Peluh membasahi seluruh tubuh Jurulatih Jin. Dia ditendang dari belakang dan terus jatuh melutut. Dia berusaha untuk bangun tetapi segera disekat oleh pengawal di belakangnya. Tiba-tiba dia berasa seram sejuk. Lututnya terus menjadi lemah sebaik melihat lelaki di hadapannya.
Bentuk tubuh Li Sicheng hampir sempurna dan membuatnya kelihatan seperti patung yang diukir rapi. Dia tidak mempunyai masa untuk menukar pakaiannya yang berlumuran darah, tetapi masih kelihatan segak. Dia duduk bersilang kaki sambil menghisap rokok, merenung tajam kepada jurulatih Jin yang membuatkan jurulatih itu menggigil.
Pelatih Jin telah berjumpa ramai pakar ahli tinju dalam hidupnya, tetapi tidak ada antara mereka yang dapat membuatnya ketakutan seperti ini. Dengan hanya satu renungan seperti itu, dia berasa tidak selamat dan mahu melarikan diri. Namun, sebelum dia sempat bangun, dia ditendang sekali lagi oleh pengawal di belakangnya dan dipaksa membongkok. Kemudian, tangannya dipijak oleh kasut but askar pengawal itu.
"Argh!" Dia menjerit dalam kesakitan yang teramat.
Tapi… kasut but askar?
Jurulatih Jin melihat sekelilingnya dan menyedari pengawal yang membawanya ke tempat ini sangat berdisiplin. Mereka bukan pengawal biasa, tetapi tentera! Jurulatih Jin kemudian menyedari dengan siapa dia telah mencari masalah. Dia terus melihat Li Sicheng, yang masih merenungnya tajam.
"Mana kamu jumpa dia?"
"Dalam kereta api, tuan."
"Kereta api?"
"Ya, dia cuba melarikan diri."
Tanpa langsung bergerak dari tempatnya, Li Sicheng berbisik, "Larikan diri? Dan tinggalkan isteri dan anaknya?"
Pelatih Jin tidak berani bersuara dan hanya menundukkan kepalanya.
"Itu satu pertanyaan. Kau bercadang untuk tinggalkan isteri dan anak kau?" Seorang askar menendangnya dengan kasut but keras itu, membuatkan Jurulatih Jin menjerit.
"Nampaknya telahan aku tepat," Li Sicheng membuang puntung rokoknya dan berkata perlahan, "Tapi..."
Dia berdiri, memberi isyarat kepada askar yang memijak belakang jurulatih Jin untuk berundur, dan menarik jurulatih Jin untuk bangun. Jurulatih Jin berasa lega. Nampaknya lelaki ini bukanlah menakutkan seperti yang dia sangka. Dia berasa sedikit tenang dan bertanya, "Tapi?"
Li Sicheng ketawa, dan Jurulatih Jin turut mengikutinya. Namun, tiba-tiba satu tumbukan yang sangat kuat hinggap di wajah jurulatih itu. Jurulatih Jin menjerit dan terlambung ke udara. Tindakan tiba-tiba Li Sicheng itu telah mengejutkan semua orang.
Bang!
Tubuh jurulatih Jin jatuh ke lantai, dan semua orang dapat mendengar tulangnya patah.
Li Sicheng melompat ke atas badan jurulatih itu seperti seekor harimau kumbang dan memukulnya dengan kedua-dua belah tangannya. Setiap kali Li Sicheng memukulnya, lebam biru akan kelihatan pada tubuh jurulatih itu. Para askar di situ berasa agak gerun lalu menarik Li Sicheng. Jika dia meneruskannya, Jurulatih Jin mungkin akan mati.
Jurulatih Jin memuntahkan darah bersama-sama giginya yang patah.
"Isteri dan anakku tidak patut dicederakan oleh sesiapa."
"Namun, sebabkan kau dah cederakan isteri aku dan bunuh anak aku, jangan fikir tangan kau akan selamat."
Mendengar kata-kata itu, jurulatih Jin berasa seperti dirinya telah berada di dalam neraka...