Rong Rui menghabiskan sup di dalam mangkuk lalu berdiri. "Saya nak keluar."
"Ke mana?"
"Ada sedikit urusan. Nanti saya balik." Rong Rui mendekati Cheng You, mengangkat dagunya lalu mencium isterinya itu.
Cheng You membuat wajah jijik dan merungut, "Kamu dah lap mulut atau belum? Kotorlah!"
Rong Rui ketawa kecil lalu melambai dan mengambil kunci keretanya. Dia memandu ke arah balai polis. Selepas memarkir keretanya, dia teragak-agak seketika sebelum akhirnya keluar dari kereta.
*****
Apabila Rong Anna kembali ke motel, Bo Xiao masih belum pulang.
Rong Anna berasa sedikit lega dan menyentuh perutnya tanpa sedar. Selesai mandi dan keluar dari bilik air, Rong Anna melihat tunangnya sudah pulang. Bo Xiao memandang Rong Anna sambil memegang wang di tangannya.
Rong Anna mengeringkan rambutnya dengan perasaan yang agak gementar. Dia berpaling ke arah lain dan bertanya, "Kamu ada jumpa Tiger?"
Bo Xiao tidak menjawab soalan itu. Sebaliknya dia memandang Rong Anna dengan tajam dan bertanya, "Anna, dari mana duit ini datang?"
Rong Anna menjawab perlahan, "Saya ambil dari kad bank yang sepupu saya beri…"
Bo Xiao terkejut dan berkata, "Oh Anna kekasihku, kamu tahu apa yang kamu dah lakukan? Kamu ingat sepupu kamu itu boleh dipercayai? Bukankah kita dah bersetuju untuk keluarkan wang ini apabila kita mahu tinggalkan tempat ini? Ketika itu saya akan menggunakan Tiger untuk menyembunyikannya. Selepas itu kita boleh hentikan semuanya dan pergi jauh dari sini. Kenapa kamu degil sangat?"
Rong Anna tidak dapat menahan dirinya daripada menangis. "Sepupu saya bukan orang asing. Walaupun dia tak berguna, dia orang yang baik dan tak akan serahkan saya kepada polis."
"Annaku yang naif, kamu bukan sepupu sebenar dia. Kamu tak tahukah?" Kemudian Bo Xiao menyambung dengan suara yang lebih perlahan, "Kita dah bunuh beberapa orang dan sedang membawa barangan curi. Tangan kita dah kotor. Apa yang buat kamu fikir Rong Rui tak akan khianati kita?'
"Saya…"
"Apa pun, kita tak boleh biarkan apa-apa kejadian berlaku pada tengah malam. Mari tinggalkan tempat ini, tunggu Tiger tiba esok, dapatkan wang itu dan pergi."
Rong Anna mengangguk dan memerhatikan Bo Xiao mula berkemas, tetapi hatinya semakin bercelaru. Apabila Bo Xiao selesai mengemas barangan mereka, Rong Anna mendekatinya lalu memeluknya dari belakang. Bo Xiao berpaling ke belakang. Rong Anna memeluknya semakin erat. Bo Xiao memegang tangan Rong Anna dan bertanya perlahan, "Kenapa?"
"Xiao," panggil Rong Anna dengan mata yang kemerahan. "Kenapa kita jadi begini? Sepatutnya kita bahagia selama-lamanya bersama keluarga dan kawan-kawan kita. Kenapa hidup kita jadi seperti ini? Pelarian yang tak berkesudahan, masa depan yang gelap… Saya tak mahu jadi begini."
Bo Xiao melepaskan keluhan kecil. "Saya pun tak mahu jadi begini. Kalau saya boleh jalani hidup yang baik, buat apa saya lakukan ini? Tapi pernah tak kamu fikir? Kalau kita tak terlibat dengan kegiatan ini, syarikat Bo pasti dah bankrap lama dahulu, mama dan papa kamu pasti tak benarkan kita bertunang dan ibu bapa saya pasti tak akan mampu punyai rumah di ibu kota. Saya tak mahu lakukan ini, tapi kita perlu hidup, bukan?"
Rong Anna memeluk Bo Xiao tanpa berkata apa-apa dan menangis . Bo Xiao turut diam dan berdiri kaku di tempatnya dengan perasaan yang kacau-bilau.
"Xiao, saya hamil."