Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 540 - Selayaknya Isteri Li Sicheng

Chapter 540 - Selayaknya Isteri Li Sicheng

Liu Changqing kelihatan ragu-ragu dengan kata-kata Su Qianci. Dia menurunkan tangannya dari meja tanpa berkata apa-apa.

Su Qianci tahu tiada apa yang dapat membuktikan kata-katanya boleh dipercayai. Jika pada saat itu, Li Sicheng yang mengatakannya, pasti Liu Changqing tidak akan berasa ragu-ragu. Su Qianci mengetuk meja itu dengan pennya dan memandang Liu Chengqing dengan tenang. Setiausaha wanita tadi masuk kembali dan membawa segelas jus untuk Su Qianci. Sebaik mendengarkata-kata Su Qianci, dia mencebik bibirnya acuh tidak acuh dan keluar selepas meletakkan jus itu.

Dia menutup pintu bilik pejabat itu lalu bergegas ke bahagian pekerja. Sebaik melihat Cheng You tiada di situ, dia terus memulakan gosip, "Dia ingat dia presiden selepas bos tiada. Saya nampak dia bercakap dengan Liu Changqing, "belum sempurna lagi", oh tolonglah jangan berpura-pura pandai!"

Seorang pekerja sedang duduk di hadapan komputer sambil membuat kerja yang disuruh Cheng You. Sebaik mendengar gosip itu, dia mendongak dan menolak kaca matanya ke atas. "Tak mungkin, dia memang nak ambil alih Syarikat Li?"

"Nampaknya begitulah. Banyak dokumen tersusun di hadapan dia dan kelihatan meyakinkan, tapi saya tak pasti apa yang dia tahu sebenarnya."

"Susah juga untuk dikata… Bos sangat tinggi ilmu pengetahuan, tak mungkin isterinya tak tahu apa-apa."

"Tut. Waktu Bos hidup, berapa kali saja dia datang ke sini? Setiap kali datang pun dia hanya kelihatan cantik, berpegangan tangan dengan Bos ataupun memeluk Bos. Macam takut sangat orang tak tahu mereka pasangan bahagia. Lagipun, Bos terlalu meninggi diri, tak mungkin dia akan biarkan isterinya masuk campur urusan kerja."

"Wah, menariknya. Bagaimana kalau perempuan itu sengaja bunuh Bos untuk dapatkan syarikat ini?"

"Tak, saya rasa tak mungkin. Bos bapa anak dalam kandungannya. Perut dia besar betul untuk kandungan yang baru empat bulan. Ia kelihatan seperti kandungan lima atau enam bulan dengan anak kembar!"

"Susah untuk dikata. Saya tak rasa dia kelihatan tak pandai. Mungkin dia dah rancang semua ni sejak awal lagi?"

"Tak mungkinlah. Dia belajar bidang kewangan, jadi tak hairanlah."

"Mari saya beritahu kamu…"

Ketukan yang kuat pada pintu mengejutkan semua pekerja itu dan mereka bergegas kembali ke tempat masing-masing.

Cheng You sedang berdiri di sebelah pintu dengan wajah yang garang. "Kamu semua banyak masa, kan? Sebab itulah kamu sibuk bergosip? Nampaknya kerja yang ada terlalu sedikit!"

Semua orang tunduk dan tidak berani untuk bersuara. Cheng You mengagihkan kerja dengan marah dan segera berlalu dari situ dengan kasut tumit tingginya. Pekerja-pekerja itu memandang satu sama lain dan seseorang menjelir lidah ke arah Cheng You. "Saya nak pergi tengok sehebat mana perempuan itu berpura-pura pandai."

"Pergilah, jangan lupa kembali dengan gosip!"

"Okey!"

Pekerja itu membuka pintu dan bergegas keluar. Dia terserempak Liu Changqing yang baru sahaja keluar dari pejabat Li Sicheng sambil membawa pelan pembangunannya. Riak wajah Liu Changqing kelihatan serius dan dia tidak menyedari dirinya sedang ditenung. Selepas duduk di tempatnya selama beberapa minit dan menghadam segala kata-kata Su Qianci kepadanya, dia tiba-tiba tersenyum. "Memang selayaknya isteri Li Sicheng."

Mesyuarat pemegang saham itu bermula tepat pada masanya. Ketika Su Qianci tiba, semua orang telah ada di situ. Sebaik melihat Su Qianci, mereka membuat riak wajah bosan. Li Jinnan datang dari belakang Su Qianci. Dia melihat pemegang-pemegang saham di dalam bilik itu dan mengangkat sebelah keningnya.

"Puan Li, semua orang dah lama tunggu kamu. Kamu terlalu berlagak!"