Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 561 - Seakan Seseorang yang Dikenali

Chapter 561 - Seakan Seseorang yang Dikenali

"Betul, betul," salah seorang penculik lelaki menyampuk. "Kami tak dapat apa-apa wang. Kami cuma perdayakan kanak-kanak itu. Kami bawakan arnab untuk budak perempuan itu dan kami juga tak apa-apakan mereka. Tolonglah, saya ada keluarga dan tak boleh ke penjara! Presiden Su, saya tahu kamu orang yang baik. Saya ada anak yang sebaya anak kamu. Kamu sampai hatikah biarkan dia membesar tanpa ayah?"

Sebaik mendengar kata-kata itu, Su Qianci mengetap bibirnya dengan wajah dingin, kemudian berkata kepada pegawai polis itu, "Buat saja apa-apa yang kamu rasa betul. Saya ada kerja dan perlu pergi sekarang."

Su Qianci mendengar pekikan marah penculik-penculik itu sebelum dia berpaling untuk pergi. Dia tidak mengendahkannya. Dari sudut yang tidak dapat dilihat oleh kumpulan penculik itu,mata Su Qianci kelihatan dingin membeku. Jika lelaki yang datang kemudian itu bukan rakan subahat mereka, jadi dari mana dia datang? Jika dia bertemu lelaki itu lagi, dia akan menangkap dan membunuhnya! Su Qianci berjalan pergi dengan kemarahan yang membuak apabila teringat bagaimana lelaki itu meraba buah dadanya. Siapakah lelaki miang itu? Hatinya semakin panas sebaik teringat siulan menggatal lelaki itu.

Tiba di sebelah keretanya, Su Qianci menendang pintu kereta itu dan membentak, "Lelaki tak guna!"

Yang yang duduk di tempat pemandu terkejut dan terkebil-kebil lalu memandang Shuang Yu di belakang Su Qianci.

Shuang Yu menggelengkan kepalanya. Yang meneguk air liur dan terbatuk kecil. Kemudian dia bertanya perlahan, "Presiden Su, kita nak ke mana sekarang?"

"Balik ke pejabat!"

*****

Ini bukan kali pertama Hotel Royal menganjurkan acara pembidaan sebegitu. Majlis itu agak besar-besaran malah beberapa orang selebriti turut hadir. Apabila Su Qianci dan Li Jinnan tiba, ramai mengenali dan menyapa mereka. Su Qianci mengambil tempat di belakang dan duduk. Ketika itu, dia terpandang satu susuk tubuh langsing di hadapan yang seperti pernah dilihatnya. Mata Su Qianci terkebil-kebil melihat susuk tubuh itu.

Seseorang menyedari renungannya lalu bertanya, "Presiden Su, kamu sedang tengok wanita di hadapan itu?"

Su Qianci menoleh dan melemparkan senyuman yang sopan lalu mengangguk.

"Itu pengurus besar syarikat baru. Nama keluarganya Tang dan dia wanita yang sangat hebat."

Tang?

Su Qianci tiba-tiba merasakan kepalanya berdengung. Seolah-olah satu garisan berbeza sedang bercantum. Nama keluarga Tang? Tang Mengying? Malah susuk tubuh itu seperti biasa dilihatnya.

"Apa nama dia?" tanya Su Qianci perlahan.

Pemilik syarikat kecil itu tidak menyangka Su Qianci akan bercakap dengannya dan sangat gembira. Malah dia juga teringat Su Qianci baru sahaja berusia 25 tahun dan bertambah teruja. Dia berkata dengan bersemangat, "Dia Tang Qing, 30 tahun. Saya dengar dia masih bujang. Nama syarikatnya ialah YL dan ada seseorang yang berjawatan lebih tinggi daripadanya. Saya dengar kali ini TL sangat berminat dengan daerah Gu Dung Ming dan amat bersedia untuk membuat bidaan."

Tang Qing? Su Qianci merenung susuk tubuh wanita itu dan mengecilkan matanya. Kali ini Tang Qing seakan menyedari renungannya lalu menoleh. Sebaik melihat wajahnya, Su Qianci terkejut sebelum senyum dan memandang ke tempat lain.