Tulisan Ou Ming sangat cantik dan kemas. Di antara tulisan Jerman yang memenuhi dua muka surat itu, tulisan China Ou Ming amat menonjol.
Mata Yu Lili dipenuhi kekaguman. Walaupun dia tidak memahami bahasa Jerman, dia terus membelek buku itu dan membaca komen Ou Ming. Selepas itu dia meletakkan buku tersebut kembali ke rak sebelum mengambil sebuah buku lain. Kali ini dia mampu untuk faham beberapa isi kandungan buku itu disebabkan ia dalam bahasa Jepun. Yu Lili menggeleng kepalanya dan teringat waktu mereka tinggal bersama di Xishan.
Tetapi Ou Ming tidak kerap tinggal di vila Xishan. Berkemungkinan dia pergi ke rumah perempuan lain atau tinggal di pangsapuri ini.
Yu Lili merasakan idea Ou Ming untuk pulang ke sini amat bagus. Persekitaran di sini sangat baik. Walaupun hanya pangsapuri, persekitaran dan hiasan di sini jauh lebih baik dari Vila Xishan. Apabila dibandingkan dengan Vila Xishan… Tidak hairanlah Ou Ming mengatakan di sini lebih selasa. Sebenarnya lebih daripada selesa, perasaan saya sudah bertambah baik.
Di hadapan kabinet pameran itu terdapat sebuah meja putih yang besar. Di tengah-tengah meja itu pula terletaknya satu komputer dengan skrin yang besar. Beberapa buah buku nota dan beberapa rak fail berada di sebelah komputer tersebut.
Yu Lili melihat komputer itu dan tidak tergesa-gesa menghidupkannya. Sebaliknya dia membuat panggilan kepada Ou Ming.
Ou Ming sedang sibuk, namun apabila melihat nama Yu Lili terpapar pada skrin telefonnya, perasaannya menjadi lebih baik. Dia menjawab panggilan itu dan meletakkan ia dalam mod pembesar suara.
Kedengaran suara Yu Lili, "Helo?"
"Ya."
"Ou Ming, boleh saya guna komputer kamu? Saya ada di bilik kerja."
Ou Ming tertawa kecil sebaik mendengar pertanyaan itu. "Kamu minta izin daripada saya. Guna saja, tak ada kata laluan."
Ou Ming kedengaran seperti sedang senang hati. Yu Lili turut berasa gembira mendengar nada suara itu. "Okey! Saya letak dulu ya."
"Kalau kamu bosan, kamu boleh keluar. Ada kad di dalam laci meja putih itu, kata laluannya sama seperti dahulu."
Ada kad di dalam laci… Adakah ia disediakan untuk saya? Yu Lili berasa semakin gembira lalu mengangguk dan berkata, "Okey, selamat tinggal!"
Ou Ming menamatkan panggilan dan memandang fail yang bertimbun di atas mejanya dengan senang hati. Bibirnya mengukir senyuman tanpa disedarinya. Namun ketika baru sahaja mahu menyambung kerja, telefonnya sekali lagi berdering.
Ia panggilan daripada Xu Cheng. Ou Ming menjawab panggilan itu dan terus berkata, "Xu Cheng."
Xu Cheng menggeletar kerana ini merupakan kali pertama Ou Ming bersuara dahulu! Ya Tuhan… habislah saya! "Encik Ou, saya dah aturkan semuanya. Semua dah sedia sekarang, kita hanya perlu tunggu Cik Yu hantar resume."
"Hantar resume?" Suara Ou Ming kedengaran hairan. "Kenapa dia perlu hantar resume?"
Xu Cheng terbatuk kecil dan berkata, "Seingat saya Bos suruh buatkan Cik Yu anggap dia dapat jawatan itu dengan usahanya sendiri, jadi saya…"
Selepas mendengar penjelasan Xu Cheng, Ou Ming mengangkat keningnya dan mengangguk. Kemudian dia bertanya, "Kedengaran bagus, tapi susah tak untuk lakukannya?"
Xu Cheng terdiam.
"Lupakan. Teruskan sahaja alang-alang ia sudah dilakukan."
Xu Cheng: "… Baik Bos."
*****
Selepas menamatkan panggilan, senyuman terus melebar di bibir Yu Lili, Dia menghidupkan komputer itu dan sementara menunggu, dia membuka laci. Seperti dijangka, dia melihat sekeping kad hitam tergeletak di dalam laci itu.