Ou Ming akan berminat jika ia sesuatu yang sangat buruk. Kali ketiga telefon itu berdering, Ou Ming memutuskan untuk tidak menjawabnya. Selepas menghapuskan segala bukti, Ou Ming meletakkan kondom-kondom itu ke dalam poketnya. Melihat Yu Lili sedang tidur, dia bercadang untuk meletakkan kondom-kondom itu ke tempat yang sepatutnya.
Dia berjalan ke arah meja sisi itu dan perlahan-lahan membukanya…
Tiba-tiba telefonnya berdering kembali dan membuatkan Yu Lili terjaga. Ou Ming merasakan seperti mahu membunuh Li Sicheng. Melihat wajah Yu Lili yang terkejut, Ou Ming cepat-cepat menutup laci meja sisi itu dengan kuat lalu berdiri. Kemudian dia cuba berlagak tenang dan berkata, "Cuma tambah stok."
Yu Lili menaikkan matanya ke atas. "Kau bukan nak lakukannya lagi, kan? Seks sebanyak ini boleh membunuh."
Ou Ming ketawa mendengar kata-kata itu lalu merebahkan tubuhnya ke atas Yu Lili. "Kau sampai hati nak bunuh aku?"
"Berambus!" Yu Lili menendang Ou Ming tanpa belas kasihan. "Jawab panggilan itu. Bunyi telefon kau menyerabutkan kepala."
Ou Ming turun dari katil itu dan melepaskan nafas lega. Nampaknya Yu Lili tidak mengesyaki apa-apa. Sungguh mendebarkan! Ou Ming menjawab panggilan itu dan berkata dengan marah, "Jangan jadi gila tengah-tengah malam. Tak baik untuk keharmonian masyarakat."
"Isteri aku mengandung!"
Ou Ming terdiam. Berita itu seakan memukulnya dengan kuat.
"Isteri aku dah hamil! Isteri aku hamil! Isteri aku hamil!"
Ou Ming masih mendiamkan diri.
"Kau dengar tak? Isteri aku hamil!"
"Oh hehe… Bodoh!" kata Ou Ming lalu memutuskan talian.
Melihat Ou Ming ketawa mengejek, Yu Lili bertanya, "Kenapa Li Sicheng telefon?"
"Dia kata isterinya mengandung."
Yu Lili bertanya lagi, "Bukankah itu berita gembira? Kenapa kau marah dia?"
"Aku tak ada isteri."
Yu Lili terdiam.
"Aku tak ada sesiapa untuk aku buat dia mengandung."
Yu Lili tidak berkata apa-apa. Ou Ming terus menerkamnya dan menciumnya bertalu-talu. Yu Lili bergelut dan menjerit, "Hei, Ou Ming! Kan kita dah janji dua kali! Kalau kau terus berkelakuan begini, aku akan pergi!"
Ou Ming berhenti dan memeluk Yu Lili. "Okey, aku akan biarkan kau tidur."
"Jangan sentuh aku! Hei, kau cium aku lagi! Pergi, pergi sana! Ou Ming!"
Perut Su Qianci berkeroncong selepas pergi ke hospital kerana tidak menjamah apa-apa untuk makan malam. Dia tiba-tiba teringin untuk makan bubur makanan laut, jadi Li Sicheng memandu agak jauh sebelum mereka akhirnya menemui tempat yang menghidangkan bubur itu. Kedai itu turut menyediakan santapan ringan waktu malam, jadi Su Qianci memesan barbeku, bubur dan beberapa hidangan sampingan. Sambil tersenyum, Li Sicheng melihat senarai nombor dalam telefonnya dan menelefon semua orang yang dapat difikirkannya. Dia berbangga-bangga tentang kehamilan Su Qianci kepada semua rakan-rakannya di luar dan dalam negara. Ketika menelefon rumah lama, Li Sicheng tersengih seperti kerang busuk.
Su Qianci turut tersenyum apabila melihat senyuman suaminya. Qin Shuhua sangat terkejut dan gembira. Dia meminta untuk bercakap dengan Su Qianci dan memberitahu menantunya itu pelbagai petua dan pantang larang. Manakala Atuk pula memberi amaran dengan serius kepada Li Sicheng, "Orang muda, menahan diri memang pedih tapi penting!" Atuk bercakap melalui pembesar suara, jadi Su Qianci turut mendengarnya dan pipinya bertukar kemerahan.
Li Sicheng melihat senarai nombor telefonnya dan melihat jam. "Luo Zhan tinggal berhampiran sini. Saya akan ajak dia makan dengan kita." Kemudian dia terus menelefon Luo Zhan. Su Qianci kemudian teringat Lu Yihan juga turut tinggal berhampiran tempat itu.
Sebagai seorang yang menggilai komputer, Luo Zhan sedang bermain dengan komputernya seperti biasa pada saat itu. Sebaik mendengar telefonnya berdering, tangannya tersentak… Tak guna!