Melihat riak wajah Rong Rui yang menggerunkan, Cheng You mengelipkan matanya dan memandang ke arah lain.
"Sakit," kata Rong Rui sambil memandang sekilas bekas gigitan Cheng You. Hanya sedikit darah yang keluar. Ia telah kering ketika mereka berjalan, tetapi kesakitannya masih terasa.
"Padan muka."
"Ibu kamu nampak saya tarik kamu daripada terjatuh."
Mata Cheng You terbeliak memandang Rong Rui. "Macam mana kamu tahu?"
"Saya nampak," kata Rong Rui dengan tenang. "Dan dia nampak kamu pegang lengan saya."
"Saya sedang gigit kamu!" Selepas mengatakannya, Cheng You tiba-tiba teringat ketika dia sedang menggigit, Rong Rui menggerakkan badannya sedikit. Adakah ia bermakna…
"Tapi dari sudut ibu kamu, dia nampak macam kamu peluk saya. Lagipun…" Rong Rui memandang ke belakang dan memuncungkan bibirnya. "Mereka ikut kita."
Jalan itu agak jauh daripada tempat melihat pemandangan tadi. Cheng You menjenguk di sekitar kawasan itu tetapi tidak melihat sesiapa. Walau bagaimanapun, ketika dia sedang mencari-cari, satu tangan tiba-tiba menariknya. Rong Rui memegang dagunya lalu menolak Cheng You ke dinding sebelum tunduk dan mencium bibir wanita itu.
Mata Cheng You terbeliak merenung Rong Rui, manakala jantungnya berdegup kencang. Debaran yang tidak dapat digambarkan menusuk hatinya yang telah dibiarkan kosong selama 26 tahun.
Rong Rui merenung Cheng You dengan mata kuning jingganya tanpa berkelip. Lidahnya memasuki mulut Cheng You dan merasakan kenikmatan yang pernah dirasai dan sukar dilupakannya itu.
Ibu dan ibu saudara Cheng You yang mengekori mereka melihat dua susuk tubuh yang amat rapat itu dari jauh. Ibu Cheng You amat teruja dan menepuk tangannya sambil bermegah-megah kepada kakaknya, "Kan aku dah cakap Youyou aku terlalu cantik untuk tak ada kekasih. Dia langsung tak beritahu kami dia ada teman lelaki. Aku cuma tahu hari ni bila anak muda itu datang ke rumah kami!"
Kakaknya kelihatan cemburu dan berkata, "Ya aku nampak. Lelaki itu kacak juga."
"Oh, dah tentulah! Youyou kami sangat cantik," kata ibu Cheng You dengan bangga. "Jom pergi. Jangan ganggu mereka. Kita pun akan pergi berseronok!"
Kemarahan Cheng You sukar dihentikan. Walaupun pipinya kemerahan kerana malu, perasaan marahnya tetap ada. Dia menendang kaki Rong Rui. Walau bagaimanapun, Rong Rui langsung tidak berganjak tidak kira betapa kuat Cheng You melawan. Tangannya dipegang kemas oleh lelaki itu dan tidak dapat digerakkan. Usahanya untuk bergelut hanya membuatkan dia sakit dan menangis.
Tiba-tiba Cheng You terfikirkan sesuatu. Dia merapatkan kaki lalu menaikkan lututnya…
Satu tangan besar tiba-tiba menangkap lututnya. Rong Rui merapatinya dengan mata yang sedikit kabur. Suaranya kedengaran dalam dan serak basah ketika dia berkata, "Ini kepunyaan kamu di masa hadapan, kamu pasti nak lakukan itu?"
Cheng You merasakan seperti dirinya dipermainkan. Dia menjerit dan bergelut sekuat hati. Tetapi Rong Rui sangat kuat sehingga dia langsung tidak dapat melepaskan diri. Rong Rui kelihatan menikmati perkara itu dan berbisik, "Muka kamu sangat merah."
Cheng You yang bertambah marah terus menggigit muka Rong Rui.
Rong Rui berundur dan mengelak gigitan Cheng You. Kemudian dia melepaskan lutut wanita itu dan terus menahannya di dinding. Nafasnya mula menjadi kencang. Suaranya seakan berbisik dan menaikkan nafsu Cheng You di luar kemahuan wanita itu. Rong Rui berkata, "Kuat betul kamu. Apa kata kita buat sesuatu yang lebih menyeronokkan?"