Cahaya yang menyilaukan itu membuatkan Su Qianci mengecilkan matanya dan cuba mengelak cahaya itu. Lu Yihan membuka atap keretanya lalu cahaya itu masuk dari atas dengan sinaran yang seakan cahaya suci di alam mimpi dan melimpahi Su Qianci. Su Qianci berasa kebingungan. Tiba-tiba, seekor burung yang cantik terbang di atas mereka. Kilauan-kilauan cahaya itu bertaburan dan membuatkan mereka seakan berada di alam mimpi.
Lu Yihan keluar dari kereta lalu pergi membuka pintu Su Qianci sebelum menghulurkan tangannya, "Qianqian, seseorang sedang menunggu kamu."
Atau, menunggu mereka. Seseorang itu sedang menunggu Lu Yihan membawa Su Qianci kepadanya. Laksana seorang kesatria. Emosi yang bercampur-baur dapat dilihat dalam mata Lu Yihan. Kesedihan yang disembunyikan jauh di dalam hatinya akan dibawa ke beratus tahun lagi dan tidak lagi ditunjukkan.
Su Qianci melihat tangan Lu Yihan dan berasa agak bingung. Namun dia tetap menyambut huluran tangan itu dan meletakkan tangannya di atas tangan Lu Yihan. Sebaik sahaja dia turun dari kereta, kedengaran suara sorakan di sekeliling mereka. Su Qianci terkejut dan memandang sekeliling. Pada masa itu juga, dia merasakan satu angin yang dihembus kuat.
Tidak jauh daripadanya, kelihatan satu angin beserta kelopak-kelopak bunga yang cantik dan harum. Bunga-bunga itu bertaburan di sekelilingnya dari atas dengan sangat cantik.
Lu Yihan menarik Su Qianci ke arah satu ruang kosong di hadapan. Di sekeliling mereka, lampu-lampu di atas tanah mula dinyalakan. Lampu-lampu itu menyala lapisan demi lapisan. Pada akhirnya Su Qianci tidak lagi dapat melihat pemandangan sekeliling. Di seluruh tempat itu, hanya cahaya putih dapat dilihat. Sungguh terang, sungguh menyilaukan. Tiada apa-apa yang lain.
Entah mengapa Su Qianci berasa agak menggelabah. Walau bagaimanapun, Lu Yihan memegang tangannya dan menciumnya lembut. Hati Su Qianci bergetar. Dia memandang Lu Yihan dengan wajah tidak percaya.
Lu Yihan merenung Su Qianci dengan pandangan lembut. Lidahnya terkaku seketika. Kemudian dia berkata dengan suara yang lembut, "Puteriku, saya doakan kamu bahagia."
Qianqianku, saya doakan kamu bahagia. Cinta pertamaku, saya doakan kamu bahagia. Saya tidak lagi… layak untuk berada di sisi kamu. Kesatria akan tetap menjadi kesatria. Orang yang layak bersama si puteri hanyalah puteranya.
Lu Yihan tersenyum lembut dan melepaskan tangan Su Qianci.
Su Qianci sedang berdiri dalam keadaan bingung. Kini satu-satunya tempat bergantungnya telah melepaskan tangannya… Su Qianci terkejut lalu memegang kembali tangan Lu Yihan. "Yihan, apa yang kamu buat ni?"
Lu Yihan tersenyum, tetapi kepedihan yang dirasakan dalam hatinya sekali lagi terasa tidak tertahan. "Berdiri di sini. Jangan bergerak." Lu Yihan menolak tangan Su Qianci dengan lembut dan berundur perlahan-lahan lalu berpaling dengan berat hati. Akhirnya susuk tubuhnya tenggelam di sebalik cahaya yang terang itu.
Su Qianci sudah tidak dapat melihat Lu Yihan lagi. Kelihatan seperti Lu Yihan sudah memutuskan untuk menghilangkan diri dari dunianya. Satu perasaan yang tidak dapat dijelaskan membuatkan dada Su Qianci terasa sesak.
Ketika Su Qianci sedang hilang arah, tiba-tiba satu tangan memaut pinggangnya. Perasaan yang dikenali, wangian yang dikenali itu datang dari belakangnya. Su Qianci terkaku di tempatnya. Lelaki di belakangnya bergerak semakin hampir. Suara lelaki itu perlahan dan mengasyikkan ketika berkata, "Jangan takut. Saya ada di sini."