Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 517 - Hanya Menunggu Mati

Chapter 517 - Hanya Menunggu Mati

Bau gasolin memenuhi segenap ruang. Beberapa lelaki mencurahkan empat botol gasoline di sekeliling gudang terbiar itu. Sebaik sahaja Rong Anna dan Bo Xiao masuk, mereka melihat Li Sicheng sedang terbaring dalam darah yang sangat banyak. Li Sicheng tidak lagi kelihatan berkuasa seperti biasa. Rong Anna mengerutkan wajahnya dan menoleh ke arah Su Qianci.

Su Qianci sudah terkulai tidak berdaya. Di dalam fikirannya hanya ada Li Sicheng. Tang Mengying mengambil pemetik api dan bermain-main dengannya sambil meneliti riak wajah Li Sicheng. Seperti dijangka, wajah Li Sicheng akhirnya menunjukkan emosi. Lelaki itu mendongak dan mengisyaratkan kepada Tang Mengying untuk menghampirinya.

Tang Mengying mengangkat keningnya dengan rasa puas hati dan ketawa kecil. "Kamu nak cakap sesuatu kepada saya? Apa itu? Marilah kita bercakap." Tang Mengying berjalan ke arah Li Sicheng dengan kasut tumit tingginya dan melutut di hadapan lelaki itu.

"Lepaskan dia…" Li Sicheng merayu dengan lemah, tetapi masih jelas. "Dia tak bersalah, begitu juga dengan kandungan itu. Lepaskan kemarahan kepada aku saja, jangan sakiti dia."

Tang Zhenghao berasa amat puas melihat keadaan Li Sicheng. Dia ketawa dan berkata, "Li Sicheng, kau pernah bayangkan kau akan jadi macam ni? Sayangnya aku tak bawa Li Xiao sekali. Kalau tak pasti lebih seronok. Kalau kau mati dengan ayah kau, kau rasa si tua Li Xun itu akan menangis tak? Hahaha… Tapi bunuh kau sebenarnya dah cukup untuk buatkan seluruh keluarga Li yang sial itu merana! Selepas kau, akan tiba giliran Li Xiao, Li Jinnan, Li Beixing, Li Xun dan si perempuan jalang itu, Qin Shuhua!"

Sebaik teringatkan in Shuhua, kemarahan Tang Zhenghao terus meledak. Dia berjalan ke tepi Li Sicheng lalu terus menendang lelaki itu dengan kuat. Li Sicheng mengerang kesakitan. Tang Zhenghao masih tidak puas hati lalu terus menendang Li Sicheng berkali-kali sehingga lelaki muda itu mengerekot kesakitan.

Ketika itu juga, Rong Haiyue sedang berjalan secara senyap-senyap ke hadapan. Walaupun jaraknya dengan cahaya itu masih agak jauh, dia dapat mendengar bunyi jeritan dari sana.

"Jangan, saya merayu… Jangan pukul dia. Dia akan mati, dia akan mati… Aaahh!"

Rong Haiyue terkejut. Itu… itu suara Su Qianci!

Tang Zhenghao berasa seronok mendengar jeritan Su Qianci. Dia menarik rambut Li Sicheng dan memaksa lelaki itu memandang isterinya. Kemudian dia tersenyum pahit. "Rasa seronok? Waktu ibu kau bunuh anak lelaki aku, dia mesti rasa sangat seronok." 

Selepas mengatakannya, Tang Zhenghao terus menghentakkan kepala Li Sicheng ke atas tanah berkali-kali dengan kuat. 

Kepala Li Sicheng yang dihentak ke tanah menghasilkan bunyi yang perlahan.

Su Qianci merasakan hatinya berdarah. Dia berasa lebih sengsara apabila melihat Li Sicheng diseksa berbanding dirinya sendiri yang diseksa. Dia menutup mata dan air matanya mengalir laju. Kesedihan yang teramat menyelubungi segenap hatinya. Tiada sesiapa datang menyelamatkan mereka… Tiada sesiapa… Adakah mereka hanya menunggu mati sahaja sekarang?

Tiba-tiba dia mendengar jeritan Tang Zhenghao.

Jeritan itu tiba-tiba kedengaran di saat-saat yang amat genting itu.

Kemudian Tang Mengying menjerit, "Ayah!"

Pada masa yang sama, suara Rong Anna turut kedengaran, "Papa?"

Su Qianci membuka mata dan melihat Tang Zhenghao telah rebah ke tanah. Lelaki yang merebahkannya dan sedang menahannya dengan kaki tidak lain tidak bukan ialah Rong Haiyue.