Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 661 - Saya Tetap Papa Kamu

Chapter 661 - Saya Tetap Papa Kamu

"Haha, Papa memang hebat!" Li Jianyue memegang kepala ayahnya dengan bangga. Tetapi sebaik melihat abangnya terbaring di atas katil, dia berkata, "Papa, saya nak turun."

Li Sicheng mendongak ke arah anaknya itu. "Okey, Papa akan lempar kamu," katanya lalu mengangkat tinggi anak perempuannya itu dan membuatkan Li Jianyue menjerit ketakutan. Tangan besar Li Sicheng menangkap kembali anaknya. Li Jianyue ketawa dengan kuat dan peluh telah membasahi badannya.

Li Sicheng dapat merasakannya dan berkata, "Mari Papa hantar kamu kepada Mama untuk mandi."

"Saya nak mandi dengan Papa! Mama juga. Mari mandi bersama-sama!" Li Jianyue kelihatan girang sambil memeluk lengan Li Sicheng. "Boleh, Papa?"

Li Sicheng tersenyum lalu mendukung anaknya itu dan mencubit pipinya. Dia memandang Li Jianyue dengan penuh kasih sayang dan berkata, "Tak boleh, lelaki dan perempuan berbeza, tak boleh mandi bersama-sama. Papa akan mandi dengan abang kamu, kamu mandi dengan Mama, okey?"

Li Jianyue memuncungkan bibir dan berkata, "Okey."

Li Sicheng mengelus lembut pipi Li Jianyue dan menunjuk ke arah pipinya lalu berkata, "Cium Papa sikit."

"Muah!" Li Jianyue mencium pipi Li Sicheng sambil memegang lehernya.

Li Sicheng amat gembira dan menunjukkan kepada pipi di sebelah lagi, "Sini pula."

"Muah!" Li Jianyue menciumnya dan berkata dengan senyuman, "Mama, cium!"

Su Qianci mengangkat Li Jianyue lalu anak perempuannya itu turut mencium kedua-dua belah pipinya. Li Sicheng memerhatikan anak perempuannya serta isterinya itu dan berasa bahagia. Dia menoleh ke arah Li Jianqian yang telah menyelubungkan diri dengan selimut di hujung katil kecilnya. 

Su Qianci berbisik kepada Li Jianyue, "Pergi ajak abang kamu mandi."

Li Jianyue segera turun dari dukungan Su Qianci. Kemudian dia menarik selimut yang menyelubungi Li Jianqian dan menjerit, "Abang, mari mandi!"

"Abang mengantuk! Abang nak tidur!" Suara Li Jianqian kedengaran dari bawah selimut.

Li Jianyue memuncungkan bibirnya dan mendedahkan penipuan abangnya. "Abang tipu. Abang tak boleh tidur waktu begini, Abang selalu bermain dengan Abang Mosen dulu untuk dapat tidur!"

Li Jianqian tidak menunjukkan tanda-tanda mahu keluar dari selimutnya. Li Sicheng menghampiri katil itu lalu menarik selimut Li Jianqian. Sebaik sahaja mengangkat selimut itu, dia dapat merasakan bahang dan melihat Li Jianqian sudah basah dengan peluh. Li Sicheng meletakkan selimut itu ke tepi lalu menarik kolar baju Li Jianqian dengan sebelah tangan. Li Jianqian diangkat seperti seekor ayam dan tergantung di udara.

Li Jianqian merasakan maruahnya dicabar dan dia terus bergelut dengan kedua-dua tangan dan kakinya. "Lepaskan saya! Lepaskan saya! Kamu lelaki jahat!"

Li Sicheng mengecilkan matanya dengan pandangan yang menakutkan dan merenung tajam kanak-kanak itu. "Apa kamu panggil saya?"

Walaupun masih muda, Li Jianqian amat sensitif dengan perubahan emosi orang-orang di sekelilingnya. Ketika ini, dia melihat riak wajah Li Sicheng dan tahu lelaki itu sedang marah. Jantungnya berdegup kencang dan dia berasa agak takut, tetapi kemudian dia menjerit dengan kuat, "Lelaki jahat! Lepaskan saya, kenapa tarik saya? Saya benci kamu!" 

Li Sicheng tersenyum dingin dan terus mendukung Li Jianqian tanpa menghiraukan pergelutannya. Dia berkata, "Tak kira betapa menjengkelkan pun saya, saya tetap papa kamu!"

Dasu: Siapa Kata Saya Tak Mahu

Li Mosen terkebil-kebil dan hanya melihat perkara itu dengan diam. Li Sicheng melihatnya dan terus menarik Li Mosen bersama. "Mari mandi!" Li Mosen terkejut dan terus mengikut Li Sicheng. Hatinya berdegup laju dengan perasaan yang teruja. Seakan Li Sicheng ialah ayahnya juga.

Li Jianqian terus bergelut tanpa henti dan menjerit, "Lepaskan! Kamu lelaki jahat, saya tak mahu mandi dengan kamu!"

Li Sicheng berasa geram lalu menepuk punggung Li Jianqian. "Budak nakal, kamu tak mahu mandi setelah berpeluh begini?"

"Bukan urusan kamu! Saya nak Pak Cik Lu. Kamu tak layan saya dengan baik, hanya dia layan saya dengan baik. Saya tak mahu kamu jadi papa saya!" Li Jianqian menjerit dengan kuat. Kata-katanya membuatkan kesabaran Li Sicheng hampir hilang. 

Li Sicheng berhenti berjalan. Su Qianci yang memerhatikan mereka terkejut. "Sayang, kamu…"

Belum sempat Su Qianci menghabiskan kata-katanya, Li Sicheng sudah pun membuka pintu bilik air. Setelah menolak Li Mosen ke dalam, dia terus mengunci pintu. 

Su Qianci terkejut. Suaminya ini… bukan mahu memukul anak mereka di dalam, bukan? Su Qianci tahu Li Sicheng tidak sama seperti Lu Yihan. Li Jianqian telah mengatakan sesuatu yang mencabar kemarahan Li Sicheng. Apa yang patut dia lakukan?

Su Qianci mengetuk pintu, kemudian kedengaran suara suaminya. "Saya akan mandikan mereka, kamu pergi mandikan Ersu."

Bagaimana Su Qianci mampu untuk bertenang? Dasu tidak pernah dipukul oleh sesiapa. Walaupun masih kecil, anak lelakinya itu agak matang berbanding usia. Li Jianqian juga mempunyai maruah diri yang tinggi. Jika dia dipukul oleh Li Sicheng, adakah dia akan dapat memaafkan ayahnya itu? Su Qianci tidak fikir begitu.

Selepas berdiri di hadapan pintu itu seketika dan memastikan tiada bunyi aneh kedengaran, Su Qianci berlalu ke bilik air yang lain untuk memandikan anak perempuannya.

Li Jianqian diletakkan di bawah. Wajah dan matanya kelihatan kemerahan. Dia menahan air matanya daripada gugur sambil merenung Li Sicheng seolah-olah sedang melihat seorang penjenayah. Li Sicheng membuka air dan berpaling. Dia melihat Li Mosen sudah menanggalkan pakaian. Li Mosen menggesa Li Jianqian, "Dasu, tanggalkan baju cepat. Jom mandi bersama-sama!"

Li Jianqian mendengus dan berpaling ke arah lain.

Semasa mengisi air di dalam tab mandi, Li Sicheng berkata kepada Li Mosen, "Jangan pedulikan dia. Budak itu mahu mandi bersama perempuan. Dia bukan lelaki."

"Mana ada! Kamu yang bukan lelaki!" Li Jianqian berasa geram lalu menjerit marah.

Li Sicheng mula menanggalkan bajunya dengan wajah sinis. "Betul kan? Kamu mesti nak mandi dengan Mama dan adik kamu. Kamu bukan lelaki, jadi kamu tak mahu mandi dengan kamu. Kita biarkan saja dia, Mosen."

Li Mosen mendengar kata-kata itu lalu menjelir lidahnya kepada Li Jianqian, "Biar kamu sorang-sorang."

Wajah Li Jianqian bertambah merah dan dia menjerit, "Siapa kata saya tak nak mandi dengan kamu!"

"Jadi kamu nak?" Li Sicheng memandangnya dengan senyuman sinis. "Bagaimana kamu nak mandi kalau masih pakai baju. Kamu malukah?" Li Sicheng berkata sambil menanggalkan seluarnya.

"Kamu yang malu!" Li Jianqian membentak lalu menanggalkan pakaiannya. "Werk!"

Related Books

Popular novel hashtag