Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 650 - Dia Sudah Melakukan Sesuatu yang Tidak Begitu Baik

Chapter 650 - Dia Sudah Melakukan Sesuatu yang Tidak Begitu Baik

Li Jianqian masih ingat kata-katanya itu sehingga sekarang? Su Qianci merasakan dadanya sesak dan menoleh ke arah suaminya. Mata Li Sicheng yang kebiasaannya bercahaya kelihatan suram. Su Qianci tidak menyangka Li Jianqian akan berkelakuan sebegitu dan cuba memujuk suaminya. "Kamu baru balik, dia belum dapat biasakan diri. Nanti dia akan okey."

Li Sicheng memegang tangan isterinya dan memandang lembut. "Mungkin."

Kapten Li yang duduk di sofa mendengar kata-kata Li Jianqian dan berasa tidak selesa atau lebih tepat lagi, dia berasa bersalah. Ayat Li Jianqian adalah kata-kata yang dituturkannya kepada pasangan kembar itu. Bagi membuatkan mereka membantu Su Qianci menerima Lu Yihan, dia sentiasa memberitahu budak-budak itu: 'Pak Cik Lu kemungkinan besar akan jadi ayah kamu nanti, jadi kamu mesti dengar cakap dia.' Jadi… Ehem, nampaknya dia sudah melakukan sesuatu yang tidak begitu baik. Kapten Li berpaling ke arah lain sambil berpura-pura tidak tahu apa-apa. Dia mengambil alat kawalan dan membuka TV.

Tiba-tiba loceng pintu berbunyi. Liu Sao membuka pintu dan mendapati Luo Zhan telah datang. Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah itu, Luo Zhan terus ternampak Li Sicheng. Matanya terbeliak sebelum dia segera berlari dan memeluk sahabat baiknya itu.

Li Sicheng ketawa perlahan dan menepuk-nepuk belakangnya.

Mata Luo Zhan kelihatan sedikit kemerahan dan dia terus memukul belakang Li Sicheng. "Apa yang kau buat selama bertahun-tahun?"

Li Sicheng menolak Luo Zhan yang memukul belakangnya dan menjawab, "Perkara yang besar!"

"Perkara apa? Bodoh, apa yang boleh menyebabkan kau hilangkan diri selama bertahun-tahun?"

Li Sicheng tidak menjawab sebaliknya menahan penumbuk Luo Zhan dan bertanya, "Mana Ou Ming?"

"Lelaki itu…" Luo Zhan melepaskan keluhan berat. Dia memandang Li Sicheng dengan riak wajah yang rumit. "Macam mana kau terselamat, aku ingat…" Bukan sahaja dia, malah kebanyakan orang menyangka lelaki di hadapannya ini telah mati. Selama ini juga dia menyangka Su Qianci mempunyai masalah mental dan tidak mahu menerima kenyataan. Tetapi apabila kini Li Sicheng berada di hadapannya, Luo Zhan tersedar Su Qianci langsung tidak mempunyai masalah mental. Malah Su Qianci lebih waras daripada sesiapa sahaja. Kini Su Qianci telah berjaya membawa pulang lelaki yang sepatutnya telah tiada ini.

Li Sicheng ketawa kecil mendengar soalan itu. "Bila Ou Ming datang nanti, aku akan ceritakan kepada kau berdua. Aku ada hutang dengan dia." Walaupun dia tidak tahu situasi Ou Ming selama beberapa tahun ini, dia masih dapat mengagaknya. Selepas Yu Lili gugur, sebagai sahabat baik Ou Ming, dia sepatutnya berada di sisi lelaki itu untuk menaikkan semangatnya kembali. Siapa sangka perkara itu akan berlaku… Melihat dari sudut seorang lelaki, walaupun Ou Ming tidak akan mengatakannya, tetapi Li Sicheng tahu Ou Ming pasti berasa amat bersalah.

Luo Zhan mengangguk dan mengeluarkan telefonnya untuk menghubungi Ou Ming.

Kali ini panggilannya dijawab. "Hei?" Suara Ou Ming kedengaran.

Li Sicheng mengambil telefon itu daripada Luo Zhan dan menyebut, "Ou Ming."

Suasana diam seketika sebelum kedengaran satu bunyi yang kuat. Ia kedengaran seperti telefon yang dipegang Ou Ming telah terjatuh.

Luo Zhan terdiam, begitu juga Li Sicheng. Kedengaran lebih banyak barang jatuh. Selepas beberapa minit, barulah suara Ou Ming kembali. Ou Ming cuba berpura-pura tenang dan bertanya, "Luo Zhan?"

"Ini aku," kata Li Sicheng dengan senyuman yang hampir tidak kelihatan.

Sebaik mendengar suara itu lagi, nafas Ou Ming terus menderu kencang dan dia memberanikan dirinya untuk bertanya, "Sicheng?"

Related Books

Popular novel hashtag