Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 870 - Dia Membuat Riak Wajah Begitu Lagi

Chapter 870 - Dia Membuat Riak Wajah Begitu Lagi

Betulkah?

[Kali ini alasan apa pula yang kamu nak beritahu?] Beberapa hari lalu ketika Yu Lili hampir menceritakan perkara sebenar, dia menuturkan kata-kata itu. Ia kerana dia tidak percaya ada sebab yang lain. Sebaik memikirkan kata-kata itu kembali, Ou Ming merasakan seperti mahu menumbuk dirinya sendiri!

Jadi memang ada sebab lain…

Mata Ou Ming mulai berkaca. Dia merenung baris-baris ayat di dalam telefonnya itu, kemudian berjalan ke bilik Yu Lili. Dia membuka pintu lalu masuk ke dalam bilik itu dan melihat Yu Lili sedang mengemaskan katilnya. Sebaik melihat Ou Ming masuk, Yu Lili hanya memandangnya sekilas sebelum menyambung mengemaskan katil.

Perempuan ini masih begini… Sampainya hati! Tanpa sedar dia membuatkan saya gementar, tetapi dia langsung tidak tahu. Sanggup dia begitu…

Ou Ming mendekati Yu Lili lalu memegang tangannya. Yu Lili terkejut dengan perlakuan tiba-tiba itu. Dia memandang Ou Ming dengan terkejut dan berkata, "Apa?" 

Tetapi Ou Ming tidak menjawab. Sebaliknya dia menarik Yu Lili ke dalam pelukannya. Yu Lili bertambah terkejut.

"Yu," Ou Ming bersuara sambil memeluk Yu Lili dengan kedua-dua belah tangannya. Sebelah tangannya masih memegang telefon bimbit. Suaranya kedengaran kosong. "Saya tanya kamu buat kali terakhir… Kenapa kamu gugurkan anak itu?"

Yu Lili tidak menyangka Ou Ming akan bertanya begitu secara tiba-tiba. Dia terdiam seketika dan fikirannya terus teringat anak kembarnya yang gugur. Hatinya seakan direntap dan dia berasa tidak selesa. Yu Lili bergelut untuk melepaskan diri. Walaupun hampir menangis, dia mendengus sinis dan berkata, "Kamu tak akan percaya juga. Lepaskan saya."

Mendengar kata-kata itu, Ou Ming berasa amat bersalah. Betapa berdosa dirinya kerana telah membuatkan Yu Lili berfikir begitu. Yu Lili terus bergelut, tetapi Ou Ming memeluknya lebih erat. Kepalanya berada di leher Yu Lili dan dia berkata, "Yu, jangan bergerak."

Yu Lili berasa tidak sedap hati dan bertanya dengan perasaan janggal, "Apa yang kamu mahu lakukan?" Ou Ming tidak akan berkelakuan begini tanpa sebarang sebab.

Ou Ming diam buat seketika sebelum bertanya, "Beritahu saya, kenapa kamu gugurkan bayi itu? Kenapa?"

Yu Lili berhenti bergelut dan sedang menahan dirinya daripada menangis. Matanya kemerahan. Ou Ming amat kuat dan memeluknya dengan sangat erat.

Yu Lili mendongak dan bertanya dengan nada sinis, "Kamu menyesalkah? Kamu menyesal bawa balik perempuan seperti saya kembali ke Kingstown? Jangan risau, saya akan bayar kembali wang kamu. Sekalipun kamu biarkan saya pergi, saya akan datang dan bayar kepada kamu nanti."

Hati Ou Ming terasa semakin pedih. Yu Lili membuat riak wajah begitu lagi. Tidak bolehkah dia beritahu saja kebenarannya? Jika saya tidak tahu perkara sebenar, pasti saya akan berasa marah dengan kata-katanya. Tetapi sekarang… hati Ou Ming hanya dipenuhi dengan perasaan bersalah dan tertekan. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama dia turut berasa marah dengan sikap Yu Lili dan berkata, "Biarkan kamu pergi untuk mati?"

"Saya tak akan mati." Dalam diam Yu Lili menarik nafas lega. Ya, ini baru betul. Tadi Ou Ming berkelakuan pelik! Dia menyambung, "Saya masih berhutang, jadi sebelum membunuh diri saya perlu bayar hutang dahulu. Jadi jangan bimbang, kamu akan dapat wang kamu kembali tidak lama lagi."