Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 829 - Perempuan Tidak Berhati Perut

Chapter 829 - Perempuan Tidak Berhati Perut

Dengan kaki yang melangkah berat, Yu Lili menjumpai satu pagar yang rendah dan duduk sambil menyandarkan kepalanya pada pagar itu. Dia berasa letih dan tidak mempunyai sebarang kekuatan. Dia memerhatikan orang yang lalu-lalang. Semakin lama semakin sedikit orang yang melalui tempat itu. Yu Lili hampir tertidur kerana keletihan.

Setelah duduk di situ buat beberapa lama, akhirnya dia melihat hampir tiada orang di situ. Yu Lili bangun lalu cuba memanjat penghadang jambatan ketika tiada sesiapa melihatnya. Namun tubuhnya lebih lemah daripada jangkaannya.

Dia cuba mengangkat kakinya beberapa kali namun gagal. Akhirnya dia berjaya memanjat penghadang itu setelah agak lama. Yu Lili memandang sungai di bawahnya. Walau bagaimanapun, ketika dia cuba terjun, dia merasakan seseorang menarik kolar bajunya. Hati Yu Lili tersentak. Dia berpaling dan melihat sepasang mata yang merenungnya tajam dengan dingin dan berbahaya. 

Yu Lili terkejut dan cuba bergelut, tetapi belum sempat dia melakukan apa-apa, Ou Ming telah menariknya turun.

"Apa kau buat ni? Kau gilakah?" Suara Yu Lili sudah tidak sekuat tadi. Ia kedengaran amat lemah. Yu Lili cuba menampar tangan Ou Ming.

Ou Ming melepaskan kolar baju Yu Lili. Tanpa pegangannya, Yu Lili terus rebah ke tanah.

Saya… dah… tak berdaya…

Yu Lili tidak mampu membuka matanya.

Ou Ming bercangkung dan memegang dagu Yu Lili. Mata dan wajahnya kelihatan penuh amarah. Dia mengetap gigi dan bertanya, "Kau nak mati kah?"

Dagu Yu Lili berasa sakit kerana dipegang kuat oleh Ou Ming. Dia merenung Ou Ming dengan penuh kebencian tanpa berkata apa-apa. Pandangan matanya seakan sedang merenung seorang musuh yang amat dibenci.

Hati Ou Ming berasa pedih dan tangannya memegang dagu Yu Lili dengan lebih kuat. Bibirnya mengukir senyuman sinis dan penuh keangkuhan. Dia berkata dengan penuh perasaan membalas dendam, "Kau ingat semudah ini? Aku belum puas bermain lagi. Kenapa kau ingat kau dah dibenarkan mati?" Suaranya lembut tetapi setiap bait perkataannya ibarat racun yang menembus sehingga ke tulang.

Mata Yu Lili bertukar kemerahan. Dia mengangkat tangannya dan cuba menampar Ou Ming. Malangnya dia teramat lemah dan tamparannya hanya menyapu pipi Ou Ming. Ia bukan tamparan tetapi hanya sentuhan.

Ou Ming tahu Yu Lili mahu menamparnya. Dia ketawa sinis lalu menarik lengan Yu Lili dan bangun. Yu Lili berasa pening dan hampir muntah.

"Aku ingat kau larikan diri untuk cari kekasih lama kau. Tak sangka rupa-rupanya tiada sesiapa mahukan kau sekarang." Ou Ming memandang Yu Lili dengan penuh sinis dan menyambung, "Nampaknya tak ramai orang yang buta."

Yu Lili bertambah marah. "Kau ekori aku dari tadi?"

"Kau buatkan aku kecewa," Ou Ming mengiyakan tanpa berterus-terang.

Yu Lili sudah hilang semua kekuatannya. Dia menutup matanya dan tidak mahu bergerak lagi.

Melihat perkara itu, riak wajah Ou Ming bertambah dingin. Dia terus mendukung Yu Lili.

Ringannya. Perempuan ini terlalu kurus seakan boleh terbang ditiup angin.

Ou Ming memegang pinggang Yu Lili dan berasa simpati.

Langsung tiada lemak, malah kedua-dua lengannya juga amat kecil. Apa yang telah kamu lalui selama beberapa tahun ini?

Yu Lili bersandar pada lengan Ou Ming di luar sedarnya. Matanya tertutup dan dia langsung tidak bergerak.

Melihat keadaan Yu Lili yang seakan separuh mati itu, Ou Ming merasakan seperti mahu mencampaknya. Dia berbisik perlahan, "Perempuan tak berhati perut!"

Related Books

Popular novel hashtag