Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 90 - Dia Layak Menerimanya

Chapter 90 - Dia Layak Menerimanya

Sebaik mendengar suara Lu Yihan, Su Qianci menggelengkan kepalanya dan bertanya, "Mengapa kamu datang?"

"Kenapa saya datang? Semalam kamu buat saya takut setengah mati. Kamu telefon saya dan kemudian saya dengar segalanya. Lepas saya hubungi polis dan bergegas ke studio, kamu dah berlumuran darah, dan terbaring di dalam pelukan Li Sicheng..."

Lu Yihan tiba-tiba menyedari dia mungkin akan menyebabkan Su Qianci tahu tentang kandungannya, lalu terus berhenti.

Su Qianci dapat mengagak perkara itu, lalu tersenyum dan berkata, "Saya sudah tahu."

Mendengar kata-kata itu, Lu Yihan melihat mata Su Qianci yang bengkak dan berasa amat marah. "Bagaimana kamu boleh jumpa orang-orang seperti itu? Mereka itu sampah masyarakat. Saya diberitahu kesemua mereka ialah penyeludup dadah, dan seorang daripada mereka sempat larikan diri daripada polis. Nasib baik seseorang jumpa dia di tepi pantai. Setakat yang saya tahu, dia sedang larikan diri dengan sejumlah wang yang banyak, tetapi entah bagaimana bertemu ikan jerung. Dia kehilangan separuh kakinya. Sangat mengerikan. "

"Dia mati?"

"Belum. Nyawa-nyawa ikan. Tapi dia memang layak menerimanya."

"Bagaimana dengan yang lain?"

"Disebabkan mereka semua penyeludup dadah, jadi tidak mungkin mereka akan terima hukuman ringan. Mereka akan habiskan sekurang-kurangnya sepuluh tahun di dalam penjara."

Bagaimana boleh jadi seperti ini? Penjahat-penjahat tersebut selalu berada di pusat latihan bela diri dan kelihatan gembira. Su Qianci langsung tidak menyangka mereka ialah penjenayah.

Bak kata pepatah, jangan menilai buku daripada kulitnya.

Su Qianci dapat merasakan segala pembongkaran tentang kerja jahat mereka yang selama ini tersimpan rapi mempunyai kaitan dengan Li Sicheng. Naluri Su Qianci selalunya tepat. Mungkin ia benar-benar kerja Li Sicheng. Namun, dia juga agak tidak yakin Li Sicheng akan melakukan perkara itu untuknya. Jika ia benar-benar kerja Li Sicheng, apa sebab sebenar untuk lelaki itu melakukannya?

Su Qianci mengerutkan kening dan sedang tenggelam dalam fikirannya sewaktu dia tiba-tiba melihat seorang wanita berbaju merah. "Yu Lili?" Su Qianci terkejut. Yu Lili adalah seseorang yang dikaguminya.

Yu Lili masuk ke wad itu sambil tersenyum lebar. Namun, sebaik sahaja ternampak Lu Yihan, senyumannya terus hilang.

Lu Yihan melihat Yu Lili dan terkejut. "Bukankah ini ratu kampus kita yang kedua, Yu Lili?"

Mendengar usikan Lu Yihan, Yu Lili memandang ke arahnya. Ini memang dia… Namun, Yu Lili segera menyedarkan dirinya dan berkata, "Bukankah ini Tuan Lu yang terkenal? Saya dengar kamu ada buat bisnes sendiri? Dah muflis atau belum?

"Tak guna. Kamu tak boleh doakan yang baik-baik saja?" balas Lu Yihan.

"Tak!" Yu Lili menjeling ke arah lelaki itu sambil meletakkan hadiah yang dibawanya di atas meja pada katil Su Qianci dan berkata, "Baguslah. Saya ingat kamu akan bunuh diri atau buat apa-apa yang buruk, jadi saya datang untuk ketawakan kamu. Nampaknya saya tak patut datang."

"Hei, kenapa kamu kejam sangat? Qianqian masih kurang sihat. Cakaplah perkara yang baik-baik."

"Kenapa kamu sibuk pula? Qianqian? Hati-hati dengan panggilan manja itu, ia boleh buat suami dia cemburu."

"Eh eh.. Bunyinya macam kamu yang cemburu? Kamu masih ada perasaan pada saya?"

Yu Lili seorang gadis yang ramah dan Lu Yihan pula terkenal sebagai pakar IT. Pada zaman persekolahan mereka, hampir semua orang tahu Yu Lili mempunyai perasaan kepada Lu Yihan.

Sebaik mendengar kata-kata Lu Yihan, wajah Yu Lili tiba-tiba berubah dan dia berpura-pura ketawa. "Tak tahu malu!"

Related Books

Popular novel hashtag