Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 548 - Hospital Telah Membuat Kesilapan

Chapter 548 - Hospital Telah Membuat Kesilapan

Li Jianyue menjerit kegembiraan lalu bangun. Kemudian dia menyapu pasir yang melekat pada badannya dan terus berlari ke arah budak lelaki yang sedang bersandar pada satu pokok besar.

Wajah budak lelaki itu kelihatan sangat kacak dan rambut hitamnya sedikit kerinting. Kulitnya sempurna dan tiada cela. Dia memakai baju berlengan pendek berwarna biru gelap bersama sepasang seluar pendek dan kelihatan sangat tampan.

Li Jianqian sedang membaca buku Robinson Crusoe, sambil sekali-sekala menoleh ke arah adiknya kerana bimbang gadis itu akan melarikan diri. Sebaik mendengar panggilan gurunya, dia menutup buku itu dan terus berdiri.

Li Jianyue berlari menghampirinya. Tangan kecil itu hampir menyentuh abangnya. Li Jianqian mengelak dan berlindung dengan buku di tangannya sambil berkata dengan nada jijik, "Kotor, jangan sentuh saya."

"Dasu jahat, cakap saya kotor!" Li Jianyue menghentakkan kakinya lalu pergi membasuh tangan. "Saya nak beritahu Mama, kamu bukan saja cakap saya bodoh, tapi juga cakap saya kotor. Saya akan suruh Mama hukum kamu dan tak beri kamu tengok gambar Papa! Werk!"

Li Jianqian tidak menghiraukan kata-kata adiknya itu dan menunggu gadis itu selesai membasuh tangan. Selepas itu mereka kembali ke dalam kelas untuk mengambil beg sebelum berjalan ke pagar tadika.

Walau bagaimanapun, mereka tidak melihat Su Qianci di situ. "Mama?" Li Jianyue berjalan di sekitar pagar tadika itu sambil menggalas begnya, tetapi tidak melihat kelibat ibu mereka di mana-mana.

Tetapi apabila dia memandang ke sebelah kiri, seekor arnab putih yang kecil sedang merenungnya dengan mata yang merah. Mata Li Jianyue bersinar dan dia terus berjalan ke arah arnab kecil itu. Tetapi arnab itu takut kepada manusia lalu ia terus melarikan diri sebaik melihat Li Jianyue menghampirinya. Li Jianyue segera berlari mengejarnya sambil menjerit, "Arnab, jangan lari!"

Li Jianqian sedang mengintai-intai kereta ibu mereka. Sebaik mendengar suara adiknya, Li Jianyue sudahpun berlari mengejar arnab itu.

"Ersu, jangan lari! Mama belum sampai!" Li Jianqian menjerit, tetapi Li Jianyue berpura-pura tidak mendengarnya dan terus berlari sehingga membelok ke satu selekoh. Selekoh itu membawanya ke satu lorong kecil yang merupakan kawasan taman tadika itu dan rumah guru-guru mereka. Li Jianqian berasa tidak sedap hati. Dia mengejar adiknya sambil menggalas beg, tetapi sebaik tiba di lorong itu, dia terserempak seorang lelaki aneh yang memakai topi dan topeng mulut.

Li Jianqian berhenti berlari dan menjenguk ke belakang lelaki itu, tetapi tidak melihat kelibat adiknya.

"Kamu cari adik kamu?" Lelaki itu tiba-tiba berkata sambil tersenyum.

Li Jianqian mempunyai firasat buruk dan merasakan dia perlu berpatah kembali. Tetapi tiba-tiba lelaki itu mengangkatnya lalu menutup mulutnya sebelum membongkok ke dalam semak. Mata Li Jianqian terbeliak. Selepas mengharungi semak itu sambil membawa Li Jianqian, lelaki itu keluar dari pagar tadika dan membawa Li Jianqian masuk ke dalam sebuah van berwarna kelabu.

Sebaik sahaja disumbat ke dalam van itu, Li Jianqian melihat adiknya yang sedang memegang seekor arnab kecil. Sebaik melihat abangnya, gadis kecil itu tersenyum riang. Lesung pipit terbentuk di pipinya. "Abang, tengok ni, arnab!"

Li Jianqian merasakan kepalanya sakit melihat adiknya. Budak itu langsung tidak tahu dia telah ditangkap penjahat dan masih bermain dengan arnab? Ini bukan kali pertama dia merasakan hospital telah membuat kesilapan. Gadis ini tidak mungkin adiknya. Jika tidak, bagaimana tahap IQ mereka boleh jadi terlalu berbeza?

Li Jianqian sedikit panik melihat lelaki yang baru sahaja menculik mereka, tetapi mengekalkan ketenangan pada wajahnya dan bertanya, "Apa kamu nak?"

Sikap Li Jianqian sangat di luar jangkaan lelaki itu. Dia menyangka budak lelaki itu pasti mudah ditipu seperti adik perempuannya. Sekarang ternyata mereka sangat berbeza! Dia menolak Li Jianqian ke dalam dan berkata dengan lembut, "Jadi budak baik dan saya akan telefon Mama kamu untuk ambil kamu sekarang."

Ketika lelaki itu mengatakannya, Li Jianqian dapat melihat dengan jelas dia mengeluarkan satu kad nama dan satu telefon bimbit. Kad nama yang berlatarbelakangkan warna hitam itu amat dikenali Li Jianqian.

Presiden Kumpulan Syarikat Li, Su Qianci.