Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 434 - Cicit Kesayangan Atuk

Chapter 434 - Cicit Kesayangan Atuk

Ketika mereka tiba di rumah, sambutan perayaan Tahun Baru Cina sedang ditayangkan di TV. Qin Shuhua, Li Xiao, Li Beixing dan Atuk sedang bermain mahjung.

Mereka berpaling serentak apabila Li Sicheng masuk ke dalam rumah sambil mendukung Su Qianci. "Hush…" Li Sicheng memandang sekilas sebelum terus membawa Su Qianci ke bilik mereka.

Kapten Li melihat jam dan mendapati sudah lebih pukul 11 malam. Dia mendengus dan menjeling Li Jinnan dengan tajam. "Kamu pergi mana?"

"Kami pergi berseronok. Li Sicheng yang ajak," kata Li Jinnan lalu mendepangkan tangannya. "Atuk pun tahu kan saya selalu dengar cakap Abang."

"Salah. Jinnan yang ajak kami." Su Qianci berjalan keluar sambil menguap. "Jinnan, kamu teruk!"

Sebaik pembohongannya terbongkar, Li Jinnan terus menundukkan kepalanya di bawah renungan tajam Kapten Li. "Maafkan saya, Atuk."

Kapten Li ketawa sambil mengambil buah mahjung dan menolaknya ke depan. "Hahahaha…"

"Atuk selalu bertuah!" Li Beixing menambah wang di atas meja.

Atuk mengambil wang yang dimenanginya sambil tersenyum lebar. Tiba-tiba pengiraan detik ke Tahun Baru dimulakan di TV. Kapten Li segera berhenti bermain dan berkata, "Cepat, mana Sicheng? Beixing, Jinnan, keluarkan bunga api. Dah tengah malam!"

Li Beixing berkata, "Atuk, bunga api dah tak dibenarkan di Kingstown. Atuk dah lupa?"

Kapten Li kebingungan seketika sebelum wajahnya bertukar kecewa. "Peraturan bodoh! Tak ada bunga api untuk Tahun Baru Cina? Mana ada perayaan begitu?"

"Jom tonton TV kemudian tidur Atuk." Li Sicheng berjalan keluar dan berdiri di sebelah isterinya. Dia melihat jam dan berkata, "Dah jam 12.02 tengah malam. Atuk tak mengantuk? Biasanya Atuk tidur jam 9 malam."

"Atuk tunggu kamu!" jerit Atuk sambil merenung mereka dengan marah. "Kita sepatutnya sambut Tahun Baru bersama-sama sebagai keluarga, tapi kamu keluar berseronok dan bawa cicit kesayangan Atuk bersama. Macam mana Atuk nak tidur selagi kamu belum balik?"

Su Qianci berasa sedikit malu dan berkata, "Tak lahir lagi, Atuk."

"Lapan bulan saja lagi. Okey, Atuk kena cari nama yang bagus untuk dia," kata Atuk lalu berjalan ke biliknya dengan tongkatnya.

"Selamat malam, Atuk," kata Li Sicheng.

Jawapan yang diterimanya hanyalah bunyi pintu ditutup.

Tahun Baru Cina tiba keesokan harinya. Mengikut adat, pada hari ini, sesiapa sahaja tidak boleh membasuh pakaian atau memanggil orang lain dari jauh. Mengejutkan seseorang dari tidur juga dilarang. Hasilnya, Su Qianci tidur sehingga jam 10 pagi.

Li Sicheng sudah tiada di sebelahnya. Su Qianci menggosok-gosok matanya dan masuk ke bilik air untuk mandi. Li Sicheng masuk ke bilik ketika Su Qianci selesai mandi. Apabila melihat Su Qianci keluar dari bilik air, perkara pertama yang dilakukannya adalah melihat kaki isterinya. Bagus, Su Qianci memakai selipar.

"Kenapa tak tidur lebih lama?" Li Sicheng membuka almari dan mengambil pakaian musim sejuk untuk isterinya.

Su Qianci mengambil pakaian itu dan berkata, "Kamu ingat saya khinzir? Tahu tidur saja?" Su Qianci menanggalkan baju tidurnya sebelum memakai bra.

Kulitnya yang cerah itu membuatkan Li Sicheng gelisah. Dia cuba berpaling ke arah lain sebelum menyedari dia telah tersilap tentang pengawalan dirinya. Li Sicheng berasa serba tidak kena dan berkata, "Saya tengok kamu makin selesa sekarang."

Su Qianci menoleh ke arahnya dengan wajah kebingungan.