Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 738 - Meminjam Wang

Chapter 738 - Meminjam Wang

Keputusan yang tiba-tiba itu mengejutkan anak-anak dan pengawal-pengawal peribadinya. Su Qianci meminta mereka berkemas sebelum terus mendaftar keluar. Kesemua mereka pergi ke lapangan terbang dengan tergesa-gesa.

Kebetulan Cik Tang yang gagal untuk berbual dengan kanak-kanak bertiga itu beberapa hari lalu ternampak mereka dari belakang. Dia memusingkan tubuhnya yang lentik lalu meletakkan tangannya pada kaca mata hitamnya dan bertanya kepada staff di kaunter, "Mereka dah daftar keluar? Secepat ini?"

"Ya."

"Berapa lama dia tempah bilik? Seminggu, bukan?"

Staff itu hanya senyum dan tidak menjawab. Cik Tang ketawa kecil lalu menaiki lif ke tingkat atas.

Su Qianci tiba di lapangan terbang. Ketika dia baru sahaja mahu mematikan telefon kerana akan berada dalam penerbangan, dia melihat satu mesej WeChat yang baru diterimanya.

[Yu Lili]: Qianqian, kamu di sana?

Yu Lili amat jarang menghubunginya.

Su Qianci agak terkejut dan membalas: Ya.

Yu Lili membalas dengan pantas: Em… saya agak kekurangan wang sekarang. Boleh saya pinjam sedikit wang daripada kamu?

[Su Qianci]: Berapa?

[Yu Lili]: 5000...

Su Qianci tidak teragak-agak sebelum terus memindahkan 5000 ke akaun Yu Lili.

[Su Qianci]: Saya perlu matikan telefon sekarang. Dalam penerbangan.

[Yu Lili]: Terima kasih!

Selepas mendapat wang itu, barulah Yu Lili dapat menarik nafas lega. Dia segera membayar sewa rumahnya dan duduk setelah mendapat emoji 'okey' daripada tuan rumah.

Setelah berehat selama dua minggu, lebam di tubuhnya sudah hampir sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, disebabkan telah bercuti selama setengah bulan, Yu Lili tidak mempunyai wang. Dia menghabiskan wang simpanannya setiap hari. Gaya perbelanjaan yang telah sebati dalam dirinya menjadi beban yang besar. Dia sudah tidak boleh terus hidup begini…

Yu Lili merasakan dia perlu mencari kerja sampingan. Selepas mengira wang yang tinggal, dia mendapati wangnya hanya tinggal lebih kurang 300 dolar. Selepas membayar sewa melalui WeChat, dia hanya mempunyai 100 dolar di dalam akaunnya.

Betul-betul teruk… Yu Lili membeli semangkuk mi di kedai tingkat bawah dan membayar 10 dolar melalui WeChat. Dia mula risau tentang kehidupannya selepas ini. Dia mesti mencari kerja sampingan secepat mungkin. Selepas mencari di internet, akhirnya dia menjumpai satu kerja sampingan di sebuah kedai bunga. 

Ketika tinggal bersama Ou Ming, dia pernah menghadiri kelas gubahan bunga dan agak handal dengannya. Kerja sampingan ini akan memberikan tiga kali makan dan gaji sebanyak 150 sehari. Dia hanya perlu membantu pada cuti hari kebangsaan.

Yu Lili berfikir tentangnya sebelum menghubungi pemilik kedai bunga itu. Kemudian dia diminta datang temuduga dan akhirnya terus diminta datang kerja pada keesokan harinya. Pemilik kedai bunga itu ialah seorang wanita pertengahan umur yang baik hati.

Sepanjang hari, kerja Yu Lili ialah membungkus, mengalihkan serta menggubah bunga… Dari jam 8 pagi sehingga 7 malam, dia hanya dapat menukar pakaian dan pulang ke rumah apabila kedai itu ditutup. Sebaik sahaja tiba di rumah, Yu Lili terus merebahkan dirinya ke atas katil dan terlalu penat untuk mandi.

Tanpa sengaja, matanya tertancap pada gambar Ou Ming di dinding. Dia terbayang senyuman dingin dan ironi pada wajah lelaki itu ketika kali terakhir mereka bertemu. 

Yu Lili melepaskan keluhan berat, kemudian mandi dengan penuh keletihan sebelum terus tertidur sebaik berbaring di atas katilnya. Keesokan harinya, dia sudah mula dapat membiasakan diri dengan kerja di situ selepas semalam. Tetapi dia bertemu dengan orang yang amat tidak disangka-sangka, iaitu bosnya Tuan Li. 

Tuan Li datang dan membeli 99 kuntum bunga ros. Dia terkejut apabila melihat Yu Lili yang memakai pakaian pekerja di situ. "Yu, kenapa kamu ada di sini? Ini kedai kamu?"