"Okey."
"Okey, aku dah sampai rumah. Pergilah balik." Luo Zhan melambai Lu Yihan sambil meraba poketnya sebelum terkaku secara tiba-tiba.
Lu Yihan menyedari perkara itu dan bertanya, "Kenapa?"
Luo Zhan mencari di seluruh poketnya sebelum berkata dengan nada kecewa, "Kunci aku tak ada."
Lu Yihan melihat jam tangannya. Sudah lebih 12 tengah malam. "Dah lewat ni, kau boleh cari tak kunci tu? Sekitar sini tak ada hotel. Kau nak tidur rumah aku dulu malam ni?"
"Rumah kau?"
"Erm, sebagai tanda terima kasih sebab kau tumpangkan aku haritu."
"Tut… jom!"
Luo Zhan mengikuti Lu Yihan. Sebaik tiba di pangsapuri lelaki itu, dia menyedari pangsapuri mereka sangat dekat. Mereka tiba setelah berjalan kurang dari 10 minit.
Sebaik sahaja pintu dibuka, Luo Zhan terus terkesima. Satu rak kasut berada di tepi pintu itu. Beberapa sandal dan kasut kulit tersusun kemas di atasnya. Di dalam rumah, kelihatan sebuah sofa yang sangat bersih seakan sofa baru. Di hadapan sofa, semangkuk buah-buahan dan satu laptop diletakkan di atas sebuah meja kopi. Berdekatan dapur kelihatan meja makan berwarna putih yang dialas dengan alas meja yang elegan. Sebutir pasu diletakkan di tengah-tengah meja itu dengan dua ros hijau di dalamnya yang kelihatan segar dan berbau harum. Beberapa bingkai gambar digantung pada dinding di ruang tamu. Kelihatan gambar Lu Yihan, Su Qianci, rakan-rakan kerja Lu Yihan dan beberapa gambar lama Lu Yihan dengan berpakaian sekolah. Yu Lili juga turut ada di dalam gambar itu.
Selepas meninjau sekeliling ruang tamu, Luo Zhan memasuki dapur dan mendapati seluruh tempat itu sangat bersih dan kemas. Semua peralatan dapur disusun di atas rak. Luo Zhan membuka peti, mengambil sebotol Coke dan meneguknya sedikit. Kemudian dia keluar ke ruang tamu dan berkata, "Hei, betul ke ni rumah lelaki? Kau tinggal seorang kan?"
"Ya." Lu Yihan melihat reaksi Luo Zhan dan melemparkan baju yang dipinjamnya tempoh hari. "Kau ingat semua orang hidup dalam reban ayam?"
Luo Zhan menyambut baju itu lalu mencium baunya. Riak wajahnya kelihatan berubah. "Kalau dibandingkan dengan rumah kau ni, rumah aku memang reban ayam!" Malah langsung tidak layak dibandingkan!
Lu Yihan mengangkat keningnya seolah berkata, 'Mestilah'. Kemudian dia berkata, "Aku nak pergi kemaskan bilik untuk kau. Pergi mandi dulu."
"Bagus!" Luo Zhan akhirnya dapat merasai keseronokan menjadi tetamu. Tetapi ketika dia baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam bilik air, satu peringatan penting muncul di skrin telefonnya.
"Amaran: Mangsa dah masuk perangkap. Bersedia."
Luo Zhan mengangkat sebelah keningnya dan berkata perlahan, "Akhirnya." Kemudian dia menjerit, "Lu Yihan, aku nak pinjam komputer kau!"
"Okey, asalkan jangan usik fail aku."
Setelah mendapat keizinan, Luo Zhan segera berlari ke komputer dan memasuki perangkap yang telah disediakannya untuk seseorang. 10 minit kemudian, dia telah berjaya memuat turun semua maklumat dan terus menghantarnya kepada Li Sicheng sebelum menelefon rakannya itu. Sudah jam 1 pagi dan Li Sicheng pasti telah tidur. Beberapa minit kemudian barulah panggilan itu dijawab.
Luo Zhan terus berkata, "Haritu kau suruh aku cari Tang Zhenghao, ingat?"
Li Sicheng baru terjaga dari tidur, tetapi terus segar sebaik mendengar soalan itu. "Kau dah jumpa dia?"
"Ya, akhirnya dia guna juga kad itu dan aku baru dapat tahu lokasi dia. Dia ada di San Francisco, USA."
"Kalau macam tu, sekat semua wang dia dan sebarkan berita tentang dia."
"Secepat ini?" Luo Zhan terkejut.
"Su Qianci sedang mengandung, jadi aku tak nak ada apa-apa yang buruk berlaku. Lebih cepat aku uruskan keluarga Tang, lebih cepat aku boleh hidup tenang." Walaupun keluarga Tang sudah hancur, ia tetap masih berisiko untuk membiarkan sahaja Tang Zhenghao. Li Sicheng merasakan lebih baik jika dia mengambil inisiatif daripada berdiam diri. Semuanya akan dapat dikawan dengan mudah hanya jika kamu bermula dengan kuat.
Luo Zhan yang amat tahu perangai Li Sicheng hanya mengangguk dan tidak membantah. "Faham, serahkan kepada aku."
"Terbaik." Selepas mengucapkan perkataan terakhir itu, Li Sicheng terus memutuskan talian lalu kembali ke bilik tidur.
Walaupun sedang tidur nyenyak, Su Qianci seakan menyedari pergerakan suaminya lalu memeluk Li Sicheng tanpa sedar dengan nafas turun naik. Li Sicheng tersenyum dan membelai rambut isterinya. Su Qianci kelihatan telah sepenuhnya terbiasa dengan kehadirannya di sisinya.
Ia terasa indah.