Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 654 - Masalah Besar!

Chapter 654 - Masalah Besar!

Anak lelakinya sedang menolaknya. Li Sicheng dapat melihat perkara itu. Lebih-lebih lagi apabila mendengar nama 'Pak Cik Lu' berkali-kali dari mulut Li Jianqian, Li Sicheng merasakan hatinya seakan dicakar-cakar. Mahu sahaja dia memberi pengajaran kepada budak kecil itu dan tunjukkan kepadanya siapa ayahnya. Tetapi cara yang kasar tidak akan berkesan. Li Sicheng berasa agak bingung. Dia masuk dan memijak karpet yang berwarna-warni itu.

Li Jianqian sedang memerhatikan Li Mosen bermain permainan dalam telefon. Li Sicheng duduk di antara dua katil kecil di situ dan berhadapan dengan mereka. Dia bertanya, "Apa yang kamu main?"

"Permainan baru! Saya tak tahu namanya," jawab Li Mosen yang sedang melawan raksasa. Seketika kemudian dia telah tertewas lalu berkata dengan suara yang sedih, "Susahnya nak lawan bos besar ni. Dah banyak kali saya kalah!"

"Biar saya cuba!" Li Jianqian mengambil telefon itu dan melawan raksasa yang sama. Setelah tertewas sebanyak dua kali, dia melemparkan telefon itu ke tepi. "Susahnya. Saya dah putus asa!"

Kebetulan telefon itu tercampak ke hadapan Li Sicheng yang segera mengambilnya dan mula bermain.

"Wahhh!"

"Wahhh!"

Kedengaran bunyi raksasa itu ditewaskan berkali-kali. Li Mosen bergegas ke belakang Li Sicheng untuk melihatnya bermain.

"Shiu Shiu Shiu"

Itu ialah bunyi pergerakan paling hebat dalam permainan tersebut. Kebiasaannya Li Jianqian hanya dapat membuat bunyi itu sebanyak dua atau tiga kali, tetapi Li Sicheng dapat membuatnya berterusan tanpa henti.

"Wah! Hebatlah!" kata Li Mosen dengan teruja. "Dasu, mari sini. Papa kamu hebat!"

Mendengar perkataan 'Papa kamu', Li Sicheng mula berasa agak senang dengan Li Mosen. Jari jemarinya terus menari di skrin telefon itu dan Li Mosen tidak henti-henti mengaguminya. "Wah, wah, bos itu dah hampir tewas! Tinggal 50% saja lagi!"

Telinga Li Jianqian bergerak-gerak mendengar kata-kata itu. Walaupun mula tertarik, dia tidak berganjak dari tempatnya dan berkata dengan wajah tegas, "Dia orang dewasa, dah tentulah lebih pandai main!"

Su Qianci ketawa dan berkata, "Tapi ini kali pertama Papa main. Mama pun orang dewasa, tapi Mama tak pandai main permainan ini."

Li Jianqian memuncungkan bibirnya dan masih tidak bergerak.

"Boom!"

Kedengaran bunyi bos itu ditewaskan dan membuatkan Li Mosen bertambah kagum. "Pak Cik, kamu memang hebat, lebih hebat daripada Pak Cik Luo!"

"Tahap kedua sekarang," Li Sicheng menyerahkan telefon itu kepada Li Mosen sambil memandangnya dengan lembut. "Mainlah, panggil Pak Cik kalau kamu perlukan bantuan."

"Terima kasih Pak Cik!" Li Mosen mengambil telefon itu dengan teruja dan berlari ke sebelah Li Jianqian lalu duduk bagi meneruskan permainan itu. Li Jianqian memerhatikan Li Mosen bermain, tetapi tidak dapat menahan dirinya daripada menoleh ke arah lelaki yang berada di hadapan mereka itu.

Li Sicheng turut memandangnya ketika itu. Mata yang hitam dan cantik itu kelihatan mengandungi perasaan yang tersembunyi. Menyedari Li Sicheng sedang merenungnya, pipi Li Jianqian sedikit kemerahan dan dia melepaskan batuk kecil. Kemudian Li Jianqian memalingkan wajahnya dan tidak menghiraukan Li Sicheng.

Su Qianci berasa agak risau. Ketika dia cuba berkata sesuatu, Li Sicheng menolaknya perlahan dan berkata, "Jom keluar."

Li Jianqian kelihatan terkejut. Sangkanya lelaki itu akan bercakap dengannya! Bukankah lelaki itu mahu dimaafkan? Kenapa tidak bercakap dengannya? Li Jianqian berasa agak marah dan kecewa tetapi tidak menunjukkannya.

Su Qianci memandang Li Jianqian lalu mengangguk. Dia bangun dan berjalan keluar bersama suaminya. 

Menyedari kedua ibu bapanya tidak menghiraukannya, Li Jianqian berasa amat marah sehingga wajahnya berkerut seribu. "Masalah besar!"

Related Books

Popular novel hashtag