Sebaik melihat reaksi Kapten Li, Liu Sao tahu dia sudah tidak boleh menyembunyikan perkara itu lagi. Air matanya yang baru sahaja berhenti kembali gugur. Kapten Li terduduk di atas sofa. Mata tuanya berubah kemerahan dan nafasnya menjadi kencang.
"Kapten, jangan begini. Dia…"
"Macam mana dengan Qianqian?" Kapten Li bertanya dengan mata yang basah. "Di mana dia?"
"Di hospital. Tuan, Puan dan Jinnan dah pergi…"
"Huh, baguslah. Hanya aku yang tak tahu apa-apa!"
Liu Sao berasa bersalah mendengarnya. Dia baru sahaja mahu menberi penjelasan ketika mendengar suara lemah lelaki tua itu, "Bawa saya ke sana. Pasti sukar untuk Qianqian hadapi semua ni."
Mendengar kata-kata itu, Liu Sao tidak lagi dapat menahan tangisannya dan berkata, "Kasihan! Hubungan mereka sangat baik. Mereka sentiasa berpegangan tangan apabila keluar makan. Sekarang Sicheng dah tiada…"
Bagaimana Su Qianci mahu menghadapinya?
Sebagaimana yang dikatakan Liu Sao dan Kapten Li, Su Qianci tidak mampu menghadapi semua itu.
Dia meletakkan tangannya di atas perut sambil merenung siling. Pandangannya kosong, tetapi air matanya terus mengalir seperti hujan. Di luar wad itu, seorang doktor sedang bercakap kepada Qin Shuhua dan Liu Xao. Su Qianci dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka. "Dia mesti banyak berehat. Kandungannya mempunyai simptom kemungkinan mengalami keguguran. Mereka tidak boleh terganggu. Kemungkinan untuk kelahiran pramatang juga amat tinggi dan sebaiknya ia dielakkan. Kita perlu bantu mengawal perasaan si ibu."
Mengawal perasaan si ibu… Su Qianci berasa geli hati, tetapi tidak mampu tersenyum.
"Penipu…"
Li Sicheng adalah seorang penipu, malah penipu besar. Mereka telah berjanji dia akan melindungi anak mereka dan dirinya, kemudian lelaki itu akan keluar. Tetapi, kenapa kamu tidak keluar? Kenapa? Berani kamu tidak keluar? Mereka telah berjanji lelaki itu akan sentiasa ada di setiap hari jadinya. Tetapi sekarang… Dia hanya sempat meraikan satu hari jadi sahaja. Satu lagi, majlis perkahwinan itu… majlis perkahwinan yang telah dijanjikan lelaki itu. Malah bulan madu mereka dan nama bakal anak-anak mereka nanti…
Semuanya telah tiada. Semuanya telah hilang ditelan api marak itu.
Tetapi… bukankah lelaki itu Li Sicheng? Setiap kali dia disakiti, Li Sicheng akan muncul di hadapannya seperti dewa. Tetapi bagaimana selepas ini? Apa yang dia mahu lakukan tanpa lelaki itu? Li Sicheng yang amat menonjol, dingin dan bangga diri. Li Sicheng… Kenapa dia sanggup menipu? Kenapa dia sanggup mati?
Su Qianci masih mengingati ayat terakhir yang diucapkan lelaki itu kepadanya dengan suara yang perlahan dan lemah, tetapi cukup ikhlas. Lelaki itu memandangnya dengan mata yang seakan langit penuh bintang itu. Mata yang sangat cantik dan seolah dapat menelannya. Walau bagaimanapun, dia sudah tidak dapat melihat mata itu lagi…
Su Qianci menarik selimut dan mengetap giginya. Tangisannya mencurah-curah keluar tetapi dia menahan dirinya daripada membuat sebarang bunyi. Pintu wad itu dibuka dan dia mendengar bunyi yang perlahan. Su Qianci menarik selimut menutupi muka sambil menyapu air matanya. Melihat keadaan menantunya itu, Qin Shuhua berasa semakin sedih. Dia duduk di tepi katil itu lalu memegang tangan Su Qianci. "Kalau kamu nak menangis, menangis saja."
Apa gunanya menangis? Adakah ia akan membawa suaminya kembali? Kepedihan yang dirasakan dalam hatinya seolah hampir membunuhnya. Apa yang patut dia lakukan? Dia tidak mahu hidup berseorangan. Dia mahu pergi bersama suaminya…