zhou hanya merenungnya dengan pandangan pelik yang tidak dapat dibaca oleh Yu Lili. Yu Lili berasa takut untuk bertentang mata dengannya, jadi dia kembali tunduk dan mula menjelaskan. "Hari ini saya…"

Ketua penyunting Zhou mengangkat tangan untuk menghentikannya dan bertanya, "Kamu dah tebuk kad masa?" Suaranya kedengaran lembut, tetapi dia masih merenung Yu Lili dengan pandangan yang aneh.

Yu Lili menggeleng dan berkata, "Tak, belum lagi."

"Pergi tebuk kad masa kamu. Ada banyak kontrak yang perlu kamu semak. Satu lagi, Zi Yu minta cuti, jadi kamu boleh bekerja dengan Ye Qianqian hari ini."

Yu Lili terkejut. Dia memandang dan cuba membaca riak wajah aneh ketua penyunting Zhou dan merasakan seperti matahari telah terbit dari barat. Dia cuba menghadam perkara yang sedang berlaku.

Dia… dia tak menjerit marah kepada saya? Kenapa? Dan dia beritahu saya boleh bekerja dengan Ye Qianqian? Oh Tuhan, dah nak kiamatkah?

Semakin dia memikirkan kelakuan ketua penyunting Zhou, dia berasa semakin keliru. Namun dia tidak berani mempersoalkannya. Dia memutuskan ia bukan idea yang baik untuk membuat sesuatu tanpa berfikir panjang.

Yu Lili memandang ketua penyunting Zhou dengan gementar dan bertanya, "Bagaimana dengan kaunter hadapan?"

"Minggu depan akan ada penyambut tetamu yang baru. Lebih baik kamu belajar untuk menjadi pembantu penyunting dahulu supaya kamu boleh jadi eksekutif penyunting satu hari nanti. Pergi tebuk kad masa kamu. Disebabkan ini kali pertama kamu lewat, saya tak akan potong gaji kamu. Cuma ingat saya tak akan begitu memaafkan lain kali."

Mendengar kata-kata itu, Yu Lili bertambah keliru. Ketua penyunting Zhou sangat berbeza hari ini!

Dia telah memberikan semua yang dimahukan Yu Lili. Yu Lili mengangguk patuh dan segera pergi untuk menebuk kad masanya.

Setelah Yu Lili pergi, ketua penyunting Zhou menarik nafas lega. Dia kembali memandang lelaki muda di skrin komputernya. Dia tersenyum dengan wajah tidak bersalah dan berkata, "Seperti yang kamu lihat, Pembantu Khas Xu, saya tak cakap apa-apa yang biadap kepada Yu Lili. Saya harap kamu tak mengadu kepada Presiden. Cik Shen yang suruh saya layan Yu Lili dengan teruk. Sebelum ini saya tak tahu Yu Lili ada hubungan dengan Presiden. Dah tentulah, jika saya tahu lebih awal, saya tak akan dengar cakap Cik Shen." 

Xu Cheng hanya mendengar ketua penyunting Zhou yang cuba membela dirinya itu. Dia menggeleng dan berkata, "Tak kisahlah. Pergi ke jabatan personel di ibu pejabat dan ikut prosedur yang telah dibincangkan."

Ketua penyunting Zhou merayu, "Tunggu, Pembantu Khas Xu…"

Ketua penyunting Zhou masih mahu bercakap,tetapi sekelip mata skrin itu menjadi gelap. Xu Cheng telah menamatkan panggilan video itu.