Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 558 - Lokasi L

Chapter 558 - Lokasi L

Tangkap layar itu mengambil sedikit masa untuk dimuat turun. Apabila selesai, Su Qianci mendapati ia amat pendek. Lokasi akaun L didaftar masuk amat tidak menentu. Itali, Australia, Maldives, China dan Amerika. Sejak lima tahun lalu, lokasi akaun itu tidak kembali ke China. Masa di setiap lokasi juga berbeza-beza.

Namun antara tahun kelima dan keempat yang lalu, L tidak mendaftar masuk ke akaunnya selama setahun. L hanya kembali ke akaunnya pada kali pertama dia menghantar mesej kepada Su Qianci.

[Seorang lelaki dan seorang perempuan, tahniah]

Masa L masuk ke akaunnya sama dengan masa dia menghantar mesej kepada Su Qianci. Dalam kata lain, L masuk ke akaunnya hanya untuk menghantar mesej-mesej itu kepada Su Qianci dan tidak akan masuk selain kerana itu. Jadi L menggunakan akaun itu khas untuknya? Siapa L sebenarnya?

Pada mulanya Su Qianci mengesyaki L ialah Li Sicheng. Walau bagaimanapun, Li Sicheng tidak pergi ke luar negara sebelum dia hilang. Lagipun selepas mengalami kecederaan teruk dalam kejadian itu, dia langsung tidak dapat bergerak. Bo Xiao telah melarikannya supaya Li Sicheng membantunya dalam sesuatu. Tidak mungkin Li Sicheng akan bergerak dari satu negara ke satu negara sebanyak itu. Su Qianci tidak faham. Tangkap layar itu mendedahkan kehidupan dan sejarah L.

Adakah L dalam buangan? Kenapa dia perlu sentiasa bergerak ke sana sini? Misteri. L ini semakin misteri. Disebabkan Su Qianci tidak mampu menyelesaikan perkara itu, dia memutuskan untuk melupakannya. Tetapi perasaan ingin tahu dalam hatinya tidak mahu berputus asa dan terus membuak-buak. Su Qianci tidak dapat bertenang. Kemudian dia menutup komputernya lalu menyambung meneliti dokumen-dokumen yang dibawa Li Jinnan. Jam 10 malam, Su Qianci selesai menyiapkan semua dokumen itu.

Dia pergi ke bilik anak-anaknya. Tiga orang kanak-kanak itu sedang terbaring di katil kecil masing-masing. Katil Li Mosen paling hampir dengan pintu. Sebaik sahaja mendengar pergerakan seseorang, budak lelaki itu berpaling dan merenung Su Qianci dengan mata birunya. Mata yang bersinar itu membuatkan Su Qianci terkejut. Tetapi dia mendekati Li Mosen dan berbisik, "Tidurlah, guna selimut ni."

Li Mosen tidak menjawab, tetapi mengangguk lalu menarik selimutnya. Budak lelaki itu selalu mudah terjaga. Bunyi yang amat perlahan juga dapat mengejutkannya. Ia satu tabiat yang buruk. Walau bagaimanapun, Su Qianci berasa sedih apabila memikirkan Li Mosen mendapat tabiat itu disebabkan dibuli di rumah anak-anak yatim. Dia berasa simpati.

Su Qianci pergi ke katil Li Jianqian di sebelah katil Li Mosen. Anak lelakinya itu tidur nyenyak dengan posisi yang bagus.

Li Jianyue jelas paling teruk antara mereka bertiga. Dia tidur terlentang di atas katilnya dengan air liur basi meleleh dari mulut. Kepalanya tidak berada di atas bantal manakala hujung selimutnya terbuka, tetapi tubuhnya diselimutkan dengan baik. Jelas seseorang telah membantu menyelimutkannya ketika dia sedang tidur.

Tidak syak lagi, ia pasti Li Mosen yang mudah terjaga.

Su Qianci menggelengkan kepalanya. Selepas mengelap air liur basi anak perempuannya itu, dia mengangkat kepala Li Jianyue dan meletakkan bantal di bawahnya. Kemudian dia membetulkan posisi anaknya supaya dapat tidur dengan baik. Li Jianyue yang tidak menyedari perkara itu memusingkan tubuh dan menendang selimutnya.

Tabiat buruk!

Su Qianci membetulkan kembali selimut itu dan menyelitkan hujungnya ke bawah lengan Li Jianyue dengan kemas. Setelah memastikan ia sudah tidak dapat ditendang, Su Qianci berjalan ke arah pintu untuk keluar.

Li Mosen masih merenungnya tanpa berkata apa-apa. Su Qianci memegang kepala Li Mosen lalu mencium dahinya dan berbisik, "Selamat malam."

Related Books

Popular novel hashtag