Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 591 - Kenapa Kamu Tidak Pulang?

Chapter 591 - Kenapa Kamu Tidak Pulang?

Tangisan Su Qianci masih belum berhenti ketika dia menggelengkan kepalanya. Dia tidak mahu memberitahu keluarga itu tentang perkara yang belum pasti. Jika dia dan Li Jinnan gagal menyelamatkan Li Sicheng, mereka yang sudah tua itu akan hanya diselubungi kerisauan yang tidak berpenghujung.

Qin Shuhua tidak berkata apa-apa ketika melihat mata Su Qianci yang bengkak, sebaliknya hanya menyuruh menantunya itu masuk tidur. Kemudian dia berlalu ke biliknya bersama suaminya. 

——————————

Sebaik tiba di rumahnya, Li Jinnan terus membuka laptop sebelum mendaftar masuk ke akaun media sosialnya. Kemudian dia terus mencari akaun L.

Li?

Li Sicheng?

Jari Li Jinnan pantas menaip satu mesej pendek.

Li Sicheng sedang menguruskan dokumen ketika dia menyedari satu mesej masuk. Dia terus membuka mesej itu.

[Li3]: Kalau kamu boleh hantar mesej, kenapa tak pulang?

Li Sicheng melihat nama akaun itu. Li3. Jelas menunjukkan gaya adiknya.

Matanya merenung soalan Li Jinnan dengan dingin. Bibirnya diketap dan jarinya menari di atas papan kekunci. Dia menaip: Belum tiba masanya.

Walau bagaimanapun, setelah berfikir seketika, dia memadam mesej itu dan membalas: Saya selamat. Tak perlu risau.

Sebaik mendengar derapan kasut tumit tinggi menghampiri dari luar, mata Li Sicheng berubah dan dia terus memadam mesej itu sebelum menutup laman sementara itu. Kini hanya dokumen yang belum siap itu terpapar pada skrin laptop di hadapannya.

Tang Mengying berjalan masuk dan tersenyum melihat Li Sicheng sedang bekerja. "Bagus, Jing Sao, berikan dia dadah itu pada masa yang ditetapkan esok."

"Baik, Cik Tang."

Li Sicheng merenung Tang Mengying yang membelakanginya dengan pandangan dingin.

Dah tak lama lagi…

——————————

Li Jinnan menerima mesej Li Sicheng dan segera membalas: Kamu di mana?

Tiada jawapan.

Li Jinnan merenung skrin komputernya buat beberapa ketika tanpa bersuara. Kemudian dia mengambil sebatang rokok dan menyalakannya lalu berbaring di atas sofa yang didudukinya. Matanya separuh tertutup ketika mindanya memikirkan pelbagai perkara.

——————————

Majlis menandatangani kontrak bersama TL telah dijadualkan pada petang hari Jumaat itu.

Li Jinnan menghadiri majlis itu manakala Su Qianci resah di pejabatnya. Dia tidak sabar untuk mengetahui bagaimana Li Jinnan berhadapan dengan Tang Mengying.

Ketika sedang gelisah, tiba-tiba telefonnya berdering. Sebaik melihat ia panggilan dari rumah, Su Qianci menenangkan dirinya sebelum menjawab. "Helo?"

"Mama!" Suara manis gadis kecil itu menyenangkan hatinya. Su Qianci tersenyum dan menjawab.

"Mama, Tok Ayah cakap esok hari Sabtu." Suara Li Jianyue sangat manis dan lembut, hampir sahaja mencairkan hati Su Qianci.

Su Qianci duduk di kerusinya dan menggeliat sebelum bertanya lembut, "Kenapa dengan hari Sabtu?"

Li Jianyue memandang lelaki tua di sebelahnya yang sedang memandangnya dengan penuh harapan, lalu menyebut ayat yang telah disediakan oleh lelaki tua itu kepadanya, "Ersu nak pergi taman permainan, Dasu dan Abang Mosen pun nak pergi juga. Boleh Mama bawa kami ke sana esok?"

"Esok…" Su Qianci berfikir seketika. "Ersu sendiri yang nak pergi?"

"Er…" Li Jianyue teragak-agak sambil memandang lelaki tua yang sedang memberi arah di sebelahnya.

Lelaki tua itu berasa gementar dan berkata tanpa suara: Ya, cakap ya!

Li Jianyue kelihatan serba salah. Dia mengangguk dan berkata, "Memang Ersu nak pergi, tapi…"

Perkataan "tapi" itu membuatkan Kapten Li panik. Dia menutup mukanya yang telah berkedut itu dengan tangan dan tidak sanggup mendengar perbualan itu lagi.