Matahari memancar terang di bandar Yunnan yang berwarna-warni itu. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak berlari-lari di jalan sambil ketawa dan bergurau, diikuti bunyi tangisan bayi. Cuaca amat baik pada hari ini.
Beberapa orang wanita tua yang memakai baju tradisional yang cantik dan kemas duduk di atas kerusi kecil di hadapan rumah. Mereka memerhatikan kanak-kanak bermain sambil berbual-bual dalam bahasa mereka sendiri.
Rong Anna sedang menjemur pakaian di bahagian atap bangunan sambil bernyanyi kecil. Selepas menyelesaikan kerjanya, dia berdiri di hujung satu sudut dan merenung ke arah matahari di kejauhan. Tangannya mengusap perutnya dan wajahnya dipenuhi dengan kasih seorang ibu hamil.
Bunyi salakan anjing sayup-sayup kedengaran, bercampur bunyi kereta elektrik yang menderu perlahan. Yu Lili berasa tenang dan damai di sebalik segala bunyi itu.
Indahnya. Jika saya boleh hidup begini selama-lamanya pun bagus juga. Kami boleh jalankan perniagaan di pekan kecil yang indah. Suami dan anak saya akan ada bersama saya. Kami akan bekerja bermula matahari terbit dan berehat apabila matahari terbenam…
Walau bagaimanapun, realiti kehidupan yang kejam membuatkan angan-angan kecilnya itu kelihatan amat sukar dicapai. Rong Anna tunduk dan ternampak beberapa orang lelaki berpakaian biasa sedang meronda-ronda di jalan itu secara diam-diam. Ada di antara mereka sedang merokok dan kesemua mereka kelihatan tinggi, sasa dan gagah. Beberapa orang di antara lelaki itu sedang berbual di telefon manakala beberapa orang lagi meronda di bahagian jalan yang lain.
Rong Anna dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Selepas memandang sekeliling, dia ternampak sebuah kereta polis yang terletak agak jauh dari situ. Namun dia hanya dapat melihat sebahagian badan kereta itu, jadi dia tidak dapat memastikan keadaan sebenar.
Rong Anna mengangkat bakul pakaiannya dan terus berlari menuruni tangga. Tiba di bilik sewa mereka yang kecil, Rong Anna menolak pintu dan terus masuk. Bo Xiao sedang bercakap di telefon dan riak wajahnya kelihatan tidak gembira. Rong Anna yang menyedari perkara itu masuk tanpa berkata apa-apa.
Bo Xiao kelihatan marah dan menjerit, "Xu Tua, itu tak menarik, lagipun… hei!" Panggilan itu diputuskan begitu sahaja dan membuatkan Bo Xiao amat berang lalu menyumpah, "Celaka!"
"Xiao, kenapa?"
"Sebelum ini Xu Tua yang celaka itu beritahu mahu ambil barang kita, tapi dah lama tak ada berita daripada dia. Saya telefon dia untuk tanya dan dia beritahu dia dah tak mahu barang kita. Tak guna!"
Sebaik mendengar perkara itu, riak wajah Rong Anna terus berubah. "Waktu barang dia tak dapat dipindahkan dahulu, kita bantu dia. Sekarang sanggup dia…"
"Sekarang dia tahu kita dalam situasi yang buruk, jadi dia tak mahu berurusan dengan kita. Bila hidup kita dah kembali baik, kita mesti balas dendam!" Bo Xiao menumbuk meja dan memegang kepalanya dengan berang. "Tidak, kita tak boleh menyerah Anna. Mari pergi."
Dahi Rong Anna berkerut. Dia mendekati Bo Xiao dan berkata, "Xiao, berkemungkinan besar ada polis di luar."
Bo Xiao terkejut dan matanya terbeliak. "Apa?"
Rong Anna memegang tangan dan memandang kekasihnya itu lalu berkata, "Mereka ada di kedua-dua belah jalan, tapi tiada sesiapa di jalan pintu belakang. Sekarang mari kita pergi melalui pintu belakang."
Bo Xiao memahami betapa seriusnya perkara ini. Selepas mengemaskan beberapa barangan penting, dia memakai topi dan penutup mulut lalu membuka pintu.