Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 542 - Tikus-Tikus Meninggalkan Kapal Karam (Bahagian II)

Chapter 542 - Tikus-Tikus Meninggalkan Kapal Karam (Bahagian II)

Su Qianci memandang lelaki yang berkata-kata itu. Dia mengenali lelaki itu. Pada kehidupan lalu, sewaktu pelaburan Syarikat Li tidak berjaya, lelaki itu melarikan diri dengan wang syarikat dan kemudiannya berjaya ditangkap. Li Sicheng telah membalas perbuatannya dan lelaki itu terpaksa menghabiskan seumur hidupnya di dalam penjara. Ketika itu Su Qianci memikirkan perbuatan Li Sicheng terlalu kejam. Kini apabila difikirkan kembali, apa yang difikirkannya dahulu memang mengarut!

"Cheng You."

"Ya saya."

"Berapa saham lelaki ini ada?"

"8.9%."

"Ada sesiapa lagi mahu saya beli sahamnya?"

Mata Cheng You terbeliak memandang Su Qianci. Beli saham? Biar betul? Itu pelaburan yang besar! Baru-baru ini saham Syarikat Li merudum dan mereka kehilangan banyak wang. Jika saham-saham ini dibeli kembali, dengan keadaan kewangan seperti ini, Syarikat Li akan…

"Puan, ini…"

Belum sempat Cheng You menghabiskan kata-katanya, seseorang mencelah. "Walaupun saya masih sayangkan Syarikat Li, saya sudah tak yakin lagi. Saya juga mahu jual."

"Cheng You, tolong catatkan. Berapa saham dia?"

"3.8%"

"Saya juga." Seorang lagi menambah.

"9.7%"

*****

Su Qianci memandang mereka semua dan berkata, "Okey, saya akan beli saham kamu semua dengan harga pasaran, tapi saya harap kamu dah fikir baik-baik. Selepas ini, kejayaan atau kerugian Syarikat Li tak ada apa-apa kaitan lagi dengan kamu semua."

Cheng You menyedari Su Qianci memang serius untuk membeli saham-saham itu kembali dan berkata dengan gelisah, "Puan, tak boleh. Syarikat kita tak ada begitu banyak wang…"

"Saya boleh gunakan harta persendirian suami saya, tapi orang-orang ini tak akan diterima lagi oleh Syarikat Li selepas ini. Waktu syarikat ini berjaya, mereka datang. Sekarang Li Sicheng ditimpa musibah, mereka semua melarikan diri. Saya tak perlukan sesiapa yang tak tahu berterima kasih!" Suara Su Qianci perlahan sahaja tetapi cukup menusuk hati mereka di situ. Ya, mungkin mereka memang tidak tahu berterima kasih. Tetapi Li Sicheng adalah orang di sebalik kejayaan syarikat itu. Disebabkan mereka tidak mampu mengubah siapa yang akan menjadi presiden, mereka merasakan lebih baik untuk berundur sekarang.

Kata-kata Su Qianci tidak mampu mengubah fikiran mereka. Su Qianci melihat sikap degil mereka dan berkata dengan kecewa, "Cheng You, hubungi peguam dan buat draf perjanjian pemindahan ekuiti."

Su Qianci tahu keputusan itu kelihatan tidak rasional sekarang. Walau bagaimanapun, dia sudah tahu projek akan datang akan menaikkan kembali Syarikat Li. Kenapa pula dia mahu membiarkan mereka mendapat faedah daripadanya?

Su Qianci tidak menjelaskan perkara itu kepada Cheng You. Dia meminta semua yang mahu menjual saham supaya meninggalkan bilik itu. Kemudian dia membincangkan perkembangan projek baru dengan lima orang pemegang saham yang tinggal.

"Saya juga tak yakin dengan projek ini, tapi saya tak akan berhenti. Puan Li, kenapa saya perlu pilih blok tanah ini? Pelaburan peringkat awal sudah terlalu besar. Jika kita Syarikat Li yang lama, projek ini pasti tiada masalah, tetapi Puan tahu kan keadaan kita sekarang. Jika projek ini dilaksanakan, situasi pasti akan bertambah buruk," kata Fang Chen panjang lebar.

Su Qianci mengetap bibir dan mengangguk perlahan. "Kamu tahu kenapa saya pilih tempat ini? Ini tanah yang saya akan bida. Ini adalah kelab hiburan Eropah. Disebabkan limitasi skop, kelab ini kekurangan banyak perkara. Kita boleh gunakan peluang ini. Dan tempat ini, sebelah timur Sungai Kingstown, barat Kota Guang…" Su Qianci menjelaskan mengenai perancangan Liu Changqing dan juga penambahan ideanya. Dia turut membuat penjelasan berdasarkan apa yang diingatinya dari kehidupan lalu.