Orang ramai datang dan pergi. Bunyi kanak-kanak ketawa riang, bisikan orang yang lalu-lalang, bunyi pengumuman oleh pihak taman tema dan suara yang berbincang tentang kejadian tadi… kesemuanya bercampur-baur, tetapi buat Su Qianci ketika itu, dunianya amat sunyi dan fikirannya kosong. Lelaki yang tinggi tetapi jauh lebih kurus daripada sebelum ini itu terus bergerak ke hadapan tanpa teragak-agak. Kepalanya sedikit ditundukkan dan wajahnya disembunyikan di sebalik topi dan kaca mata hitamnya. Lelaki itu langsung tidak menoleh ke belakang untuk melihat Su Qianci dan terus menghilangkan diri di sebalik orang ramai. Seakan yang telah berlaku ketika kejadian letupan empat tahun lalu, lelaki itu kembali lenyap tanpa sebarang kesan.
Su Qianci berdiri kaku di tengah-tengah jalan itu. Susuk tubuhnya yang kurus kelihatan lemah, seakan seorang kanak-kanak yang terbiar. Dia telah tiba di hujung taman tema itu. Tiada lagi permainan di hadapannya.
"Li Sicheng! Li Sicheng!" Su Qianci menjerit dengan suara yang bergetar. Tangisannya membuatkan suaranya serak. Dia terus memandang sekeliling, tetapi tiada sesiapa! Ramai orang menoleh ke arahnya, tetapi mereka semua bukan orang yang dicarinya. Adakah suaminya itu langsung tidak mahu melihat wajahnya? Hati Su Qianci terasa amat pedih sehingga nafasnya menjadi sesak. Sekali lagi, kesakitan itu disebabkan oleh lelaki itu… sangat pedih…
"Saya tahu orang tadi ialah kamu. Mana kamu sekarang?"
Tiada sesiapa menjawab. Orang ramai yang lalu-lalang menoleh sebelum cepat-cepat berlalu pergi. Tiba-tiba, satu lagu dipasang pada pembesar suara. Lagu itu ialah nyanyian penyanyi Jamyang Dolma yang bersuara merdu.
'Masihkah kau ingat janji-janjimu terhadapku?
Kau tak akan membiarkan aku merinduimu
Tetapi kau akhirnya pergi jauh
Cinta ini dirasakan seperti layang-layang yang terputus tali
Aku tak dapat menagih janji cintamu…'
[Haritu waktu saya tiba-tiba tak dapat hubungi kamu, saya teramat risau. Saya ingat kamu kemalangan.]
[Lain kali saya tak akan buat lagi. Kalau saya hilangkan diri secara tiba-tiba macam haritu, kamu boleh tunggu saya balik kemudian hukum saya. Saya janji akan terimanya dengan rela…]
Kata-kata Li Sicheng pada satu ketika dahulu terngiang-ngiang di telinganya.
Ketika itu, suaminya itu memeluknya kemudian menciumnya dengan lembut dan berkata: [Tak kira apa jenis hukuman sekalipun.]
Matahari memancar terang. Di bawah cuaca yang panas itu, Su Qianci rebah terduduk lalu menangis dengan tidak berdaya, "Kenapa kamu pergi? Suamiku, saya amat rindukan kamu. Kenapa kamu tak pulang?"
Li Sicheng sedang bersembunyi di sebalik satu permainan roket yang besar. Cuaca di situ panas, tetapi Li Sicheng tidak bergerak.
Hatinya berasa amat pedih mendengar tangisan isterinya. Air matanya yang sering ditahan selama lebih 20 tahun meronta-ronta untuk keluar.
Saya di sini. Di sini…
Kepalanya disandarkan pada tiang. Tekaknya terasa perit. Tangisan Su Qianci menambahkan perasaan bersalahnya di atas segala yang telah dilakukannya.
Dia mahu memeluk Su Qianci dengan erat seperti beberapa tahun lalu. Dia mahu menyapu air mata dan menghilangkan segala kesedihan isterinya.
Dia mahu mandi bersama isterinya dan memakaikan baju untuknya. Dia mahu mengingatkan Su Qianci untuk memakai selipar dan memastikan isterinya tidak kesejukan, seperti yang dilakukannya dahulu. Seperti empat tahun lalu.
Tetapi semua itu masih mustahil sekarang…
Dia masih belum boleh pulang. Dia masih belum boleh mendedahkan dirinya.
Dia perlukan dua bulan sahaja lagi. Ya, sekurang-kurangnya dua bulan.
Selepas itu dia akan kembali ke sisi isterinya dengan terbuka dan terhormat. Kemudian dia akan kekal bersama isteri dan anak-anaknya buat selama-lamanya…