Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 636 - Calla Lily Bermaksud Selama-Lamanya (I)

Chapter 636 - Calla Lily Bermaksud Selama-Lamanya (I)

[Pada jam 2 pagi, sejumlah besar heroin telah ditemui digudang Alatan Muzik Bo cawangan Kingstown. Presiden cawangan itu telah disiasat oleh pihak polis. Hasil siasatan mendapati terdapat seorang ketua di sebalik presiden itu yang telah melarikan diri dari bandar Kingstown malam tadi.]

Di kaca TV, kelihatan sekumpulan besar wartawan sedang mengerumuni seorang lelaki tua yang berumur dalam lingkungan 50 hingga 60-an.

[Mengikut siasatan, Syarikat Bo telah berada di ambang muflis tujuh tahun lalu dengan kerugian hampir dua bilion. Kejadian itu merupakan krisis terbesar dalam sejarah Syarikat Bo. Selepas itu, mereka mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat antarabangsa dan berjaya memulihkan keadaan syarikat. Polis telah mula menjalankan penyiasatan sejak dari itu. Mengikut sumber dalaman, ketua yang melarikan diri itu ialah anak tunggal presiden Syarikat Alatan Muzik Bo yang tidak mahu memberi sebarang komen berkenaan kebangkitan mereka daripada ambang muflis dan telah berada dalam kawalan polis sejak dari itu.]

...

Lelaki tua itu menonton berita tersebut sambil memegang alat kawalan TV di tangannya. Dia menggeleng dan mengeluh. "Teruknya. Keluarga itu sepatutnya ada hubungan baik dengan keluarga Rong di ibu kota. Bagaimana mereka boleh terlibat dengan dadah…"

Li Jianyue, Li Jianqian dan Li Mosen sedang bersarapan. Mendengar kata-kata Kapten Li, Li Jianyue membawa turun mangkuknya dari meja dan menghampiri Kapten Li lalu bertanya, "Tok Ayah, dadah tu apa?"

"Dadah tu benda yang teruk. Jangan sesekali sentuh. Ia akan rosakkan hidup kamu!" Kapten Li berkata dengan hati yang berat sambil menggelengkan kepalanya. "Ersu kena ingat, dadah tak boleh disentuh."

"Oh!" Li Jianyue menyuap bubur yang dipegangnya ke dalam mulutnya, tetapi sedikit bubur terjatuh ke atas bajunya yang cantik. Dia tunduk dan memuncungkan bibirnya lalu memandang Kapten Li. "Dah kotor. Apa patut saya buat, Tok Ayah?"

Lelaki tua itu ketawa lalu mengambil tisu dan mengelap baju cicitnya itu. "Mari Tok Ayah suapkan kamu."

"Tak mahu. Mama cakap Ersu kena pandai makan dan pergi tandas sendiri. Kalau tak Ersu tak akan besar!" Namun Li Jianyue tetap makan dengan kucar-kacir. Apabila melihat bubur itu jatuh ke atas baju dan lantai, dia berundur dan mangkuk yang dipegangnya terjatuh ke lantai. Li Jianyue memuncungkan bibirnya dan matanya terus bergenang. Dia memandang Kapten Li sambil menangis. "Jatuh…" 

Lelaki tua itu ketawa lalu mengangkat Li Jianyue ke atas sofa. Kemudian dia mengambil tisu lagi dan mengelap baju gadis kecil itu. "Liu Sao, tolong bersihkan di sini dulu!"

Liu Sao yang berada di luar mendengar jeritan Kapten Li dan terus menyahut.

Su Qianci baru sahaja bangun dan selesai mandi. Dia masuk ke ruang tamu dan melihat jam tangannya. Baru sahaja hampir jam 7.30 pagi.

Sebaik masuk ke ruang tamu, dia melihat mangkuk yang berada di lantai dan anak perempuannya yang comot. Kepalanya mula terasa pening. Dia agak kegeraman dan bertanya, "Li Ersu, apa semua ni?"

Air mata Ersu kembali mengalir. Dia menangis tersedu-sedu dan menjawab perlahan, "Ersu tak sengaja. Mangkuk tu nak lari. Ersu tak dapat tangkap, jadi ia jatuh."

"Kamu!" Su Qianci tidak dapat menahan ketawa. Dia mengambil mangkuk itu dan mengelap lantai lalu masuk ke dapur untuk mengambil mangkuk baru. "Mari, Mama suapkan kamu."

"Yeay!" Li Jianyue gembira ibunya tidak menjerit marah. Dia turun dari sofa dengan kakinya yang kecil itu dan berlari masuk ke ruang makan.

Related Books

Popular novel hashtag