"Tak guna!" Su Qianci menjerit dan terus berlari ke arah lelaki itu sambil membawa beg berisi wangnya.
Lelaki tinggi itu berpaling dan melihat Su Qianci. Dia menolak kedua-dua kanak-kanak itu ke celah ruang antara dua kereta dan berundur.
"Kau mungkir janji. Kau semua cakap kau tak akan apa-apakan mereka!" Su Qianci melempar beg berisi wang yang dipegangnya ke arah lelaki itu sambil menendang kakinya.
Lelaki tinggi itu menarik topinya ke bawah dan memastikan kaca mata hitamnya menutupi wajahnya. Dia terkejut melihat beg wang itu datang ke arahnya lalu segera menangkapnya. Walau bagaimanapun, tiba-tiba tumbukan Su Qianci sudah hampir tiba di telinganya. Lelaki itu mengelak dan menghalang tangan Su Qianci dengan beg wang itu.
Tumbukan Su Qianci hinggap pada beg yang keras itu dan menyakitkan tangannya. Tetapi tanpa membuang masa, dia menendang pula ke celah kelangkang lelaki itu. Lelaki itu berundur dan mengetap bibirnya yang sedikit menggerenyet. Kemudian dia menangkap kaki Su Qianci. Su Qianci cuba menarik kembali kakinya, tetapi tangan lelaki itu terus memegangnya dengan kuat.
Walaupun lelaki itu memakai kaca mata hitam yang besar, Su Qianci dapat melihat pandangan matanya tertancap ke bahagian bawah bajunya. Malah lelaki itu bersiul! Su Qianci sedang memakai gaun musim panas. Walaupun dia memakai seluar di dalam baju itu, ia tetap kelihatan seksi disebabkan pergerakannya tadi.
Wajah Su Qianci bertukar kemerahan sebaik mendengar siulan lelaki itu. Dia menjerit, "Lelaki miang!"
Lelaki itu tidak berkata apa-apa lalu menarik kaki Su Qianci ke arahnya. Su Qianci hilang keseimbangan dan menjerit.
Ketika Su Qianci menyangka dia akan terjatuh ke lantai, sepasang tangan menangkapnya dan terus menahannya pada dinding. Su Qianci berasa marah lalu menyerang bahagian bawah lengan lelaki itu. Ia ialah teknik yang diajar oleh Li Jinnan kepadanya. Tidak kira betapa kuat pihak lawan, apabila bahagian ketiak mereka diserang, tangan mereka akan berasa sakit.
Tetapi lelaki itu seakan suah menjangkakan teknik serangannya. Lelaki itu menarik lengan Su Qianci dan tersenyum seakan memprovokasinya. Tangan lelaki itu yang berada di bahu Su Qianci turun perlahan-lahan sebelum meraba pinggang dan tubuhnya…
"Ah!" Su Qianci menjerit marah. Sebaik sahaja dia menghayunkan tumbukan, lelaki itu berundur. "Jangan lari!"
Melihat lelaki itu mahu melarikan diri, Su Qianci yang sedang amat berang menanggalkan kasut tumit tingginya lalu melemparkannya ke belakang kepala lelaki itu.
Kasut itu mengenai sasaran, tetapi lelaki itu tidak berpaling ke belakang. Dia berpaling apabila mendengar tapak kaki di belakangnya semakin hampir, lalu menarik tangan Su Qianci dan memulas tangan itu ke belakang. Su Qianci menjerit ketika dia terus ditahan pada sebuah kereta berdekatan mereka.
Sebelah tangan lelaki itu mencapai punggungnya manakala wajah lelaki itu menghampiri kepalanya. Su Qianci dapat merasakan nafas hangat lelaki itu pada telinganya lalu menjerit marah, "Tak guna, lepaskan aku!"
Lelaki itu ketawa kecil dan berbisik pada telinga Su Qianci. Dia sengaja merendahkan suaranya supaya kedengaran serak dan membuatkan suara asalnya tidak dapat dikenal pasti. "Sungguh menawan. Kamu boleh membuatkan nafsu lelaki membuak dengan kehangatan kamu, Presiden Su."