Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 460 - Kami Berdua Sangat Selesa Semalam

Chapter 460 - Kami Berdua Sangat Selesa Semalam

Wajah Cheng You berkerut dan dia memaksakan dirinya untuk senyum sambil berpaling ke arah Su Qianci. "Hai isteri boss. Rong Rui baru pertama kali datang ke Kota Dan, jadi saya bawa dia jalan-jalan, hehe…" 

"Oh… macam tu kah?" Su Qianci tersenyum mengusik.

"Dah tentulah, haha, betul kan?" Cheng You melemparkan senyuman yang dibuat-buat dan memandang Rong Rui dengan pandangan berbaur ugutan.

Riak wajah Rong Rui langsung tidak berubah ketika dia mengangguk. "Ya, kami berdua sangat selesa malam semalam."

Cheng You berasa malu dan senyum terpaksa. "Encik Rong, hati-hati dengan percakapan kamu." Walaupun bibirnya tersenyum, tangannya mencapai belakang Rong Rui dan mencubit pinggang lelaki itu.

Rong Rui mengerutkan mukanya. Dia membuat muka tidak bersalah dan berkata dengan senyuman, "Apa yang saya salah cakap?"

"Saya tak sangka Cik Cheng dan Encik Rong ada hubungan baik," kata Li Sicheng yang baru keluar dari bilik hotel itu sambil membawa dompet isterinya.

Su Qianci mengambil dompetnya lalu menarik tangan Cheng You. "Jom kita sarapan bersama-sama."

Cheng You sudah tidak sabar untuk menjauhkan diri daripada Rong Rui, jadi dia terus mengikuti Su Qianci. Walau bagaimanapun, dia memakai kasut yang dibeli oleh pekerja hotel atas permintaan Rong Rui dan kasut itu agak kecil. Kakinya terasa amat sakit ketika berjalan.

Li Sicheng dan Rong Rui mengikuti mereka dari belakang. Rong Rui bertanya, "Bila kamu berdua akan balik ke Kingstown?"

"Malam ni."

"Supercar kamu nampak macam dah diubah suai jadi empat tempat duduk."

Li Sicheng dapat meneka apa yang dimahukan lelaki itu. Dia mencebikkan bibirnya dan bertanya, "Seorang?"

"Cheng You juga."

"Okey."

Di hadapan mereka, Su Qianci telah duduk di satu meja bersama Cheng You. Mereka membaca menu dan mula memanggil pelayan. Seketika kemudian, teh telah dihidangkan dan makanan telah dipesan. Li Sicheng memberitahu Cheng You tentang parti hari jadi Yu Lili.

Cheng You menghirup secawan teh dan bersetuju tanpa teragak-agak. "Dah tentu boleh. Bila?"

"Lusa malam," kata Li Sicheng sambil mengambil cawan teh yang dipegang isterinya. "Jangan minum teh. Air putih lebih baik."

Su Qianci mencebikkan bibirnya, tetapi dia hanya boleh minum air putih yang telah dimasak. Dia hanya mampu melihat mereka bertiga menghirup Tie Gianyin yang manis itu.

"Dah tak lama." Cheng You sedikit terkejut dan mengira dengan jarinya. "Hari kelima Tahun Baru?"

"Ya."

Makanan mula dihidangkan. Li Sicheng mencicah sebiji ladu kecil ke dalam sos sebelum meletakkannya ke dalam mangkuk Su Qianci dan berpesan, "Hati-hati dengan sup di dalamnya. Ia sangat panas."

"Oh." Su Qianci meniup ladu itu sebelum menggigitnya.

Rong Rui hanya mendengar perbualan mereka tanpa berkata apa-apa. Mata kuning jingganya menjadi gelap dan kelihatan dipenuhi pelbagai emosi. Dia mengambil ladu untuk dirinya sendiri. "Mereka akan balik ke Kingstown malam ni. Jom ikut sekali, Cheng You."

"Saya takut Mak tak bagi saya balik terlalu cepat. Saya akan balik kemudian."

Jika Cheng You memberitahu ibunya sendiri, sudah tentulah ibunya tidak akan bersetuju. Namun ia pasti berbeza andai Rong Rui yang memberitahu. 

Rong Rui sangat tahu tentang itu tetapi tidak berkata apa-apa. Dia bertanya kepada Li Sicheng, "Jadi kita jumpa di sini malam ni?"

"Boleh." Li Sicheng menggigit ladunya.

Su Qianci menghabiskan ladu kecilnya dan menggunakan penyepit untuk mengambil pulut ayam yang dibungkus di dalam daun teratai. "Nanti kami nak balik ke rumah ayah saya. Cik Cheng tinggal berhampiran situ kan? Kami boleh hantar kamu."

"Okey!" Cheng You sangat gembira mendengarnya. "Terima kasih Qianci."

Wajah Rong Rui berkerut dan kelihatan tidak puas hati. Tetapi dia tidak berkata apa-apa.