Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 799 - Menggoda, Memperdaya dan Menipu

Chapter 799 - Menggoda, Memperdaya dan Menipu

Ou Ming turut masuk dengan diam dan melihat Yu Lili sedang ketawa bersama beberapa lelaki. Dia mendengus sinis tetapi tidak menghampiri mereka. Menggoda, memperdaya dan menipu, malah menjual senyuman, wajah dan tubuhnya… perempuan ini memang melakukan kerja dengan hebat. Benar-benar perempuan jalang! Ou Ming merenung Yu Lili dan melihat jamnya. Dia meneliti masa bermula ketika Yu Lili tiba di bar itu sehingga ketika dia mengatakan mahu ke tandas.

Ia mengambil masa hanya selama kurang setengah jam.

Ou Ming memerhatikan Yu Lili berjalan ke tandas lalu segera mengekorinya. Tetapi seperti jangkaannya, Yu Lili tidak pergi ke tandas, sebaliknya membelok ke satu sudut dan berjalan ke laluan kecemasan. Bahagian laluan itu amat sunyi dan bunyi kasut tumit tinggi Yu Lili dapat didengar dengan jelas. Ou Ming berdiri di pintu masuk laluan itu dan tidak mengikuti Yu Lili.

Sambil berdiri di pintu itu, dia menyalakan sepuntung rokok, kemudian menghembuskan asap dan mengetawakan dirinya sendiri. Apa yang sedang dilakukannya? Menjejaki bekas teman wanita? Atau bekas perempuan simpanan? Di hadapannya terdapat sebuah pintu yang memantulkan bayangan. Ou Ming melihat dirinya di pintu itu dan selepas seketika, dia berkata perlahan, "Kau pun lelaki tak guna juga."

-

Yu Lili berjalan keluar dari bar itu sambil menguap dan memeriksa wang yang berjaya dikumpulnya malam ini. Dia telah berjaya mendapat hampir 100 000 yuan dalam masa lebih seminggu. Jika dia berjaya mendapatkan 2000 yuan lagi, dia akan membayar wang Lu Yihan dahulu, kemudian beban di hatinya akan bertambah ringan. 

Yu Lili melihat jam dan mendapati sudah lebih pukul 12 tengah malam, jadi dia berjalan ke pintu keluar dengan lebih pantas. Namun tiba di pintu keluar, dia mendengar bunyi paip besi yang diketuk-ketuk pada tangan dari luar.

Yu Lili berhenti, kemudian menjenguk ke luar bar itu yang terang dan tidak berani untuk keluar. Tanpa sedar dia mula berundur. Tiba-tiba seseorang menjerit dari luar, "Berhenti!"

Yu Lili semakin takut lalu berpaling dan mahu melarikan diri. Tetapi tiba-tiba satu tangan menariknya dari belakang dan membuatkannya terus menjerit ketakutan. "Apa yang kamu lakukan?!"

Tetapi orang yang menariknya itu tiada belas kasihan dan terus mencampakkan Yu Lili ke tanah. Yu Lili yang tidak sempat berbuat apa-apa terus jatuh ke tanah dan merasakan sikunya sakit. Dia melihat sikunya dan mendapati ia sudah luka.

Tiba-tiba cahaya lampu yang menyuluh ke arahnya dihalang oleh beberapa susuk tubuh yang tinggi. Yu Lili mendongak dan melihat lima orang lelaki dengan tatu yang besar pada setiap lengan mereka. Setiap seorang lelaki itu memegang sebatang paip besi dan memandang ke arahnya dengan wajah menakutkan.

"Apa… apa yang kamu mahu?" Yu Lili terkejut dan berundur. "Tolong! Apa yang kamu mahu lakukan?!"

"Diam!" Lelaki-lelaki itu memandangnya dengan bengis. Salah seorang daripada mereka sedang mengunyah gula getah dan secara tiba-tiba meludah gula getah itu ke arah Yu Lili. Yu Lili menjerit dan segera menjauhkan diri daripada gula getah itu.

"Serahkan telefon bimbit kau." Salah seorang menghulurkan tangannya yang tidak memegang paip besi. "Mudahkan buat duit? Begitu ramai lelaki berjaya diperdaya oleh kau. Kau mesti gembira kan? Serahkan telefon kau!"

Yu Lili ketakutan dan menghulurkan telefonnya dengan tangan yang menggeletar. Lelaki itu mengambil telefon itu sebelum ketawa sinis, "Hei, telefon Apple terbaru lah. Kata laluan!"

Selepas Yu Lili memasukkan kata laluan, lelaki itu membuka WeChat lalu pergi ke bahagian 'dompet' Wechat. Dia terkejut seperti melihat hantu dan menjerit, "Wah, lebih 90 000 yuan! Disebabkan kau ada banyak wang, beri kami pinjam sedikit. Lagipun kau buat wang dengan sangat mudah. Cepat, beritahu aku kata laluannya."

Related Books

Popular novel hashtag