Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 55 - Bekas Kawan Sekelas

Chapter 55 - Bekas Kawan Sekelas

Itu jelas kelihatan benar. Berdasarkan penampilan Lin Wanting, semua orang dapat mengagak dia bukan sama taraf dengan Su Qianci. Dia telah meminta dua ratus ribu dolar daripada Su Qianci secara tiba-tiba. Jadi apa lagi maksudnya jika bukan untuk mengambil kesempatan?

Ekspresinya berubah. Lin Wanting berasa sangat terhina apabila dimalukan di khayalak ramai, walaupun apa yang dituduh itu memang benar. Dia memandang Su Qianci dan dengan pantas berkata, "Qianci, jangan percaya cakap mereka. Saya tidak pernah ada niat untuk buat begitu. Tapi, kamu memang selalu bagi barang secara percuma sebelum ini. Biasanya kamu yang tawarkan barangan kepada saya, dan kali ini saya hanya memintanya dahulu daripada kamu. Bukankah ia sama sahaja?"

Su Qianci merenungnya tajam dan menyebabkan Lin Wanting berasa seram sejuk. Pandangan ini daripada… Su Qianci? Secara tiba-tiba, Lin Wanting berasa bingung dan merenung kawan yang sudah lama dikenalinya itu.

"Bukankah ini kawan-kawan sekelas saya? Memang kebetulan!" Suatu suara nyaring telah mencuri perhatian Lin Wanting. Semua orang menoleh ke arah suara tersebut dan melihat seorang wanita berpakaian serba merah berjalan masuk ke dalam kedai. Wanita yang bergaya itu membuka kaca mata hitamnya dan memperhatikan Su Qianci dari atas ke bawah. "Rupa-rupanya khabar angin tersebut benar. Su Quanci, kamu masih ingat saya?"

"Yu Lili?" Lin Wanting berkata dengan penuh terkejut. "Bagaimana kamu boleh berada di sini?"

"Puan Yu."

"Selamat pagi, Puan Yu."

Pembantu-pembantu kedai tersebut menyapa Yu Lili. Dia menyimpan kaca mata hitamnya di dalam beg tangan dan merenung ke arah Lin Wanting dengan pandangan hina. "Saya ahli lembaga pengarah pusat membeli belah ini. Pelikkah jika saya berada di sini?"

Ahli lembaga pengarah? Dia? Lin Wanting amat terkejut dan meneliti baju merah yang dipakai oleh Yu Lili serta perhiasan dan kasutnya. Kesemuanya koleksi terkini daripada jenama-jenama terbaik. Bagaimana ini boleh berlaku? Yu Lili sama tidak popular seperti Su Qianci sewaktu sekolah menengah. Jadi bagaimana mungkin nasibnya tiba-tiba berubah?

Sambil mengangkat keningnya yang diukir rapi, Yu Lili bertanya, "Apa yang sedang berlaku?"

Seorang pembantu kedai menjelaskan segalanya kepada Yu Lili dan kemudian bertanya kepada Lin Wanting, "Cik, kamu mahu membeli baju ini atau tidak? Baju ini sangat mahal. Jika kamu tidak mahu membelinya, sila tanggalkan dan letak semula di tempatnya.

Wajah Lin Wanting semakin merah padam. Dia menggenggam tangannya dan mendengus, "Bagaimana kamu tahu saya tidak mampu membelinya? Adakah ini cara kamu melayan seorang pelanggan?"

"Tepat sekali, ini bukan cara untuk melayan seorang pelanggan," Yu Lili menunjukkan rasa tidak bersetuju dan merenung ke arah baju yang sedang dipakai oleh Lin Wanting. "Cita rasa yang bagus. Baju ini salah satu gaya di atas pentas fesyen." Kemudian dia melihat kasut berwarna putih yang dipakai oleh Lin Wanting. "Kasut kamu tidak sepadan dengan baju tersebut. Kamu mahu pilih sepasang kasut yang sesuai?"

Lin Wanting cuba bertenang dan berkata sinis, "Sudah tentu."

Seorang pembantu kedai menarik lengan baju Yu Lili dan berkata dengan suara yang perlahan, "Dia tidak mungkin mampu membelinya. Puan tidak takut dia akan ambil kesempatan atas puan juga?"

Walaupun perlahan, ramai orang masih dapat mendengarnya.

Yu Lili kelihatan tidak peduli sama sekali dan berkata, "Bukankah dia kata dia ada wang di rumah? Dia boleh pinjam dahulu wang daripada Su Qianci dan tulis surat akuan hutang. Betul kan, Qianci?"