Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 622 - Bagaimana Kalau Kita Bertaruh?

Chapter 622 - Bagaimana Kalau Kita Bertaruh?

Walaupun sudah menjangkakannya, Su Qianci tetap panik sebaik mendengar kata-kata itu lalu terus bangun.

Walau bagaimanapun, Lu Yihan menolaknya lembut untuk duduk kembali. Di bawah cahaya yang cantik di sekeliling mereka, pandangan mata lelaki itu kelihatan bersinar dan cantik. Lu Yihan memandangnya dan kelihatan terganggu, kemudian berkata perlahan, "Bagaimana kalau kita bertaruh?"

Su Qianci terpana seketika dengan mata Lu Yihan dan bertanya dalam separuh sedar, "Apa?"

"Bukankah kamu cakap dia masih hidup?"

"Ya, dia masih hidup!" Su Qianci menegaskan tanpa teragak-agak. "Haritu, dia yang selamatkan saya dan anak perempuan saya. Kalau bukan kerana dia, kami mungkin dah jatuh dan mati."

Hati Lu Yihan terasa pedih mendengar kata-kata itu. Li Sicheng sudah mati, sudah mati. Semua orang tahu lelaki itu sudah tiada buat selama-lamanya, tetapi kenapa Su Qianci tidak mahu menerima kenyataan? Dia memandang Su Qianci dengan simpati dan berkata perlahan, "Kalau begitu, mari kita bertaruh."

Su Qianci mengetap bibirnya sambil memandang Lu Yihan tanpa berkata apa-apa.

"Jika dia masih hidup, jika memang dia yang selamatkan kamu haritu, jadi dia pasti akan kembali. Dia sangat bencikan saya. Kamu tahu kan?" Lu Yihan tersenyum seakan mengejek dirinya sendiri. "Dia akan pukul saya sebaik saja kami jumpa. Jadi dia tak mungkin akan sanggup terima kenyataan yang kamu dan saya berkahwin, bukan?"

Ya, sangat tepat. Dahulu, Su Qianci tidak tahu perasaan Lu Yihan terhadapnya, tetapi Li Sicheng sudah dapat melihatnya dari awal. Disebabkan itulah Li Sicheng cuba menghalang Lu Yihan daripada mendekatinya. Setiap kali bertemu Lu Yihan, Li Sicheng akan melihat Lu Yihan sebagai musuh dan cuba menyembunyikannya. Su Qianci tahu semua itu. Dia mengangguk mendengar kata-kata Lu Yihan.

"Jika dia belum meninggal dunia, jika dia masih hidup, dia pasti akan kembali dan cuba musnahkan perkahwinan itu." Lu Yihan memandang Su Qianci dan matanya seakan merayu. "Kamu sangat fasih dengan perangai dia, bukan?"

Betul. Li Sicheng tidak akan pernah menerimanya jika mereka berkahwin.

Su Qianci sedikit menggeletar dan bertanya, "Maksud kamu, kita boleh gunakan cara dia untuk paksa dia keluar?" Jika Li Sicheng tidak mahu keluar, dia tidak akan dapat menjumpainya.

"Ya." Lu Yihan mengangguk dengan perasaan seakan tidak percaya Su Qianci hampir bersetuju. "Cuba berkahwin dengan saya. Kalau dia benar-benar keluar, saya akan lepaskan kamu dan tak akan ganggu kamu lagi. Tapi... jika dia tak keluar, kamu berikan saya satu peluang, boleh?"

"Yihan..."

"Budak-budak itu perlukan seorang ayah," kata Lu Yihan. "Kamu tak sendirian, Qianqian. Kamu ada mereka. Ketiga-tiga mereka dah terima saya. Kalau kamu beri saya peluang jadi ayah mereka, itu pasti yang terbaik, bukan? Atau kamu mahu besarkan mereka sebagai ibu tunggal seumur hidup? Itu tak adil untuk mereka, Qianqian."

Tetapi… jika dia menerima Lu Yihan, ia pasti sangat tidak adil kepada suaminya. Li Sicheng telah berada dalam hatinya selama dua kehidupannya. Dia tidak boleh mencintai sesiapa selain lelaki itu. Su Qianci memandang Lu Yihan dan matanya mula basah. Suaranya menjadi sebak ketika dia berkata, "Kamu tahu kan, saya sentiasa tunggu dia. Saya tak boleh anggap kamu lebih daripada kawan. Yihan, saya…"

"Cuba dulu. Kalau dia masih hidup, dia pasti akan kembali untuk halang kamu daripada berkahwin dengan saya. Qianqian, kamu mahu jumpa dia, kan?"

Pertanyaan Lu Yihan mencuit kelemahannya.

Related Books

Popular novel hashtag