Ketika kata-kata itu keluar dari mulutnya, Yu Lili memakai kot merah dan berambut panjang dengan wajah yang diangkat tinggi. Waktu itu dia amat riak dan angkuh. Dia hidup bagaikan ratu ketika bersama Ou Ming. Dia tidak berdisiplin dan liar. Siapa yang tidak memuja atau menyukainya? Betapa hebatnya dia pada waktu itu. Namun kenapa dia pergi? Kenapa dia meninggalkannya? Lu Yihan yang dikatakan cinta pertamanya hanyalah alasan. Adakah kebebasan yang dikatakannya benar-benar penting? Adakah dia benar-benar mendapat kebebasan itu? Apa yang Ou Ming pasti, Yu Lili menjalani kehidupan yang teruk selepas meninggalkannya.
Teramat… teruk. Sehingga membuatkan Yu Lili yang dahulunya amat optimis kini cuba membunuh diri beberapa kali.
Mendengar kata-kata Ou Ming, Yu Lili merasakan seperti mendengar jenaka lalu ketawa. Dengan kepala yang disandarkan pada dada Ou Ming, dia berbisik perlahan, "Ya, saya berpura-pura. Mana ada orang boleh sentiasa positif seperti itu?" Selepas dihimpit oleh realiti beberapa kali, Yu Lili tidak mampu lagi bersemangat. Dahulu dia sangat yakin tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Baginya, orang-orang yang membunuh diri hanya mengada-ngada. Tetapi apabila dia sendiri menghadapinya, Yu Lili kini faham kerana mereka tidak mahu hidup. Kadang-kala ia bukan disebabkan perkara yang terzahir. Ia hanya disebabkan perkara biasa yang sudah tidak mampu dihadapi. Itu sahaja.
Letih. Saya teramat letih. Dunia ini sangat besar, tiada sesiapa akan menyedari saya sudah tiada. Mungkin Ou Ming akan ambil kisah buat sementara waktu dan menyesal: 'Ah, Yu mati, sayangnya saya kehilangan bahan jenaka.' Tetapi… mungkinkah Ou Ming akan bersedih? Mungkin tidak. Saya sangka dia amat mencintai saya, tetapi rupanya saya hanya menipu diri-sendiri. Saya tidak layak mengenali lelaki yang bertuah seperti itu.
Ou Ming terkejut dan terdiam seketika sebelum berbisik, "Yu Lili, jangan buat saya pandang rendah kepada kamu."
"Sejak bila kamu pandang saya tinggi?" Yu Lili telah berhenti menangis dan sedang tersenyum lembut. "Apa identiti kamu? Apa identiti saya? Jangan ingat orang lain bodoh. Malah sebenarnya, tiada sesiapa yang bodoh."
Ou Ming tidak berkata apa-apa. Dia berdiri lalu mengangkat Yu Lili dan membawanya turun. Beberapa orang doktor dan jururawat sedang menaiki tangga ketika mereka melihat Ou Ming mendukung Yu Lili turun. Mereka terkejut lalu memberikan laluan dan menekan butang lif untuk Ou Ming.
Yu Lili jatuh dengan teruk, maka seluruh tubuhnya lebam-lebam. Seorang jururawat menanggalkan bajunya dan menyapu ubat pada lukanya. Selepas kira-kira 10 minit, jururawat itu membalut lukanya dengan cepat dan membiarkan Ou Ming membawa Yu Lili pergi.
Xu Cheng sekali lagi datang dan membawa bubur panas. Selepas menyerahkannya kepada Ou Ming, dia segera beredar. Ou Ming membuka bekas bubur itu dan tidak membenarkan Yu Lili mengganggunya. "Makan sedikit."
Yu Lili terbaring di katilnya seperti mayat hidup dan tidak menjawab.
"Kalau kamu tak mahu makan, saya terpaksa suap kamu dengan mulut saya."
Yu Lili membuka matanya. Wajahnya yang pucat dan kekuningan tiada emosi. "Saya dah beberapa hari tak berus gigi."
Ou Ming seorang yang amat gilakan kebersihan, jadi dia pasti tidak mahu melakukannya. Seperti dijangkanya, riak wajah tenang Ou Ming terus berubah tidak senang selepas mendengar kata-katanya. Melihat riak wajah itu, Yu Lili kembali menutup matanya dengan tenang.
Walau bagaimanapun, tiba-tiba Ou Ming menariknya bangun dan sesaat selepas itu Yu Lili merasakan sesuatu yang lembut menyentuh bibirnya. Matanya terus terbeliak dan dia berasa seakan terkena panahan petir.