"Tidak mengapa." Tang Mengying senyum. "Saya suka berikan hadiah kepada makcik. Bukalah."
Puan Li tidak teragak-agak untuk membuka hadiah yang dibalut cermat itu sebelum dia melihat sehelai baju qipao berwarna hijau yang sangat cantik.
Semua orang kelihatan sangat terpegun dengan pakaian itu.
"Cantiknya!"
"Adakah ini sulaman? Ia sangat cantik!"
Puan Li tersenyum lebar. Dia merasa sangat bangga apabila mendengar pujian-pujian itu.
Puan Tang mengambil kesempatan itu dan mendekati Puan Li. "Mengying anak saya sangat pandai menjahit. Lihatlah hasil kerjanya yang sangat terperinci. Dia mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya."
Kata-katanya itu membuatkan semua yang berada di situ terkejut.
"Tang Mengying menjahitnya sendiri?"
"Mengagumkan! Bagusnya anak kamu!"
"Dengan kemahiran dan wajah seperti itu, Mengying, marilah jadi menantu perempuan saya."
Tang Mengying tersenyum anggun laksana perempuan sejati. Dia mengangguk kepada semua pujian tanpa menunjukkan perasaan janggal.
Puan Li mengeluh di dalam hati. Apalah malang nasibnya! Alangkah bagusnya jika menantunya ialah Tang Mengying. Bagaimana ia boleh menjadi perempuan ini! Sambil memikirkan hal tersebut, dia memandang Su Qianci dengan benci, dan senyumannya menghilang.
Su Qianci sudah mengetahui apa yang Puan Li sedang fikirkan. Semua yang sedang berlaku sekarang telah berlaku sewaktu kehidupannya yang lalu. Semua orang memuji Tang Mengying manakala Su Qianci menjadi batu loncatannya. Walaubagaimanapun, pada waktu ini…
"Su Qianci, apa hadiah yang kamu sediakan untuk makcik?" Tang Mengying berjaya membuatkan semua kembali tertumpu kepada Su Qianci. Dia tersenyum dengan gembira dan lemah lembut.
Lakonan seperti itulah yang dilakukan kononnya supaya Su Qianci berasa kurang janggal di hadapan orang lain.
Walaubagaimanapun, Su Qianci tahu Tang Mengying hanya mahu dia kelihatan seperti orang bodoh! Pada kehidupannya yang lepas, Su Qianci hanya mampu tersenyum janggal apabila Tang Mengying menunjukkan kebaikannya. Hadiahnya untuk Puan Li ialah satu barang mewah yang disediakan oleh keluarga Su. Ia sangat mahal tetapi langsung tidak dapat menandingi hasil jahitan tangan yang diberikan oleh Tang Mengying.
Dalam kehidupan sebelum ini, apabila dia menunjukkan hadiahnya di hadapan semua orang, Puan Tang berkata, "Sungguh tidak bernilai, dan awak itu menantunya." Selepas itu, dia dikeji. Semua orang mula memuji Tang Mengying, dan Puan Li menjadi semakin kecewa dengan menantu yang tidak pernah disukainya itu. Dia berharap anaknya akan menceraikan perempuan ini dengan segera dan mengahwini Tang Mengying.
Pada akhirnya, Tang Mengying berkata sesuatu untuk mengurangkan suasana janggal di situ.
Malangnya, Su Qianci yang dahulu sangat lurus dan tidak mengetahui bahawa dia telah dikenakan. Sebaliknya, dia sangat berterima kasih kepada Tang Mengying. Dalam kehidupannya yang lepas itu, dia sentiasa positif dan baik, tidak sanggup untuk berfikiran buruk terhadap orang lain. Tetapi dia tidak mengetahui bahawa pemikirannya yang begitu yang telah menyebabkan terjadinya kejadian-kejadian malang.
Dalam kehidupannya yang sekarang, dia tidak akan membuat kesilapan yang sama.
Su Qianci hanya tersenyum, dia tidak terus menjawab soalan Tang Mengying. Sebaliknya, dia melihat ke arah qipao hijau yang sedang dipegang oleh Puan Li. Dengan wajah seolah terkejut, dia bertanya, "Tang Mengying, adakah kamu belajar di Old Kingstown Qipao?"
Tang Mengying tidak menyangka Su Qianci akan tiba-tiba mengubah topik dan terkejut dengan pertanyaannya. Pada masa yang sama, Puan Tang yang kurang sopan berbanding anak perempuannya mengejek dan berkata, "Kamu fikir Mengying anak saya ada banyak masa lapang seperti kamu? Dia pergi ke Australia untuk belajar dan baru sahaja menamatkan pengajiannya. Dia baru pulang beberapa hari yang lepas."