[Isteri Li Sicheng mengandung anak kembar. Li Sicheng selalu berlagak. Kita mesti ada anak kembar juga supaya tidak kalah dari awal!]
Kata-kata Ou Ming itu seakan kembali kedengaran. Suara itu penuh dengan pengharapan dan keinginan. Yu Lili masih mengingati kata-kata itu dengan jelas sehingga sekarang. Setiap kali teringatkannya, dia akan berasa amat bersalah.
Sekarang… Ou Ming sudah tahu apa yang berlaku dan ia membuatkan Yu Lili berasa lebih malu. Dia mengalihkan tangannya dari dada Ou Ming dan memeluk lehernya. Dia berkata sambil teresak-esak, "Maafkan saya, saya tak berniat…"
Hati Ou Ming terasa sakit mendengar kata-kata itu. Dia memeluk Yu Lili dengan erat dan berbisik, "Janji dengan saya, tak kira apa berlaku selepas ini, kamu mesti beritahu saya, okey? Beritahu saja dan kita akan selesaikannya bersama. Jangan sembunyikan apa-apa daripada saya, okey?" Hanya dengan cara ini, dia tidak akan buat kesilapan. Hanya dengan cara ini, dia akan dapat bersama-sama dengan Yu Lili selama-lamanya. Dia mahu bersama dengannya. Dia sangat mahukannya.
Yu Lili berhenti menangis. Selepas tersedu-sedu seketika, dia mengelap air mata menggunakan lengan bajunya. Dia menolak Ou Ming dengan lembut. Matanya yang bengkak dan kemerahan kerana menangis memandang Ou Ming.
Mata Ou Ming turut kemerahan. Dia mengelus pipi Yu Lili dengan lembut dan mengelap air matanya. "Janji dengan saya, okey?"
Yu Lili hampir menangis kembali. Dia menyapu air matanya tanpa berkata apa-apa.
Ou Ming tersenyum lembut dan berkata perlahan, "Mari kita pergi. Jangan tinggal di sini, saya akan bawa kamu ke kondominium di Yanjing Gardens."
"Kenapa?" Yu Lili bertanya sambil mendongak ke arah Ou Ming.
Ou Ming memandangnya dan berkata, "Di sana lebih selesa."
Yu Lili mengangguk tanpa bertanya apa-apa lagi. Tiba di tempat itu, Yu Lili mendapati ia adalah salah satu bangunan yang baru dibuka oleh Syarikat Li beberapa tahun lalu. Ia berada di kawasan yang strategik dan bernilai tinggi. Tingkat 28 menempatkan satu unit rumah yang mewah.
Yu Lili melihat Ou Ming memasukkan kata laluan. Sebaik pintu itu dibuka, dia melihat tempat itu agak luar biasa. Jika dilihat dari keadaan ruang tamu yang telah dibersihkan dan bau wangi yang dapat dihidu, jelas ada seseorang telah tinggal di sini.
Ou Ming membawa bagasi Yu Lili ke bilik tidur. Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik itu, Yu Lili melihat semua sut dan pakaian sudah digosok dan dilipat, malah semuanya amat kemas dan tersusun. Setiap sudut bilik itu mempunyai gaya yang sama. Jelas Ou Ming telah tinggal di sini.
"Saya… duduk di sini?" Yu Lili terkaku di tepi pintu. Dia memandang Ou Ming dengan teragak-agak dan bertanya, "Bukankah ini bilik kamu?"
"Ya, kita akan duduk di bilik ini bersama-sama." Ou Ming membuka kota barangan Yu Lili dan mengeluarkan satu demi satu isinya. "Kita akan tinggal bersama-sama selepas ini."
Mata Yu Lili kembali berkaca. Dahulu mereka tinggal di Vila Xishan. Sekarang disebabkan Vila Xishan telah banyak berubah, dia membawanya ke sini…
Tinggal bersama-sama selepas ini… Jadi, apa hubungan kita? Saya kekasih atau perempuan simpanannya?
Yu Lili tunduk dan mahu bertanya, tetapi takut dia akan terlalu beremosi. Dia mengambil pakaiannya dan menggantungnya bersama-sama Ou Ming, tetapi pergerakannya jauh lebih pantas daripada lelaki itu. Jelas Ou Ming sudah lama tidak melakukan kerja-kerja begini.