Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 514 - Kenapa Rong Anna Ada di Kingstown?

Chapter 514 - Kenapa Rong Anna Ada di Kingstown?

Malam sudah menjelma apabila forum yang dihadirinya selesai. Rong Haiyue melihat jam dan mendapati sudah pukul 7.55 petang. Dia telah berjanji dengan Li Sicheng untuk makan malam bersama pada jam 8, jadi dia masih mempunyai lima minit. Di belakang Rong Haiyue, Rong Xuan memanggil, "Rong Haiyue."

"Ya?" Rong Haiyue menjawab perlahan. Sikapnya terhadap Rong Xuan agak berbeza berbanding sebelum ini. Selama beberapa bulan, dia hanya berjumpa isterinya itu beberapa kali. Malah apabila bertemu, kedua-dua mereka langsung tidak menyapa antara satu sama lain, apatah lagi bergaduh. Sejujurnya, Rong Haiyue menyangka Rong Xuan akan meminta cerai. Walau bagaimanapun, di luar jangkaannya perkara itu tidak berlaku.

Ketika dia meninggalkan rumah pagi tadi, dia agak hairan dengan permintaan Rong Xuan. Isterinya itu meminta untuk membawanya bersama ke Kingstown. Rong Haiyue terkejut tetapi tidak menolak. Dia menempah tiket tambahan dan mereka menaiki kapal terbang ke Kingstown bersama-sama. Waktu sudah tengah hari ketika mereka tiba, jadi mereka terus bergerak ke forum. Sekarang, Rong Haiyue bimbang jika Rong Xuan akan merungut. Hatinya dingin tetapi dia tidak mahu bercakap dahulu. Dia memandang isterinya dan mengangkat sebelah kening sambil menunggu Rong Xuan berkata-kata dahulu.

"Kamu nak pergi makan malam dengan Li Sicheng?"

"Ya."

"Kamu ke Kingstown kali ini hanya untuk jumpa mereka?"

Mereka yang dimaksudkan sudah pastilah Li Sicheng dan Su Qianci. Rong Haiyue menyeluk tangannya ke dalam poket dan mengangguk tanpa teragak-agak. "Ya."

"Bawa saya bersama." Rong Xuan memandangnya. "Saya nak jumpa budak perempuan tu."

"Saya kena tanya Qianci dulu. Saya akan telefon mereka." Rong Haiyue mengeluarkan telefonnya dan menghubungi Su Qianci.

Walau bagaimanapun, panggilan ke telefon Su Qianci tidak dijawab. Begitu juga dengan Li Sicheng. Tiba-tiba, Rong Haiyue terpandang satu susuk tubuh yang dikenalinya.

Gadis itu kurus dan mempunyai rambut panjang yang beralun cantik, memakai topi, kot panjang dan sepasang kasut tumit tinggi. Gadis itu turut memakai topeng mulut dan menundukkan kepalanya lalu berjalan ke dalam gelap. Itu… Anna? Tapi bukankah gadis itu sepatutnya di London sekarang? Bagaimana dia boleh ada di Kingstown pula?

Rong Haiyue mengekorinya dengan curiga dan melihat susuk tubuh itu berjalan dengan amat pantas. Dia mula mendail nombor telefon Rong Anna. Gadis itu agak jauh darinya, jadi dia tidak dapat mendengar sebarang bunyi deringan. Namun dia melihat gadis itu mengeluarkan telefon bimbit dan menjawab panggilan.

"Hai Papa."

"Anna, kamu ada di mana?"

Rong Anna jelas terkejut dengan soalan yang tiba-tiba itu dan berkata, "Saya ada di London. Saya ada kunjungan bersama Xiao dan akan balik dalam beberapa hari lagi."

"Oh, okey."

"Kenapa Papa?" Suara yang riang dan menawan itu langsung tiada beza daripada kebiasaan Rong Anna.

Rong Haiyue terus memerhatikan susuk tubuh di hadapannya dan berkata, "Tak ada apa-apa. Baliklah awal sikit. Disebabkan kamu tak ada di rumah, Papa tak ada teman berbual."

Di belakang Rong Haiyue, Rong Xuan menggenggam tali beg tangannya dengan kuat sebaik mendengar kata-kata itu. Rong Haiyue langsung tidak menyedarinya. Dia hanya mendengar Rong Anna ketawa kecil dan berkata, "Alah Papa, janganlah terlalu rindukan saya. Muah!"

"Okey, selamat tinggal."

"Selamat tinggal~" Rong Anna memutuskan talian. Pada masa yang sama, susuk tubuh di hadapan Rong Haiyue turut meletakkan telefonnya kembali ke dalam poket.

Related Books

Popular novel hashtag