Pujian itu jelas langsung tidak ikhlas. Orang-orang dewasa di situ terus ketawa, tetapi Li Jianyue tidak faham apa yang diketawakan mereka. Dia hanya berasa bangga melihat mereka ketawa. "Abang Mosen, saya paling comel kan?"
"Ya, Ersu paling comel dalam dunia," jawab Li Mosen dengan ikhlas sambil memandang wajah putih kemerahan Li Jianyue dengan sepasang mata birunya yang bersinar.
Li Jianyue bertambah gembira. Dia mengangkat dagunya ke atas kemudian melihat kotak yang dipegang Li Mosen. "Abang Mosen tak mahu tengok hadiah apa yang Nenek beri? Mari kita buka!"
Li Mosen tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum dengan wajah penuh berharap Li Jianyue. Dia meletakkan kotak hadiah itu di atas meja dan membuka pengikat rebennya.
Li Jianyue memanjangkan tengkuknya untuk melihat isi kotak itu. Matanya terkebil-kebil melihat barang logam yang gelap dan berkilauan lalu bertanya, "Apa ni?"
Li Mosen mengeluarkannya dan mendapati ia adalah beberapa serpihan kecil di dalam plastik yang disertakan sekeping gambar kereta.
"Model kereta?" Mata Li Mosen terus bersinar dan dia membuka plastik mainan itu dengan tidak sabar.
Beberapa serpihan logam kecil berwarna gelap jatuh ke lantai lalu Li Mosen segera mengambilnya dengan teruja. "Memang model kereta! Cantiknya!"
Li Jianyue memeluk anak patungnya dan berkata acuh tidak acuh, "Apa yang cantik? Hitam saja."
Walau bagaimanapun, Li Jianqian sebaliknya terus mengangkat kepala sebaik mendengar perkataan "model kereta". Dia segera turun dari ribaan Rong Haiyue dan bergegas ke arah Li Mosen.
"Wah, memang model keretalah!" Li Jianqian menggosok-gosok kedua tapak tangannya dengan teruja. "Mosen, mari kita siapkannya bersama-sama. Saya pandai pasang benda ini."
"Okey." Li Mosen mengutip serpihan-serpihan itu dengan berhati-berhati. Wajahnya jelas sangat gembira.
Li Jianyue kelihatan agak kecewa. Dia mendengus kecil dan berkata, "Saya nak main juga."
"Pergi sana. Kamu cuma tahu sepahkannya," kata Li Jianqian sambil memandang adiknya dengan tajam.
Li Jianyue menarik tangan Li Mosen. "Abang Mosen, saya nak main juga."
Li Mosen tersenyum lalu memegang lengan Li Jianyue dan berkata, "Okey, jom kita pasang sama-sama."
"Abang Mosen terbaik!" Li Jianyue tersenyum kemudian menjeling abangnya sebelum mengasakkan dirinya di antara kedua-dua budak lelaki itu.
Su Qianci berasa geli hati melihat teletah anak-anaknya. Dia membantu Li Mosen meletakkan kembali serpihan-serpihan kecil itu ke dalam kotak dan berkata, "Pergi main di dalam. Dasu, bawa Mosen dan adik kamu."
"Okey." Li Jianqian kelihatan sangat teruja tetapi tidak lupa mengambil permainan barunya.
Li Mosen memegang kotak hadiah itu di sebelah tangannya dan memegang tangan Li Jianyue di sebelah lagi. Puteri kecil itu masih memegang anak patungnya. Manakala Li Jianqian membawa beberapa mainan robotnya sambil mengekori mereka dengan wajah gembira.
Setelah melihat ketiga-tiga mereka masuk ke dalam dengan gembira, Su Qianci menghampiri meja kopi dan menekan butang untuk menyediakan teh. Gerak-gerinya amat lembut dan elegan, serta jelas berkemahiran.
"Kamu berdua ada kerja di Kingstown?" tanya Su Qianci sambil membuat teh.
"Tak ada apa, kami cuma datang untuk jumpa kamu," kata Rong Xuan yang duduk di sebelah Rong Haiyue. "Dah lebih sebulan kami tak lihat budak-budak tu. Mereka membesar dengan sangat cepat, takut kami tak kenal mereka pula kalau terlalu lama tak berjumpa."