Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 501 - Jangan Buat Perangai. Isteri Kamu Ada di Sebelah

Chapter 501 - Jangan Buat Perangai. Isteri Kamu Ada di Sebelah

Pinggang Li Sicheng turut mempunyai kesan lebam dan ia terasa sakit sebaik dipeluk oleh Su Qianci. Li Sicheng cuba berlagak tenang sambil menjawab, "Bateri telefon saya habis."

"Kenapa dengan muka dan tangan kamu?"

"Saya terjatuh."

"Terjatuh muka ke bawah?" Su Qianci melihat luka pada wajah Li Sicheng yang asalnya tiada cela itu dan berasa sedih. Dia mengusap kesan luka itu perlahan.

"Saya dah pergi ke hospital untuk rawatan. Dah tak ada apa-apa."

Su Qianci melihat tapak tangan suaminya yang calar-balar dan dipenuhi luka. Hatinya terasa pedih dan dia menarik Li Sicheng masuk ke dalam rumah.

Li Jinnan sedang duduk di sofa sambil bermain dengan model kereta. Dia menyeringai sebaik melihat orang yang ditarik Su Qianci. "Cita-cita kamu tak pernah habis selagi semuanya tak selesai."

Su Qianci berhenti dan memandang Li Sicheng. "Apa sebenarnya yang kamu buat tadi?" Tuhan sahaja yang tahu betapa risaunya hatinya sejak pagi tadi. Jantungnya seolah tersekat di kerongkongnya sepanjang masa.

Luo Zhan tidak menceritakan apa-apa dan Li Jinnan hanya mendiamkan diri. Dia menyangka Li Jinnan memang tidak tahu, tetapi sekarang, jelas yang kedua-dua lelaki itu bersubahat dengan suaminya!

"Tak ada apa-apa. Janganlah risau. Saya okey saja kan?" Li Sicheng mencubit pipi isterinya sambil berkata perlahan.

Su Qianci melemparkan pandangan marah lalu mencengkam lengan suaminya itu dengan kuat. Kesakitan yang dirasakannya membuatkan Li Sicheng menjerit. "Hei!"

Su Qianci menolaknya dengan wajah yang kelihatan marah. Kemudian dia berlalu ke bilik mereka dan menghempaskan pintu dengan kuat sehingga tertutup. Li Sicheng sedikit terkedu sambil melihat darah mengalir keluar dari lengannya.

"Padan muka," kata Li Jinnan tanpa sedikit pun perasaan simpati. Dia melemparkan model kereta di tangannya dan berbisik, "Macam mana tadi?"

"Mari pergi ke bilik kamu. Bawa alat pertolongan cemas."

Li Jinnan tidak dapat menahan dirinya daripada tersengih. Dia mengambil peti pertolongan cemas dan membawanya ke biliknya. Biliknya jelas menunjukkan penghuninya seorang tentera. Selimut dilipat kemas seperti seketul tofu. Dua pucuk senapang pemburu digantung pada dinding secara bersilangan. Di tepi senapang itu tergantung jata negara, bendera negara dan satu koleksi gambar- gambar besar.

Sebaik sahaja memasuki bilik itu, Li Sicheng mula menanggalkan pakaiannya.

Li Jinnan berundur sambil memandang abangnya dengan wajah gerun. "Abang, jangan buat perangai. Isteri kamu ada di bilik sebelah."

Li Sicheng memandang Li Jinnan dengan dingin sebelum melemparkan jaketnya ke muka adiknya itu. "Tutup pintu." Kemudian dia menanggalkan bajunya dan memperlihatkan tubuhnya yang dipenuhi lebam.

"Hei." Wajah Li Jinnan berkerut dan dia segera mengeluarkan salap. "Macam mana boleh jadi begini? Patutlah kamu tak berani masuk ke bilik bersama Su Qianci."

Li Sicheng menceritakan kesemuanya termasuk tekaan dan keputusannya. Li Jinnan menekan luka abangnya dengan kuat. Li Sicheng mengaduh lalu berpaling dengan marah, "Apa kau buat ni?"

"Kamu dah gila, fikir nak buat sesuatu macam tu? Kalau Atuk dan Ayah tahu, mereka pasti akan patahkan kaki kamu."

Li Sicheng bukannya tidak tahu tentang betapa seriusnya perkara itu. Dia berbisik perlahan, "Ia cuma lakonan. Lagipun, pengaruh Syarikat Li di Kingstown dan negara ini besar. Kalau…"

"Kalau ada orang laporkan kamu, syarikat kamu akan musnah dan begitu juga keluarga kamu. Fikirlah tentang isteri dan anak kamu."

Related Books

Popular novel hashtag