"Pergi!" Yu Lili menarik selimut itu kembali menutupi wajahnya. "Ou Ming, mengapa kau terlalu keji? Kau amat bencikan aku. Kenapa berpura-pura baik? Kau sungguh menjijikkan!"
Ou Ming berhenti menarik selimut Yu Lili dan kelihatan terganggu dengan kata-kata Yu Lili. Hatinya terasa pedih. Tetapi dia segera tersenyum lembut dan berkata, "Nampaknya kau masih ada sedikit kewarasan. Legalah aku."
Yu Lili mengerekot di dalam selimutnya dengan perasaan yang sedih. Tetapi dia tersenyum sinis dan berkata, "Jadi bolehlah kau keluar sekarang dan jangan ganggu aku!"
"Oh." Ou Ming membuka selimut itu lalu menarik lengan Yu Lili dan memaksanya duduk. "Aku cuma risau kau akan lari. Bukan mudah untuk dapatkan wang sekarang. Bil perubatan kau bukan murah. Jumlahnya antara 70 hingga 80 ribu."
Yu Lili bergelut beberapa kali tetapi mendapati dia tidak mampu melawan Ou Ming. Kemudian dia duduk sambil ketawa sinis dengan mata yang kelihatan lemah. Hati Ou Ming terasa pedih melihat keadaan Yu Lili.
Yu Lili berkata, "Kau masih kekurangan wang, Tuan Muda Ou?"
"Tidak." Ou Ming mengambil bantal, meletakkannya di belakang Yu Lili dan membiarkannya bersandar pada bantal itu. Tangannya menahan tubuh Yu Lili. Matanya dikecilkan dan dia berkata sambil tersenyum sinis, "Aku cuma suka tengok ular macam kau terseksa untuk bayar hutang. Ia membuatkan aku rasa hebat."
Nafas Yu Lili bertambah laju dan dia mengangkat kakinya untuk menyepak Ou Ming. Namun dia teramat lemah sehingga tindakannya itu tidak memberikan apa-apa kesan.
Ou Ming menaikkan keningnya sedikit kemudian menunjuk ke arah bubur dan makanan lain di atas meja. "Kalau kau tak makan apa-apa, macam mana kau nak ada kekuatan untuk lawan aku?"
Yu Lili memandang Ou Ming dan tiba-tiba menyedari apa sebenarnya yang mahu dilakukan oleh lelaki itu. Dia menutup matanya dan tidak mahu melihat Ou Ming.
"Kalau kamu makan, pasti ia boleh berfungsi, bukan?" Ou Ming berkata perlahan. Dia berkata kepada Yu Lili, tetapi kelihatan seperti memberitahu dirinya sendiri juga.
Berfungsi…
Menjijikkan!
Yu Lili berasa amat jijik. Dengan mata yang tertutup, dia menundukkan kepalanya dan cuba menjauhi Ou Ming.
Mata Ou Ming berubah sedikit gelap melihat pergerakan kecil itu. Dia mengangkat wajah Yu Lili dan mengarah, "Buka mulut kau."
Yu Lili menutup rapat bibirnya dan memalingkan mukanya ke arah lain dengan mata yang masih tertutup.
"Kalau kau tak makan semua ini, aku akan bilkan semua kerugian ekonomi ini kepada kau." Ou Ming duduk di atas katil itu dan memandang Yu Lili. Selepas mengira di dalam kepalanya, dia berkata, "Tak banyak, lagipun perniagaan di ibu kota tidak terlalu besar. Ia cuma berpuluh juta."
Yu Lili berasa marah dan membuka matanya lalu menjerit, "Kau tak tahu malukah?!"
Ou Ming mengambil peluang itu untuk menyumbat makanan ke dalam mulut Yu Lili menggunakan sudu.
Yu Lili terkejut dan terkaku seketika. Kemarahannya bertambah-tambah. Dia memuntahkan kembali bubur yang telah disumbat ke dalam mulutnya itu. Bubur yang dimuntahkannya mengotori selimut hospital.
Yu Lili mengambil selimut itu lalu melemparnya kepada Ou Ming.
Ou Ming masih duduk di sisi katil dan sut yang dipakainya dikotori dengan bubur dari selimut itu. Melihat perkara itu, Yu Lili berasa puas. Dia mendengus sinis dan kembali berbaring.
Namun ketika itu juga wajah Ou Ming bertambah berang. Dia menarik Yu Lili duduk kembali dan menahan tubuhnya lalu berkata, "Makan!"
Yu Lili mengunci bibirnya dan kekal tidak bergerak. Ou Ming mengambil sesudu bubur dan memaksanya ke mulut Yu Lili. Tetapi Yu Lili menutup mulutnya dengan amat kemas sehingga bubur itu tidak dapat dimasukkan.