Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 881 - Memasak untuk Ou Ming

Chapter 881 - Memasak untuk Ou Ming

Bukankah agak keterlaluan jika saya pakai pakaian berjenama ke temu duga? Tapi… saya tak bawa walau sehelai pun pakaian yang saya biasa pakai di ibu kota…

Yu Lili berasa keliru tetapi tetap mengambil satu baju yang kelihatan paling biasa. Namun apabila mencubanya, ia masih kelihatan agak menonjol.

Seseorang itu bergantung kepada pakaiannya, ini ialah fakta. Apabila kamu memakai jenama yang bagus, ia akan terasa amat berbeza.

Tetapi Yu Lili tidak mahu orang lain tahu hubungannya dengan Ou Ming kerana Komik Eurasian berada di bawah Kumpulan Syarikat Ou. Jika mereka tahu dia tinggal bersama Ou Ming, berita itu pasti akan tersebar luas.

Yu Lili berfikir seketika, kemudian kembali ke bilik kerja Ou Ming dan mengambil kad hitam. Selepas bersiap, dia keluar dari rumah dan mengeluarkan 1000 yuan dari ATM berdekatan. Sambil memakai pakaian berjenama dan membawa beg tangan yang ringkas dan cantik, dia berjalan di lorong kedai barangan murah yang terkenal di bandar itu. Dia membeli dua pasang skirt dan seluar dengan harga 200 yuan. Kemudian dia pergi ke kedai yang kelihatan bagus dan membeli sehelai kot dengan harga lebih 300 yuan. 

Okey, sangat cantik.

Yu Lili menghantar pakaian yang baru dibelinya ke kedai dobi. Kemudian dia membeli beg tangan di kedai tepi jalan dengan harga lebih 100 yuan. Baki wangnya hanya tinggal 200 yuan. Ia tidak cukup untuk membeli sebuah tablet digital. Yu Lili pergi ke kedai barangan terpakain dan membeli tablet terpakai yang hanya berharga 130 yuan. Pada jam empat petang barulah Yu Lili selesai membeli-belah. Disebabkan belum makan sejak tengah hari, perutnya berasa amat lapar dan berbunyi. Dia mengeluarkan telefon bimbit dan menghubungi Ou Ming. 

Ou Ming sedang bersandar pada kerusinya. Sebaik mendengar telefonnya berdering, dia memandangnya sekilas dan melihat nama Yu Lili lalu terus menjawabnya.

Suara Yu Lili kedengaran gembira dan dia bertanya, "Kamu mahu makan apa? Saya mahu beli barang untuk memasak."

Ou Ming tidak mempunyai orang gaji. Dia juga jarang makan di luar, jadi dia hanya makan apa-apa yang mudah untuk dimasak. Rasanya tidak sedap. Yu Lili pernah menjadi orang gaji Ou Ming, jadi dia tidak mempunyai masalah untuk memasak. Sebaik mendengar pertanyaan Yu Lili, Ou Ming tersenyum. Dia berasa gembira dan berkata, "Saya akan makan apa-apa sahaja yang kamu masak."

"Okey, kalau begitu kamu tak boleh merungut," kata Yu Lili dengan nada amaran, tetapi bibirnya mengukir senyuman lebar. Hatinya berasa amat senang.

Ou Ming dapat merasakannya. Selepas menamatkan panggilan, dia menggeliat lalu menyambung kerjanya.

Yu Lili tidak tahu di mana pasar yang berdekatan, tetapi dia menjumpai sebuah pasar barangan basah di bawah pangsapuri mereka. Ou Ming amat menggemari masakan terung dan daging. Yu Lili pula sangat pandai memasaknya. Selepas selesai membeli barang masakan, Yu Lili pulang ke pangsapuri mereka. 

Yu Lili terkebil-kebil seketika di hadapan pintu, kemudian menekan beberapa nombor pada kunci.

Hari lahir saya.

Kata laluan salah. Yu Lili berasa kecewa, kemudian memasukkan hari lahir Ou Ming. Dia berasa lega apabila ia berjaya. Selepas masuk ke dalam rumah, dia terus menanak nasi sebelum mula memasak sup tofu kepala ikan, terung bersama sos bawang putih dan daging. Semuanya adalah masakan rumah yang ringkas, tetapi Yu Lili berasa amat gembira kerana dapat memasak.

Yu Lili baru sahaja menghidangkan nasi ketika Ou Ming masuk ke dalam rumah. Mendengar bunyi pintu dibuka, dia terus berlari keluar dari dapur dan berkata, "Kamu dah balik. Mari makan."

Ou Ming memandang Yu Lili yang tersenyum dan sedang memakai apron itu. Hatinya terasa hangat dan dia tersenyum sambil mengangguk. "Okey."