Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 589 - Semua Orang Berkemungkinan Menyakitinya, Kecuali Dia

Chapter 589 - Semua Orang Berkemungkinan Menyakitinya, Kecuali Dia

Su Qianci memandang Li Jinnan dengan pandangan tidak percaya. Suaranya sebak ketika dia berkata, "Bukti ini belum cukupkah? Tang Mengying sebut nama dia, dia panggil Li Sicheng. Itu memang dia, memang Li Sicheng!"

"Tapi bagaimana kamu tahu wanita yang bercakap itu ialah Tang Mengying?" Li Jinnan meletakkan telefon bimbit Su Qianci ke atas meja sambil memandang kakak iparnya itu. "Sejak dari awal rakaman itu, langsung tiada sesiapa menyebut Tang Mengying. Tang Qing tiada kaitan dengan keluarga Tang yang masih dikehendaki polis. Dia juga tiada kaitan dengan keluarga Li. Apa motif dia? Jika kamu gunakan rakaman ini untuk buat laporan polis tetapi Tang Qing menafikannya, dia boleh saman kamu. Apa kamu nak buat kalau itu berlaku?"

Su Qianci terkedu. Kekecewaan menyelubungi dirinya dan membuatkannya berasa tidak berdaya. Apa yang perlu dilakukannya? Dia benar-benar buntu.

"Bila kamu mula syaki Tang Qing?"

Bagi Li Jinnan, Tang Qing tidak meragukan. Malah wajahnya sangat berbeza daripada Tang Mengying. Dia langsung tidak mengesyaki wanita itu. Bagaimana Su Qianci tahu?

Su Qianci menceritakan tentang lelaki misteri itu. Tetapi dia merahsiakan berkenaan dirinya dicabuli lelaki tersebut. Tiba-tiba Su Qianci teringat tentang L lalu mengambil telefon bimbitnya dan menunjukkan mesej-mesej yang dihantar oleh L. "Tengok, ada seseorang yang sentiasa bantu kita. Waktu kita tandatangan kontrak, kita boleh ambil kesempatan atas kelompangan dalam kontrak TL. Apa kata kita buat perancangan untuk selamatkan Li Sicheng?" 

"Siapa ni?" Li Jinnan melihat perbualan itu. "Seseorang yang bersemangat yang kamu beritahu dulu ialah L ini?"

Su Qianci mengangguk pantas. "Ya, dia. Dia dah tolong saya dari dulu lagi. Dia banyak bantu syarikat kita. Walaupun saya tak tahu siapa dia, saya tahu dia tak akan pernah menyakiti kita."

"Macam mana kamu tahu?"

"Kami dah saling berbalas mesej selama empat tahun!"

Mendengar nada yakin Su Qianci, Li Jinnan merasakan ia tidak masuk akal dan mendengus kecil. Dia berkata dengan mata masih memandang skrin telefon, "Bagaimana kalau selama empat tahun itu dia sedang menyediakan perangkap untuk kamu?"

"Mustahil!" Su Qianci segera menafikannya. "Dia tak akan buat begitu."

Li Jinnan mengangkat wajahnya dan memandang Su Qianci. "Kenapa?"

Kenapa? Kerana L kemungkinan besar ialah Lu Yihan. Walaupun semua orang dalam dunia berkemungkinan menyakitinya, tetapi Lu Yihan tidak akan pernah berbuat begitu. Tidak mungkin! Su Qianci merenung mata Li Jinnan tetapi tidak mampu memberitahu kemungkinan itu.

Kemudian dia menggeleng dan berkata, "Tak ada sebab. Saya percayakan L."

Apabila melihat wajah Li Jinnan penuh curiga, Su Qianci menambah, "Kamu tahu kan gerak hati seorang perempuan sentiasa tepat."

Ketika perbualan mereka itu, Li Jinnan sudah pun selesai membaca keseluruhan mesej antara Su Qianci dan L. Disebabkan Su Qianci telah lama menggunakan telefon bimbit itu, semua mesej masih tersimpan. Semakin Li Jinnan membaca mesej-mesej itu, semakin dia merasakan gaya mesej itu seperti biasa dilihatnya. Pandangan matanya menjadi tajam. Dia membuka akaun L dan menyalin maklumat itu ke telefonnya. Kemudian dia memadam rakaman itu dan meletakkan telefon Su Qianci ke atas meja.

"Kita tunggu dan lihat saja dulu. Saya akan pergi tandatangani kontrak bersama TL."

"Mana boleh!" Su Qianci berasa agak marah dan terus berdiri sambil memandang Li Jinnan. "Dia abang kamu! Macam mana kamu boleh tenang saja dengan berita ini? Kenapa kamu langsung tak ada reaksi sedangkan kamu tahu dia sedang diseksa…"

Related Books

Popular novel hashtag