Bagaimana seseorang mahu mengelak penjahat dalam kegelapan? Mudah untuk mengelak pistol pada siang hari dan sukar untuk mengelak panah hitam. Permainan Tang Zhenghao sukar untuk diagak. Bukan salah Ou Ming, bukan juga salah Li Sicheng.
Ia adalah salah dirinya. Sejak dari awal, dia adalah penyebab semuanya. Jika bukan kerana dia, segala-galanya pasti baik-baik sahaja.
Li Sicheng akan membawa Syarikat Li sehingga menjadi satu lagenda, keluarga Tang akan menjadi baik dan Li Sicheng tidak akan membalas dendam. Semuanya akan berlaku seperti kehidupan lalunya.
Selepas Ou Ming, Lu Yihan dan Luo Zhan pulang ke rumah masing-masing, Su Qianci masuk ke biliknya dan terus tertidur.
Saya benar-benar mahu bermimpi. Encik Li, boleh kamu datang ke dalam mimpi saya? Saya nak lihat wajah kamu.
Su Qianci berasa amat letih. Di dalam kepalanya, wajah Li Sicheng yang kacak dan putih bersih muncul. Lelaki itu sedang terbaring di atas lantai dengan lemah. Tetapi mata lelaki itu tertumpu kepadanya. Sepasang mata itu sangat cantik dan seakan angkasa dengan ribuan bintang yang bersinar.
"Saya cintakan kamu selama-lamanya…"
"Saya juga cintakan kamu selama-lamanya…"
*****
Kehidupan hanya akan sempurna andai ia hasil cantuman beberapa penyesalan. Jika seseorang tidak pernah berasa terdesak, dia tidak akan tahu betapa berharganya sebuah kebahagiaan. Ini adalah kali pertama Su Qianci mengalami mimpi sebegitu. Dia bermimpi sedang berdiri di atas awan sambil melihat Tang Mengying dengan wajah angkuh seperti seekor merak. Tang Mengying sedang berdiri di tepi sebuah tasik jernih yang jauh dari rumah lama sambil melihat seorang wanita sedang lemas dengan mata yang dingin.
Selepas beberapa lama, akhirnya wanita yang sedang lemas itu berhenti terkapai-kapai. Tang Mengying ketawa sinis dan memusingkan badannya, sebelum melihat seorang lelaki yang tinggi di situ. Li Sicheng merenungnya dengan wajah yang dingin dan bengis. Lelaki yang memakai kot kelabu gelap itu meletakkan tangan di dalam poketnya.
Wajah Tang Mengying terus berubah. Dia cuba memberi penjelasan, tetapi Li Sicheng tidak menghiraukannya. Li Sicheng berjalan ke arah tasik jernih itu. Angin pada malam itu terasa amat dingin. Li Sicheng menanggalkan kotnya lalu terjun ke dalam tasik dan menarik wanita yang sudah tidak bernyawa itu.
Su Qianci basah kuyup dan wajahnya kelihatan ketakutan. Li Sicheng segera membuat pertolongan cemas. Tang Mengying hanya melihat dengan wajah pucat dan seakan tidak berdarah.
Su Qianci tidak berjaya diselamatkan. Li Sicheng menutup mata isterinya itu perlahan-lahan sebelum memandang Tang Mengying. Pada masa yang sama, beberapa kereta polis tiba dan mengepung tempat itu. Air masih menitik jatuh dari rambut Li Sicheng. Lelaki itu memandang Tang Mengying dengan renungan yang lebih dingin daripada air tasik itu. "Kamu mengecewakan saya."
Selepas kejadian itu, Tang Mengying dipenjarakan, Tang Zhenghao didapati terlibat dengan kumpulan pengedaran dadah dan Syarikat Tang terus muflis.
Rong Haiyue dituduh turut terlibat dengan pengedaran dadah dan dihukum gantung sampai mati. Namun pengedar dadah sebenar iaitu Rong Anna berjaya melarikan diri bersama Bo Xiao dan terus melakukan jenayah tersebut.
Li Sicheng tidak berkahwin lagi sepanjang hayatnya selepas itu.
Selepas beberapa tahun berlalu, Li Sicheng menerima jemputan untuk satu temu bual. Pengacara itu bertanya kepada Li Sicheng yang ketika itu sudah berusia 40-an tetapi masih kelihatan seperti 30-an, "Encik Li, kenapa kamu tak berkahwin? Semua orang sangka kamu akan berkahwin dengan Cik Tang, tetapi dia tiba-tiba dipenjarakan. Adakah kamu tidak berkahwin disebabkan masih mencintai Cik Tang?"
Li Sicheng menggeleng. Riak wajahnya tenang dan matanya bersinar dengan kebijakan hasil daripada pelbagai pengalaman hebat sepanjang lebih 40 tahun kehidupannya. Pandangannya menjadi lembut ketika dia berkata, "Waktu saya berumur 26 tahun, saya pernah berkahwin. Nama isteri saya Su Qianci."
"Di mana dia sekarang?"
"Dia sudah meninggal dunia."
"Kamu cintakan dia?"
Pandangan mata Li Sicheng kelihatan dalam, tetapi dia tidak berkata apa-apa. Cinta. Cinta yang sangat mendalam. Di satu ruang dan masa yang berbeza, terdapat seorang Li Sicheng yang sangat mencintai Su Qianci. Terlalu cinta, teramat cinta.