Jantung Su Qianci berdegup kencang. Dia baru sahaja mendapat tahu satu rahsia besar. Tetapi perasaan terkejut itu serta-merta hilang tanpa kesan.
"Kamu dah agak tentang ini?" Suara Li Jinnan kedengaran. "Datang ke ruang tamu."
Su Qianci segera memutuskan talian dan berlari keluar tanpa memakai selipar.
Li Jinnan memakai baju ketat yang menonjolkan setiap ototnya. Dia sedang duduk di sofa dengan badan sedikit bongkok ke arah meja kopi dan sedang menaip sesuatu di laptop. Sebaik melihat Su Qianci, dia melambai dengan telefon masih di tangannya.
Su Qianci duduk di sebelah Li Jinnan dan matanya tertancap kepada skrin laptop itu. Satu video sedang terpasang dan jika dilihat dari sudut dan pencahayaannya, video itu diambil melalui kamera kecil yang tersembunyi. Kemungkinan ia sesuatu yang disamarkan sebagai butang atau tali leher.
"Jing Sao, saya datang untuk hantar ubat."
Wanita yang bernama Jing Sao itu bangun dan mengambil 'ubat' yang dikatakan. Dia menghidunya sebelum mengangguk. "Okey, kamu boleh pergi."
"Makanan juga ada. Orang di dalam belum makan, kan?"
"Okey. Tinggalkan saja di sini."
"Lebih baik kalau kamu berikan makanan ini kepadanya sementara masih panas. Cik Tang cakap, biar dia makan cepat dan bersedia untuk bekerja. Ada kerja penting yang perlu dia lakukan."
Jing Sao berasa marah mendengar leteran itu. "Kenapa utusan hari ini sangat menjengkelkan. Apa yang kamu nak? Saya tak akan bunuh dia. Tak perlu risau!"
"Okey, kalau macam tu saya pergi dulu."
"Berambus!" Angin Jing Sao kelihatan tidak baik. Dia melempar makanan yang dibawa utusan itu ke tepi, kemudian menyambung bermain permainan di telefon bimbitnya. Utusan itu tidak dapat mendekati penjara tersebut dan kamera itu kini menghadap arah bertentangan.
Li Jinnan menutup video itu dan memandang Su Qianci. "Abang saya ada di dalam."
Su Qianci merenung skrin yang kini kosong itu dan nafasnya menjadi laju.
"Lelaki yang kamu jumpa haritu, yang selamatkan kamu dan Ersu di taman tema, kemungkinan besar ialah abang saya," Li Jinnan berkata perlahan, kemudian menggerakkan kursor dan membuka mesej di Weibonya. Kelihatan perbualan yang baru sahaja dilihat Su Qianci tadi. "L ini juga ialah Li Sicheng."
"Dia ketagihan dadah," Su Qianci menoleh ke arah Li Jinnan. "Tang Mengying berikan dia dadah. Kamu dengar sendiri kan dalam rakaman suara tu!"
"Kamu ada berlawan dengannya bukan? Kamu mesti tahu dia masih kuat. Adakah dia kelihatan seperti penagih dadah?" Hanya dengan melihat rakaman kejadian di taman tema itu yang tidak jelas, Li Jinnan segera tahu penyelamat itu tidak mungkin menghisap dadah. Dia mampu memegang Su Qianci dengan kemas hanya menggunakan sebelah tangan. Malah orang biasa yang tidak menggunakan dadah juga pasti sukar untuk melakukannya.
"Tak ada!" Su Qianci tidak teragak-agak menjawab.
"Betul. Jadi dia pasti ada sebab tersendiri kenapa dia belum kembali. Kakak ipar, kamu tahu kan perasaan dia terhadap kamu? Kamu tiga beradik mungkin berlainan perwatakan, tapi kami masih ada persamaan." Li Jinnan merenung Su Qianci. Pandangan matanya seakan menyembunyikan satu emosi yang gagal difahami Su Qianci. "Kami tak akan berubah fikiran selepas membuat pilihan. Dia telah memilih kamu, jadi hanya kamu yang penting untuk dia. Dia hanya ada satu keluarga. Selagi dia masih hidup, dia pasti akan kembali."
Itu bermakna kamu tidak boleh mengahwini Lu Yihan.
Lelaki seperti itu tidak layak untuk kamu.