Bilik besar itu sangat kosong dan membuatkan Su Qianci berasa lebih sedih. Selepas ini dia mesti melakukan kesemuanya sendirian. Makan dan tidur sendirian, mandi sendirian. Tiada sesiapa akan mengingatkannya supaya memakai selipar sebaik turun dari katil. Tiada sesiapa akan mengingatkannya supaya tidak mencuri-curi makan snek setiap malam sebelum tidur. Setiap hari, tiada sesiapa akan mengejutkannya, makan bersamanya, membelikan baju untuknya…
Mampukah dia hidup begini? Mungkin... Bukankah itulah yang berlaku sewaktu kehidupannya yang lalu? Tiada sesiapa membantunya, tiada sesiapa memandangnya, tiada sesiapa mempedulikan perasaannya. Ketika itu, dia melalui situasi itu selama bertahun-tahun. Sekarang Tuhan hanya mengembalikan semua itu kepadanya. Kenapa dia perlu terlalu beremosi dan lemah?
"Kamu yang bersalah." Matanya kembali bergenang, tetapi dia tidak mahu air matanya jatuh. "Kamu manjakan saya, kemudian pergi begitu saja. Apa yang kamu nak saya lakukan selepas ni? Apa yang patut saya lakukan…" Hatinya terasa pedih dan kosong. Orang yang berada dalam hatinya pergi begitu sahaja dengan kejam dan meninggalkannya keseorangan untuk menghadapi segala-galanya.
"Qianqian? Kamu dah siap?" kedengaran suara Atuk memanggilnya dengan lembut.
Su Qianci cepat-cepat menyapu air matanya dan cuba menenangkan dirinya. Kemudian dia berkata, "Kejap lagi saya datang!"
Akhirnya dia berjaya menarik zip itu setelah berhempas-pulas sendirian. Su Qianci memakai sedikit bedak bagi membuatkan wajahnya tidak kelihatan terlalu tertekan. Selepas itu dia mengikat tocang rambutnya supaya kelihatan lebih segar. Dia menepuk-nepuk pipinya sebelum akhirnya keluar.
Li Xun, Li Xiao, Qin Shuhua, Li Yinan dan Li Beixing kesemuanya ada di ruang tamu. Su Qianci juga melihat dua orang yang bukan ahli keluarga Li, iaitu Lu Yihan dan Luo Zhan.
Sebaik melihat Su Qianci, mata Lu Yihan kelihatan sedikit sedih dan basah di bawah kaca mata tanpa bingkainya. "Kamu dah kurus sedikit." Suaranya kedengaran perlahan dan serak. Luo Zhan segera menyikunya. Lu Yihan memaksa dirinya untuk tersenyum dan memanggil, "Qianqian."
Su Qianci turut tersenyum yang sebenarnya tidak lebih daripada satu ukiran. "Kenapa kamu datang ke sini?"
"Tengoklah kamu," kata Lu Yihan sambil memandang perut Su Qianci. "Kamu mesti tak makan beberapa hari ini. Kamu jauh lebih kurus daripada sebelum ini. Tak bagus untuk kandungan kamu."
Bukan sahaja kurus, malah mata Su Qianci juga sangat bengkak. Walaupun wajahnya disapu solekan, ia masih tidak dapat menyembunyikan kepucatannya. Hanya disebabkan Li Sicheng…
Liu Sao segera menghidangkan makanan dan memanggil, "Mari makan. Encik Lu juga ada masakkan sesuatu, nampak sedap. Marilah Qianci, saya dengar ia makanan kegemaran kamu. Ia masih panas."
Su Qianci kelihatan bingung mendengar kata-kata itu.
Lu Yihan bangun dari sofa dan berjalan menghampiri Su Qianci. "Saya masak sayur pucuk rebung untuk kamu. Dulu kamu sangat gemar makannya, ingat?"
Sayur pucuk rebung… Sudah bertahun-tahun lamanya dia tidak merasa sayur pucuk rebung yang dimasak oleh Lu Yihan. Dulu, ketika dia miskin dan tiada wang untuk membeli makanan, Lu Yihan selalu memberikan separuh bekal makanan yang dibawa kepadanya. Kemudian Lu Yihan membawa dua bekal makanan dan memberikan satu bekal kepadanya setiap hari. Lu Yihan bukanlah daripada keluarga yang kaya. Sejak kecil, lelaki itu sentiasa perlu berdikari. Kehidupan turut sukar baginya. Tetapi pada masa itu, Lu Yihan membawakannya bekal setiap hari selama dua tahun…