Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 701 - Saya Letak Jawatan!

Chapter 701 - Saya Letak Jawatan!

Xu Jing menjerit, "Apa yang kau nak!"

"Aku nak hubungi polis. Kau tak nampak?" Yu Lili membuat wajah tidak bersalah. "Tapi panggilan dah diputuskan oleh kau. Sekarang aku perlu telefon mereka kembali. Kelakuan kau sangat tidak beradab."

Xu Jing mengetap giginya. "Yu Lili!"

"Ya, kenapa?" Yu Lili tersenyum, sebaliknya Xu Jing menggeletar kemarahan.

Xu Jing menarik nafas untuk cuba bertenang. "Mari kita selesaikan perkara ini sendiri. Apa yang kamu mahu?"

Yu Lili mendengus sinis. "Aku tak mahu apa-apa. Aku cuma mahu hubungi polis dan saman kamu kerana cuba menipu wang!"

"Kau tak perlu pergi sejauh itu! Beritahu saya berapa yang kau nak!"

Yu Lili tidak mengendahkannya dan berkata, "Ada lagi perkara lain, contohnya kamu gunakan masa kerja untuk main saham, paksa pekerja untuk lakukan kerja peribadi kamu pada waktu kerja dan paksa kami bekerja lebih masa. Semua orang tahu tentang ini. Cuma kamu berjaya sembunyikannya daripada pandangan pihak atasan jadi mereka tidak tahu. Sekarang bos dah tahu tentang ini. Saya tak rasa dia setuju dengan apa yang kamu lakukan. Betul tak, Tuan Li?"

Yu Lili memandang ke arah pintu di belakang Xu Jing.

Xu Jing terkejut mendengar kata-katanya. Dia berpaling ke belakang dan melihat bos besarnya Tuan Li sedang berdiri di belakangnya. Wajah lelaki itu kelihatan kecewa.

Tuan Li masuk ke bilik itu dan memandang wajah Xu Jing yang berpeluh lalu berkata dengan marah, "Apa yang sedang berlaku? Semua orang ada di sini. Kamu tak ada kerjakah? Kerja kamu semua dah selesai?"

Bau ubat yang amat kuat dapat dihidu dari Yu Lili, tambahan pula lukanya yang kembali berdarah amat menarik perhatian. Tuan Li menyedari keadaan pekerjanya itu lalu bertanya, "Yu, apa yang berlaku?"

Yu Lili menjelaskan serba ringkas tetapi membesar-besarkan cerita tentang perkara yang telah dilakukan oleh Xu jing. Xu Jing cuba menyampuk tetapi tidak berpeluang. Tuan Li turut menghalangnya dengan renungan tajam, jadi Xu Jing tidak berani berkata apa-apa.

Yu Lili merasakan mulutnya kering setelah selesai bercerita. "Kalau Tuan tak percayakan saya, Tuan boleh tanya mereka. Semua orang di sini ialah saksi saya. Kemampuan Puan Xu Jing membuat kerja memang tidak perlu dipersoalkan, tetapi sikapnya tak boleh ditoleransi. Tuan Li, saya nasihatkan Tuan tukar dia ke jabatan lain. Tuan pasti tahu ramai pekerja di jabatan ini berhenti kan? Ia semua disebabkan dia. Tetapi tiada sesiapa berani berkata apa-apa disebabkan dia sepupu isteri Tuan."

Tuan Li berasa marah apabila mendengar kata-kata itu. "Kerja ialah kerja, hubungan keluarga hal lain. Kamu ingat saya ambil dia atas sebab keluarga?"

"Bukankah?" Yu Lili mendepangkan tangannya. Salah seorang pekerja menyikunya dan mengisyaratkan supaya Yu Lili tidak bercakap terlalu banyak. Namun Yu Lili hanya ketawa dan berkata, "Saya tak mahu bekerja di sini lagi. Saya tahu Tuan tak akan pecat dia. Saya tak sanggup lagi ada penyelia seperti perempuan ini. Tuan Li, saya letak jawatan." Yu Lili berkata tanpa berselindung dan membuatkan rakan-rakan sekerjanya bersorak kagum dalam diam. 

Namun disebabkan Xu Jing dan bos besar mereka ada di situ, tiada sesiapa berani menzahirkannya.

Wajah Tuan Li kelihatan semakin kecewa. Ketika dia mahu berkata sesuatu, Yu Lili berkata terlebih dahulu, "Walau bagaimanapun, Xu Jing sememangnya cuba untuk menipu wang saya. Itu fakta. Kalau mahu perkara ini selesai tanpa campur tangan polis, saya tak mahu wang tapi saya mahu Xu Jing minta maaf kepada saya. Jika tidak, saya akan bawa perkara ini ke pihak sepatutnya!"