Selepas menyusukan anak kembarnya dan menidurkan mereka, Su Qianci berasa amat bertenaga. Dia mengambil telefon bimbitnya dan melihat satu mesej daripada aplikasi perbualan yang sudah lama tidak digunakannya:
[L]: Seorang lelaki dan seorang perempuan. Tahniah.
L, orang misteri yang tidak pernah menghantar sebarang mesej selepas Su Qianci menerima permintaannya menjadi rakan. Mesej itu adalah mesej pertamanya kepada Su Qianci.
Su Qianci membalas ringkas: Terima kasih.
Tiada balasan.
*****
Projek di Bandar Baru Xiang Xie itu berjaya disiapkan setelah 38 bulan berlalu dan menjadi salah satu mercu tanda Kingstown disebabkan reka bentuknya yang unik dan ciri-ciri dalamannya. Pada tahun ketiga, ia dibuka secara rasmi dan nilainya mencecah jutaan dolar. Dalam masa kurang dari setahun sahaja, keuntungan yang diperoleh daripadanya sudah sangat memberansangkan.
Dalam masa empat tahun, Liu Changqing semakin mengagumi wanita itu. Lebih tepat lagi, tiada sesiapa di seluruh syarikat itu yang tidak mengaguminya.
Di Syarikat Li, pekerja datang dan pergi, namun Cheng You tetap setia. Tetapi kira-kira dua minggu lalu, perutnya sudah menjadi terlalu besar hingga menyukarkannya untuk berjalan, jadi dia mengambil cuti.
Di Hospital Kedua Kingstown.
Rong Rui bercakap selama beberapa ketika dengan seorang doktor sebelum doktor itu membenarkannya masuk. Sebaik sahaja masuk, dia mendengar jeritan Cheng You. Rong Rui berasa amat risau lalu bergegas menghampiri Cheng You dan memegang tangannya.
Sebaik sahaja melihat Rong Rui, Cheng You terus menjerit, "Sayang! Sakit!"
Rong Rui merasakan hatinya pedih. Dia mencium tangan Cheng You dan berkata, "Jangan bercakap, fokus. Semuanya akan baik-baik saja."
Cheng You mengetap giginya dan menangis. "Saya tak mahu melahirkan anak lagi selepas ni. Sungguh tak selesa… Ah!!"
"Hei, jangan menangis. Ini yang terakhir," kata Rong Rui sambil menyentuh wajah Cheng You. Wajahnya sendiri kelihatan amat bimbang. "Selepas ini kita tak akan ada anak lagi. Rupa-rupanya melahirkan sangat sakit!"
Ini bukanlah kali pertama dia melihat seorang wanita melahirkan anak. Walau bagaimanapun, ketika melihat Tang Mengying dulu, hatinya sudah tawar dan tidak mempunyai apa-apa perasaan.
Tetapi kali ini… Disebabkan Cheng You, Rong Rui merasakan hatinya teramat pedih. Dia ingin menggantikan tempat Cheng You apabila melihat wajah pucat wanita itu. Hanya Tuhan yang tahu berapa lama mereka berada di bilik bersalin itu sehingga Cheng You sudah tidak mampu menangis lagi.
Syukurlah Tuhan baik kepadanya. Cheng You selamat bersalin secara normal dan kedua-dua ibu dan anak selamat. Sebaik melihat bayi perempuan itu, Rong Rui tersenyum gembira. Walau bagaimanapun, dia tidak terlalu memberi perhatian kepada anak itu, sebaliknya memegang tangan Cheng You dan terus berada di sisinya. Cheng You tidak tahu berapa lama dia tidur. Sebaik membuka matanya, dia melihat wajah Rong Rui.
Mata Rong Rui kelihatan bergenang. Suaminya itu memandangnya dan berbisik, "Sungguh hebat. Kita dapat puteri kecil."
Cheng You ketawa kecil melihat keadaan Rong Rui. "Mana anak kita?"
"Entah. Jururawat bawa dia pergi tadi."
"Ayah apa kamu ni? Tak tahu mana anak sendiri!"
"Saya mahu jadi suami dulu, kemudian jadi ayah." Rong Rui mengelus wajah isterinya. "Kamu penat?"
"Banyaklah!" Cheng You ketawa kemudian tiba-tiba menangis. "Sangat meletihkan."
Sebaik melihat isterinya menangis, Rong Rui terus panik. "Kenapa kamu menangis? Kamu tak boleh menangis selepas baru melahirkan. Tak bagus untuk mata."
"Saya cuma rasa sangat sakit. Kamu tahu, waktu saya lihat kamu datang, saya rasa tersangat gembira, Rong Rui…" kata Cheng You sambil menangis. "Saya masih ada suami untuk temani saya. Saya rasa sakit waktu itu, tapi saya tak takut. Tapi… tapi…"
Rong Rui ketawa dan menyapu air mata isterinya. "Teruk betul…"
"Tapi macam mana Su Qianci menghadapinya? Dia melahirkan anak kembar dan melalui pembedahan Caesarean. Dia mesti teramat takut, tapi tiada sesiapa untuk temaninya. Dia juga tak ada tempat mengadu. Tiada sesiapa di sisinya… Cuba kamu fikir…" Cheng You terus menangis teresak-esak. "Ia memang sangat, sangat menyedihkan…"